Adab Masjid : Ramai Orang Islam Abaikan

Oleh : isma daud

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Bani Adam, Ambillah perhiasan ketika kamu berada di masjid, makan dan minumlah dan jangan kamu membazir, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membazir." Surah Al-A'raaf;ayat 31.

Melalui pemerhatian saya, saya dapati kita (sebahagian) umat Islam melayu ni kurang berdisiplin. Baik atas jalan raya, tempat awam sehinggalah ke masjid. Sikap sebahagian kita bagai "pahat dengan pemukul". Jika diwar-warkan sesuatu hal adalah perubahan sedikit. Kalau nampak orang kurang bercakap sesuatu isu itu, mula lalai dan buat salah lagi... Sampai bila sikap seperti ini boleh berubah, tak taulah. Dah sedarah daging agaknya kita dengan perangai tidak berdisiplin. Itu tandanya jati diri umat Islam berada dalam tahap kritikal.

Disiplin diri adalah asas kejayaan dalam apa usaha yang kita lakukan; barulah kita mudah memperolehi kejayaan.

Kembali kepada persoalan saya kepada disiplin diri kita sewaktu berada dalam rumah Allah SWT seperti musalla, surau atau masjid.

Teguran saya ni walaupun meliputi para jamaah secara umumnya; namun di sini saya lebih fokus kepada para remaja yang datang menunaikan solat khususnya pada hari Jumaat. Oleh kerana sebahagian besar para jemaah adalah remaja yang ramai tidak berminat menjaga adab dan disiplin ketika berada di Masjid seperti suka melepak di tempat wudhuk sampai habis Jumaat, berpakaian pula entah apa-apa; maka remaja patut menjadi sasaran teguran saya.

Jagalah Adab Ketika Berada Di Masjid

Masjid adalah rumah Allah SWT. Tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sudah tentulah masjid menjadi pusat ibadah dan aktiviti sosial yang lain yang mendatangkan manfaat kepada agama, dunia dan akhirat. Ketika berada dalam masjid kita mestilah menjaga adab masjid. Apabila hendak masuk masjid berwudhuklah terlebih dahulu supaya kita dapat memusatkan kegiatan kita dengan ibadah. Langkahkan kaki kanan dengan membaca Basmalah dan doa masuk masjid. Lakukan solat tahiyyatul masjid sebelum duduk. Apabila selesai solat tumpukan pada ibadah yang lain pula seperti berniat iktikaf, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran, membanyakkan selawat ke atas nabi dan bersungguh-sunggguhlah berdoa kepada Allah SWT. Dalam pada masa yang sama janganlah ibadat kita itu mengganggu para jamaah yang lain yang turut beribadah; kelak nanti menyakiti mereka pula. Rendahkanlah suara kerana Allah itu maha Melihat lagi Maha Mendengar.

Sikap Negatif Ketika dalam Masjid

Apa yang menyedihkan saya ialah sikap jamaah kita yang tidak tekun menghayati adab masjid ini. Ramai yang berkumpul di luar masjid, berbual-bual kosong, merokok sambil berlepak di sana-sini. Kalau hari Jumaat ramai yang tunggu habis Khatib membaca khutbah di luar masjid tunggu hendak solat sahaja. Kalau hari ada kuliah agama atau ceramah perihal sama juga yang berlaku.

Apa yang lebih parah ada yang tunggu imam berada di Tahiyyat Akhir baru mereka masuk solat dan memberi salam bersama-sama imam pula. Mereka mahu mempersenda siapa? Allah, orang ramai atau diri sendiri? Sedih sungguh melihatkan perilaku sebahagian tingkah-laku ummat Islam hari ini. Mengapa jadi begitu? Lemah sangatkah minda dan harga diri umat kita hari ini? Jahil sangatkah kita sehingga mempermudah-mudahkan dan meremeh-remehkan perintah Allah SWT. Apakah ummat Islam kini dipenuhi oleh mereka yang kita namakan golongan "Munafiqun". Mengapa peluang beribadah sebegitu luas dipersia-siakan begitu sahaja???

Terfikir saya gagalkah asas pendidikan yang diterapkan oleh ibubapa atau guru di sekolah untuk melahirkan insan beriman dan bertaqwa. Lain perkataannya Insan Baik.


Cara Berpakaian

Inilah yang paling ketara yang saya nampak. Saya hanya menyentuh cara sebahagian para jamaah yang berpakaian yang tidak langsung mencerminkan sahsiah muslim kerana meremehkan persoalan pakaian. Pakaian itu lambang keterampilan diri. Perkara pertama sepatutnya kita nilai ialah bagaimana kita berpakaian. Itulah ukuran pertama yang menentu nilai dan maruah diri kita. Dalam persoalan sekecil ini pun kita abaikan apatah lagi dalam persoalan yang lebih dominen dan besar.

Bukan saya bermaksud bahawa pakaian itu mesti mahal dan berjenama. Cukuplah para jamaah memakai pakaian solat yang sopan seperti berbaju melayu, pakaian yang suci dan bersih, penuh ciri-ciri taqwa, khusyuk dan tawadduk. Itu sudah cukup.

Apa yang menyentuh hati saya ialah pakaian kita itu ada yang memakai pakaian T-Shirt yang ada logo dan lambang tertentu; dakyah kuffar dan slogan yang entah apa-apa? Yang minat pasukan bola tertentu; baju solat jumaat pun ikut pasukan yang mereka sokong. Dibaju tu sudah tentu macam-macam ada. Nama penaja yang menentang Islam,bercanggah dengan syarak dan merosakkan akhlak pun ada. Tidak payahlah saya sebut....trend ini ada di mana-mana, menjadi-jadi.

Susah sangatkah kita mengambil sedikit keperihatinan terhadap hal-hal seperti ini?


Apa Peranan Ibubapa?

Di mana peranan ibu-bapa? Ahli masyarakat? Sukar sangatkah memberi sedikit teguran kepada anak-anak sebelum mereka melangkah kaki ke masjid atau ketempat awam yang lain. Mungkin ada yang berpendapat anak sudah besar remaja, lantak dialah, pandailah bawa diri sendiri . Harapan saya janganlah ada ibubapa bersikap lepas tangan begitu. Tanggungjawab memdidik anak tidak pernah ada titik nokhtahnya. Mereka adalah amanah dan tanggungjawab yang Allah SWT kepada ibubapa yang akan dipersoal-jawab di hari akhirat nanti. Janganlah kita cuai.


Harapan Dan Nasihat Saya

Saya yang sesekali dijemput menjadi khatib, pentazkirah atau penceramah bahkan sebagai seorang blogger muslim; suka mengingatkan persoalan ini agar ianya tidak dicuaikan begitu sahaja. Biarlah ianya menjadi tanggungjawab kita bersama dalam usaha memberi ingat dan saling memberi nasihat sesama kita. Semoga pengajaran surah Al-Asr itu sentiasa menjadi penghayatan dan budaya kita di setiap masa dan tempat. Insya Allah .

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?