Thursday, December 31, 2009

Berhijrah Di 1431H atau Berhijrah pada 2010M?

Oleh isma daud

Tidak sampai beberapa jam lagi tirai 2009M akan melabuhkan diri dan tangga-tangga detik masa membawa kita ke tahun baru 2010.M Ramai orang menantikan tahun baru dengan azam dan semangat baru dan tidak kurang pula sekadar mengingat kembali azam lama yang mahu diperhangatkan kembali.

Kepada sesetengah orang kehadiran tahun baru masehi lebih teruja dan terasa di jiwa berbanding dengan kedatangan tahun baru hijrah. Tidak perlu hebahan dan kempen, orang secara sedar akan kehadirannya. Namun sebahagian orang bagai lupa akan detik tahun baru hijrah. Saya ada bertanya kepada beberapa orang  muda belia yang saya temui, ternyata mereka teraba-raba dalam menentukan bulan hijrah. Tanpa sedarpun mereka sudah melewati garis kedatangan tahun baru 1431H.

Biar apapun; kesedaran untuk menanam azam dan niat untuk berhijrah mesti ada. Jika kita berhijrah dengan menjadikan Iman dan Islam sebagai sandarannya, Allah dan rasul menjadi matlamatnya; sudah tentu hijrah kita akan diterima oleh Allah SWT. Akan tetapi jika hijrah kita itu matlamat kita adalah isi dunia dan berlaku pula penyimpangan pada niat yang meneruskan jahiliyyah dan sayangkan dasar serta sistem sekular maka niat kita itu pasti akan ditolak oleh Allah SWT.

Namun kepada insan yang bernama Muslim sangat rugilah jika kehadiran awal hijrah dilupai, sementara tahun baru masehi sentiasa diingati. Ini kerana kita sedang kehilangan harga diri.


Bila mengenangkan kembali detik tibanya ambang maghrib 1 Muharram 1431H lalu; ramai tersungkur depan TV tengok bola akhir M'sia-Vietnam, surau masjid lengang. 

Malam ambang tahun baru 2010M; Apakah ada yang tersungkur lagi ?

Pusat-pusat hiburan pasti tidak lengang dan dataran -dataran awam pasti akan dipenuhi oleh manusia tanpa mengira  tahap usia dan lapisan masyarakat. Percikan bunga api dan pelbagai keraian serta pesta-pestaan muda mudi seringkali mewarnai datangnya tahun baru. Pergaulan bebas dan arakan motosikal dengan berpasang-pasangan di antara lelaki dan perempuan biasa jadi paparan akhbar saban tahun. Hidangan arak, seks bebas selalu menjadi hebahan media.

Bagaikan sudah masak dengan berita seperti itu. Apakah sambutan tahun baru ini ada berulang lagi lagak seperti itu?

Maka saya mengajak kita patut juga berhijrah kepada kebaikan apabila munculnya tahun baru 2010M ini.

Usahlah detik waktu itu menjadi sebab kepada kebinasaan diri dan masa depan kita. Masuklah ke tahun baru dengan jiwa dan semangat yang suci agar kehidupan kita terus luhur dan harmoni.

Wajarlah kita beringat bahawa kita mesti berazam dan berniat untuk menjaga lima asas utama dalam hidup kita; agama, ruh dan nyawa, akal fikiran,  harta benda dan nasab keturunan.

Bagi saya; 2009 tahun penuh cabaran, sementara 2010 nanti menjadi detik masa yang penuh dengan harapan... hari mendatang mesti ditempuh dengan penuh keyakinan. Akan tetapi 1431H menjadi lebih bermakna jika kita semua menjadikannya sebagai detik perubahan sebenar untuk kembali kepada suara jihad dan syariat Islam yang sebenarnya.

Ya, masa untuk kita kembali kepada Islam. Ayuh Kembalilah kepada Allah dan Rasulnya.
Firman Allah SWT yang mafhumnya; "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran".

Wabillahi Taufiq....

Wednesday, December 30, 2009

Bermuhasabah dengan Serangan Anai-anai

Oleh isma daud

Anai-anai atau dalam istilah sainsnya dikenali sebagai "termite" adalah serangga sosial yang cukup menarik untuk diperhatikan dari segi kesatuan dan perpaduan masyarakatnya. Namun tidak kurang juga anai-anai menjadi mekhluk perosak yang boleh mengundang bahaya kepada kehidupan manusia.

Buku, kayu dan kertas adalah menjadi kegemaran serangga anai-anai ini. Sudah banyak buku, dokumen penting saya rosak kerananya. Sijil kelahiran saya yang asal tiada lagi kerana dikerik oleh anai-anai terpaksa saya membuat cabutan semula di Pejabat Pendaftaran Negara, Negeri Terengganu pada beberapa tahun yang lalu.

Rumah juga menjadi sasarannya sehingga rumah peninggalan orang tua saya rebah kerana kayu-kayunya reput dimakan anai-anai.

Anjung Surau dan barisan Al-Quran yang disimpan untuk kegunaan pelajar dimakan anai-anai sewaktu cuti sekolah.

Dan terkini; saya sekeluarga terpaksa bergelap kerana ketiadaan elektrik disebabkan paip saluran wayer yang tersimpan dalam simen dinding rumah diserang anai-anai. Nasib baik tidak berlaku litar pintas. Bukan senang mahu membaikinya dan bukan sedikit pula duit terpaksa dikeluarkan bagi membaik-pulihnya bahkan terpaksa rumah dibuat pendawaian semula.

Pokok-pokok dan tanaman yang sihat tiba-tiba mati kerana seluruh batangnya dimakan anai-anai.

Begitulah penangan anai-anai dan setakat ini ia menjadi ujian kepada saya dan keluarga saya. Kerananya kami terpaksa bergelap. Kerananya kami ketiadaan elektrik, tiada kipas dan makanan busuk di dalam peti. Semuanya berlaku disebabkan apabila rumah sewa saya diserang anai-anai setelah sebulan saya pulang bercuti ke kampung tempohari. Tanah-tanah basah dan lembab diangkut ke dalam rumah. Sehingga kini sudah 3 malam kami tidak tenang dengan serangannya. Setakat ini hanya 2/3 rumah yang sudah boleh terima elektrik. Tingkat bawah saja, tingkat atas masih bergelap.

Bukan sedikit anai-anai yang telah kami bunuh dengan ubat atau racunnya. Keadaan tanah yang lembab menyukarkan kami mengatasinya. Anai-anai ini bersarang dalam simen rumah dan saluran wayer elektrik.

Namun apa yang berlaku ini cukup mengajar kita betapa kerdilnya diri kita. Biarpun berdepan dengan anai-anai yang kecil tetapi mereka hidup bersatu padu dan bantu-membantu; kehidupan kita menjadi terjejas kerananya. Maka kepada mereka yang berasa besar diri dan angkuh jangan lupa kepada kesatuan orang -orang yang kerdil, mereka mampu menghancur dan memusnahkan kita apabila mereka bersatu padu.

Serangan anai-anai ini cukup memberi iktibar kepada saya dan keluarga. Benarlah Allah apabila berfirman  dengan mafhumnya bahawa Dia (Allah) tidak malu membawa satu contoh dengan seekor nyamuk kerana dengannya boleh beriman seseorang kepada Allah dan boleh menjadikan seseorang itu lebih engkar dan kufur kepada Allah SWT.

Segala sesuatu itu mengjadi bahan iktibar dan modal hisab bagi mereka yang mahu berfikir....

Monday, December 28, 2009

Kembali ke Sibu Bersama Harapan Baru.

Oleh isma daud

Setelah sebulan lebih berada di kampung halaman, bersama keluarga dan warga desa yang ramah dan mesra di Bumi Terengganu Darul Iman, kini saya dan anak-isteri kembali memijak bumi Sibu Sarawak. Ini bermakna tugasan saya untuk tahun 2010 akan bermula. Saya berdoa agar tahun 2010 memberi lebih sirna setelah mengharungi tahun 2009 dengan penuh cabaran dan dugaan, penuh suka dan duga.

Bagi saya tahun 2009 adalah tahun yang merubah lanskap dan method dakwah yang boleh saya sampaikan di bumi sibu ini. Biarpun banyak halangan dan cabaran, sedikitpun tidak mematahkan semangat dan melemahkan keimanan saya. Bahkan kini saya mula merasa lebih kuat untuk menghadapi tahun 2010 yang akan tiba beberapa hari lagi.

Sementara itu tahun 1431H baru muncul mentarinya dan saya berdoa kepada Allah SWT agar kehadirannya bersama semangat hijrah akan merubah daya fikir kita untuk berjuang dan lebih menghayati ajaran Islam dengan sebenar-benarnya.

Insya Allah segala pengalaman berada di desa tercinta akan saya coretkan dalam bicara mendatang. Sesungguhnya terlalu banyak kenangan manis untuk dikenangi. Apapun saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menerima saya dan keluarga saya dengan hati dan jiwa terbuka.

Mudah-mudahan Allah akan menumukan kita semula dalam naungan rahmat dan limpah kurnianya yang tidak terhingga. Jika dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur pasti kita bersua semua.

Terima kasih daun keladi, tahun depan, insya Allah jumpa lagi. Wassalam.

Saturday, November 21, 2009

Catatan sebelum Berangkat, Ada nasihat Kepada yang Tinggal

Oleh isma daud


Hari ini saya dan keluarga akan kembali ke kampung halaman yang jarang-jarang saya menjenguknya. Tidak seperti orang lain, yang balik kampung macam pergi pasar saja pergi pagi balik petang menggambarkan kerapnya balik kampung. Sementara saya balik kampung menjadi nikmat besar kerana balik hanya dipenghujung tahun sekali sekala. Jika sewaktu balik itu ada raya, rayalah. Ada kenduri, kendurilah saya, ada kematian berziarahlah saya. Untuk balik bagi semata-mata raya, kenduri-kendara atau kematian setakat ni belum lagi. Saya balik sekeluarga hanya dipenghujung tahun kerana inilah cuti yang agak panjang daripada biasa.

Kembalinya saya ke kampung halaman saya kali ini dengan harapan dapat menukar suhu dan cuaca Sibu yang mungkin lebih aman dan damai tanpa saya. Setelah label pemecahbelah dan pembawa elemen tidak sihat dicop atas diri saya sejak pertengahan tahun ini oleh pihak yang tetiba pandai membuat cop dan mengecop orang, saya mengharapkan bahawa cop itu tertanggal apabila saya datang kembali bagi menerus kehidupan seterusnya di tahun hadapan.

Semoga dalam jarak sebulan lebih saya tiada di sini; dapat menghapuskan calit duka yang saya tempuh bagi tahun ini. Ibarat kata orang bijak pandai; sekali air bah sekali pantai berubah. Dalam sebulan ini saya harap hati pendengki berasa aman dan tenteram kerana mereka tidak mampu berdengki dan jika mahu berdengki juga berdengkilah dengan angin. Dan angin akan membawa dengki itu jauh sejauhnya. Akhirnya dengki itu hilang lenyap kerana orang yang hendak didengki itu tiada... buanglah yang buruk dan keruh, carilah yang baik dan jernih.

Samada masyarakat Muslim dan Muslimah di  Sibu ini mengalu-alu akan saya atau mengucap selamat jalan; jika diizinkan Allah saya akan datang lagi. Masih ada misi dan visi yang belum selesai. Masih banyak perkara yang boleh kita perihal bersama. Sampai masa dan ketentuan Allah akan datang juga masanya saya akan meninggalkan bumi Sibu ini, usahlah dibimbangkan apa-apa. Semuanya dalam ilmu Allah akan bila masa dan detiknya? Cuma saya harap bahawa saya sentiasa dapat diterima walaupun yang menerima kehadiran saya hanya sebilangan kecil sahaja. Saya tidak perlu jamaah yang besar cuma mahu beserta dengan golongan yang sedikit sahaja. Yang sedikit yang baik dan luhur hati dan budinya. Sudah cukup bagi saya.

Walaupun sebilangan kecil insan yang berhati mulia, saya merasa cukup dengan yang sedikit itu. Hati saya bahagia. Saya dapat menumpang kasih dan berkongsi cerita dengan mereka. Betul kata pendengki saya; "Ustaz kena terima hakikat bahawa kita hidup berdasar angka majoriti. Kalau satu angka kita kurang, kita adalah puak yang kalah". Itu tidak mengapa bagi saya. Majoritikah atau minoritikah bukan persoalan saya kerana saya hanya mencari yang benar dan sejati. Biarpun sedikit kalau benar, itu  adalah kebahagian saya. Kalau ramaipun jika bersama dengan pihak yang tidak benar tiada gunanya. Bak kata orang melayu yang bijak pandai; menang sorak kampung tergadai. Sungguh ianya tidak berguna.

Saya bahagia walaupun bersama yang sedikit. Kerana niat dan tujuan saya hanya mahu mencari kebenaran dan hak. Jika kerana mencari yang benar, saya menjadi terpinggir dan terpencel tidak menjadi soal kepada saya. Kerana kecil besar itu hanyalah angka yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. Seharusnya mereka yang berakidah dengan angka majoriti itu sedar bahawa dia sedang bercita-cita panjang dan jangan merasa selamat dengan angka itu. Lambat laun hancurlah dirimu bersama impianmu itu. Ini kerana orang yang bercita-cita panjang akan sentiasa ditipu oleh Syaitan manakala orang yang mencari kebenaran akan sentiasa dalam rahmat dan pemeliharaan Allah SWT. Akhirnya yang sedikit itu akan menang. Yakinlah!!! Kebenraan bukan diukur oleh bilangan yang banyak atau sedikit.Yang benar itu tetap benar.

Sebelum saya melangkah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada mereka yang sedikit kerana sudi bersahabat dengan saya. Kepada yang banyak terima kasih juga kerana kalian telah menambah iman dan ketekadan saya. Insya Allah kita jumpa lagi dilain masa. Harapannya bila kita berjumpa lagi, kita dapat duduk bersama. Buang Yang Keruh, Ambil Yang jernih.

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Haji atau Korban yang akan tiba tidak berapa lama lagi buat semua. Marilah kita korbankan keegoan, sifat hasad dengki dengan menggantikan dengan persaudaraan dara rasa ingin berbakti. Pasti hati akan lebih bahagia. Letaklah diri kita ditempat yang betul dan selayaknya agar kita boleh berlaku adil kepada sesiapa jua.

Lain masa kita sambung cerita. Mungkin banyak cerita yang mampu kita kongsikan setelah sedikit masa kita berenggang dan waktu itu kita berkumpul dan bersua kembali nanti. Berpisah dulu buat sementara. Jumpa lagi. Ma'assalaamah wa ilalliqaa'.

Friday, November 20, 2009

Majlis Penghargaan Dan Perpisahan PS GPI Sibu.

Oleh isma daud

"Think Tank" Pelan Strategik Guru Pendidikan Islam telah dibentuk untuk memancu pergerakan GPI@J-Qaf di Sibu dengan harapan mereka mampu memberi khidmat terbaik kepada ahli masyarakat Islam di sini.

Kumpulan yang terdiri daripada barisan GPI ini akan kehilangan beberapa tenaga penting bermula tahun depan bila ada daripada mereka ini akan berpindah antara bahagian atau negeri. Sesungguhnya sumbangan mereka di belakang tabir ini banyak menggerak aktiviti GPI@J-Qaf lain untuk sama-sama meninggikan syiar Islam di sini. Biarpun bergerak di balik tabir; merekalah sebenarnya perancang utama kepada sebarang aktiviti GPI@J-Qaf di sini.

Antara program besar tahun ini ialah Ijtimak GPI@J-Qaf Bahagian Sibu, Program Tazkirah Bulanan di Masjid dan Surau sekitar Bandar Sibu, Iftar Jama'ie, Ramah-tamah Aidil-Fitri Dan Persembahan Kebudayaan Islam, Usrah Muslimah Untuk Saudara Kita, Ihya Masjid Ramadhan dan terakhir Kem Literasi Al-Quran. Sebenarnya banyak lagi program yang di rancang tetapi masih banyak halangan yang perlu dirungkaikan untuk lebih berjaya dalam sebarang aktiviti pada masa akan datang.


Semalam diadakan satu majlis ringkas di Restoren Kasturi, Sibu bagi meraikan dua ustazah yang merupakan rakan pemikir penting, yang telah memberi khidmat terbaik mereka sepanjang berada di sini. Majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan daripada Unit Pendidikan Islam Dan Moral (UPIM), Pejabat Pelajaran Daerah Sibu  kepada semua tenaga PS GPI tahun ini khususnya kepada dua ustazah yang akan berpindah ini.

Semoga mereka ini akan membawa bersama kenangan pahit-manis  sepanjang berada di Sibu dan menjadikannya sebagai pendorong kejayaan apabila berada di tempat baru nanti. Sesungguhnya berada dalam kumpulan kecil ini telah memberi pengalaman berharga dalam menggerakkan sesebuah organisasi.


Sikap-sikap positif terhadap diri dan orang lain, sentiasa bersemangat,  bersikap tabah, berani dan berwawasan  menjadi resepi kejayaan untuk sebarang aktiviti sebelum ini.

Dalam majlis ringkas ini kami sempat berbincang secara santai segala permasalahan dan cadangan-cadangan untuk membaik-pulihkan perjalanan PS GPI ini bagi tahun mendatang. Sempat juga bertukar-fikiran dan mendengar pesanan akhir dari mereka yang akan meninggalkan kami di sini.

Untuk yang pergi kami ucapkan selamat jalan dan terima kasih atas sumbangan cemerlang kalian. Hanya Allah SWT sahaja yang akan membalas segala amal-khairat kalian dengan sebaik-baik ganjarannya.

Monday, November 16, 2009

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Oleh isma daud


Emel (1)

From : Puan/ Cik Serba Salah (Bukan Nama Sebenar)
Assalamualikum ustaz dan salam sejahtera.


Saya ternampak email ustaz dilaman web berharap email yang dihantar tidak menggangu ustaz. Saya ada kemusykilan yang hendak ditanya kepada ustaz dan berharap ustaz dapat memberikan sedikit petunjuk ataupun hukum penjelasan dalam keadaan saya ini..Saya bekerja disebuah hotel sebagai pengemas bilik,apa yang ingin saya ajukan adalah hotel ditempat kerja saya bersebelahan dengan sebuah restoran cina,dan kebanyakan pelangan membungkus makanan dari kedai tersebut dan makan didalam bilik.Saya nak tanya ustaz apa hukum dalam keadaan saya kerana sy sering terjumpa daging babi/cebisan tak kira diatas meja ataupun di permaidani,ini juga disahkan rakan sekerja berbangsa cina.Keadaan ini amat membimbangkan saya,


1.Bagaimana ustaz kalau terkena waktu kerja contohnya terkena tangan ataupun baju pastu tangan yang terkena memegang seluar atau hpon atau barang2 lain dan juga baju yang terkena tadi disentuh dengan tangan ataupun baju tersebut terkena tempat2 lain atau barang terkena bahagian tersebut walaupun belum disamak,perlu disamak ke kesemuanya?


2.Bagaimana pula kalau tempat terkena contohnya jatuh diatas permaidani atau meja hanya dibuang dengan tisu tapi tak samak dan tak pasti samada tertinggal cebisan atau kesan minyak disentuh ataupun terkena pakaian samada dalam keadaan kering atau basah,perlu disamak juga ustaz? nak kata samak sudah banyak kali saya samak diri ataupun pakaian dan kadang2 sampai memberikan tekanan pada diri.perlukah disamak setiap hari jika terkena pada tangan atau baju dan bagaimana dengan barang2,kapet yang agak sukar dilakukan samak pastu disentuh samada kering@basah,perlukah disamak juga ustaz?kerana saya sering mengalami ketika mengemas bilik dan bimbang sudah berjangkit dibawa kerumah dan bagaimana pakaian yang sudah bercampur dengan pakain lain?Sudah berbulan perasaan ini menggangu dan saya mula hilang keyakinan diri terhadap kesucian diri.Apa yang perlu dilakukan ustaz?perlukah kia dibebankan sampai begini,takde kah cara yang lebih mudah.Dalam kegawatan ekonomi agak sukar mencari krja lain,bagaimana ustaz tolonglah berikan saya penjelasan secepat mungkin....


Ulang Balik;


1. Bagaimana ustaz kalau terkena waktu kerja contohnya terkena tangan ataupun baju pastu tangan yang terkena memegang seluar atau hpon atau barang2 lain dan juga baju yang terkena tadi disentuh dengan tangan ataupun baju tersebut terkena tempat2 lain walaupun belum disamak,perlu disamak ke kesemuanya?


2. Bagaimana pula kalau tempat terkena contohnya jatuh diatas permaidani atau meja hanya dibuang dengan tisu tapi tak samak dan tak pasti samada tertinggal cebisan atau kesan minyak disentuh ataupun terkena pakaian samada dalam keadaan kering atau basah,perlu disamak ustaz?

Jawapan (1)

Waalaikumus salam w.m.t.


Terima kasih kerana mengutusi saya. Dan tidak pula saya rasa terganggu dengan emeil saudari/puan ini...


Sebelum saya menjawab soalan yang agak baik ini saya meminta izin saudari/puan untuk menyiarkan persoalan ini di blog saya sebagai perkongsian ilmu kepada orang lainnya. Jika Saudari setuju atau mengizinkan sila maklumkan kepada saya. Insya Allah SWT saya siarkan persoalan penting tanpa memperkenalkan individu yang bertanya.


Memang tidak dinafikan bahawa dimana saja kita bekerja banyak dugaan dan cabarannya. Bukan semua orang bernasib baik mendapat pekerjaan yang mudah pula..


Isu utama dalam masalah saudari/puan ialah berkaitan dengan muamalah dengan hal yang berkaitan bersuci dari najis mugallazhah khususnya babi yakni cebisan makanan yang mengandungi daging babi. Apabila tersentuh ditangan maka terpaksa pula memegang hal yang lain. apakah semua yang disentuh atau dipegang oleh tangan saudari itu akan menjadikan ianya najis mughallazah (najis berat yang memerlukan disamak atau dalam istilah tepatnya ; disertu).


Apabila berlaku begini;apakah jalan penyelesaiannya?


1. Najiskah tangan itu? Jawapannya ya. Tangan yang terkena cebisan makanan yang terbukti atau betul-betul daripada babi mesti disamak atau disertu. Namun tangan itu tidak pula menjadikannya hal-hal yang lain pula menjadi najis mughallazah sehingga semua benda yang tersentuh oleh tangan atau terpegang menjadi najis berat. Jika tangan tadi telah dibasuh dengan air biasa saja maka tangan itu tidak menjadi benda lain menjadi najis. Namun jika tangan yang terpegang najis tadi masih bersisa najis itu ditangan samada kering atau basah, terkena pada benda lain memang ia menjadi najis.


Untuk mengelak hal ini berlaku saudari/puan perlulah membasuh tangan dengan air mutlak dan keringkan; jadi benda-benda yang lain yang dipegang tidak akan berpindah menjadi najis.


Bila selesai kerja barulah disertu atau disamak bagi membolehkan kita untuk melakukan amal-ibadat dengan keadaan suci dan bersih.


Sebagai contoh bagi menghilang kerunsingan saudari/puan; bila kita bersalam dengan seseorang yang pada sangka kita memang dia makan atau ada sentuh babi; masa bersalaman dengan kita, tidak pula ada sisa babi; apakah pada masa itu kita merasakan tangan kita sudah terkena najis babi? Sudah tentu tidak bukan? Kita tidak merasa pun tangan kita kena najis sebab kita tersentuh dengan tangan bukan tersentuh dengan babi...


Untuk pengetahuan; perkataan samak ini lebih tepat lagi penggunaannya bagi menyamak kulit binatang dengan membuang isi daging atau lemak daripada kulit dengan menggunakan benda-benda tajam seperti tawas, kapur dan sebagainya. Jadi saya menggunakan istilah sesuai selepas ini sebagai "sertu".


2. Gunakan sarung tangan atau alas untuk memegang najis berat tersebut. Ini mengelak daripada terkena terus kepada tangan kita yang menimbulkan kerumitan kepada diri kita sehingga melakukan samak atau sertu. Bila sudah guna, buang terus sarung itu kalau jenis yang pakai buang tu. Kalau jenis yang boleh dibasuh, maka sertukanlah sarung tangan itu.


Sertu itu mesti dengan sekali air tanah dan bakinya sebanyak enam kali dengan air mutlak.


3. Tempat atau lantai yang terkena najis tadi kalau yang kena itu memang daging babi mesti disertu walaupun sesukar mana pun kerja itu. Tetapi jika bahan itu tidak lagi dalam rupa daging; tapi rupa kuih contohnya maka tidaklah tempat itu kena samak atau sertu. Kerana sudah berubah sifatnya.


Ini sikit berbeza dengan isu keturunan babi; walaupun jika takdirnya anak lembu; rupa lembu tapi asal usulnya babi maka tetaplah ianya babi atau najis mughallazah atau najis berat. Ini kerana hakikat tidak dapat diubah lagi.


Tidak seperti kuih; kuih itu kita tidak boleh panggil dia babi..kecuali intinya mungkin diperbuat daripada babi maka yang nampak zat babi tersebut itulah baru dianggap najis. Selagi kuih itu namanya kuih, kita tidak menghukumkannya najis sehingga terpaksa samak atau sertu.


4. Pakaian yang terkena najis mughallazah mesti diasingkan daripada pakaian biasa semasa basuh. Pastikan ianya disertu terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam pakaian lain. Jika kita pakai sumbat saja, pastinya pakaian kita yang lainnya akan terpalik najis juga. Ini akan merumitkan lagi kerja kita..


Doa saya agar saudari/puan mendapat sedikit penjelasan ini. Sebarang masalah yang tidak terjawab oleh saya di sini sila maklum balik persoalannya.


Harap maklum!


Emel (2)


Terima kasih atas kesudian ustaz untuk menjawap solan saya.Saya ada juga baca yang ustaz ingin menyiarkanya dilaman blog ustaz dan saya tidak kisah kalau ia berguna untuk perkongsian yang mungkin ada yang senasib mengalaminya.


Saya minta maaf banyak2 kepada ustaz kerana saya masih kurang mengerti,menurut ustaz kalau terkena pada permaidani ataupun meja dan sebagainya perlu disertu tetapi sekiranya sudah berubah sifat tidaklah perlu disertu,jadi kalau sya sentuh meja tersebut atau terpijak permaidani tadi tidaklah perlu disamak anggota atau pakaian....?walaupun mungkin kesan minyak /sebagainya msih ada contoh jika daging tadi dimasak sambal dan terjatuh dipermadani yang tinggal hanyalah sambal sahaja dan daging tersebut sudah dibuang.Adakah cili atau kuah yang dimasak/dicecah bersama2 daging tersebut dikira bernajis dan perlu disertu jika terkena/


Macam mana jika tangan yang terpegang daging tersebut kita basuh dengan air biasa saja dan semestinya air itu terpecik kebaju atau tempat lain?Bagaimana pula dalam keadaan nak amik sampah didalam tong sampah plastiknya dalam keadaan berair,bukan disentuh daging itu tetapi palstik itu,kerana saya selalu fikir yang bukan2 disebabakn saya akan berfikir air tersebut telah terkena daging itu.Bagaimana pula ustaz daging yang berada atas meja terkena abuk atau kotoran kecil dikira bernajis atau ia dimaafkan.


Saya meminta cadangan /pandangan ustaz apakah langkah terbaik bagi saya.Sekian terima kasih atas kesudian ustaz meluangkan masa menjawap soalan saya.


Jawapan (2)

Salam kembali Cik/Puan Serba Salah (Bukan Nama sebenar);

Terima kasih atas soalan-soalan tambahan yang tidak terjawab oleh saya dalam emel terdahulu.

Ada beberapa persoalan yang sangat baik telah dikemukakan agar kita lebih jelas.

menurut ustaz kalau terkena pada permaidani ataupun meja dan sebagainya perlu disertu tetapi sekiranya sudah berubah sifat tidaklah perlu disertu, jadi kalau saya sentuh meja tersebut atau terpijak permaidani tadi tidaklah perlu disamak anggota atau pakaian....?

Jawapan;

Apa yang saya nyatakan iaitu basuh dengan air mutlak itu tidaklah menyucikan najis mughallazah itu. ia cuma langkah awal dalam kerja saudari/puan. Adapun hakikat najis itu tetap najis mughallazah; apabila mahu mengerjakan solat contohnya perlulah disertukan tempat terkena najis itu... segala ibadat yang perlu kita bersuci mestilah kita sertukan.


Tujuan kita basuh dengan air mutlak dan keringkan tangan ; adalah untuk mengelakkan najis itu tersebar ke tempat lain apabila kita memegang benda atau objek yang lain. Contohnya tangan terpegang kuih yang ada inti babi; kemudian kita mahu memegang kerusi/lainnya... jika tangan kita tak dibasuh dengan air mutlak, najis itu boleh mengotori kerusi atau meja tersebut. hal ini bukankah akan merumitkan keadaan... keduanya akan menyusahkan puan/cik...setiap kali terkena najis; kena sertu..lagi dan lagi... sudah tentu puan/cik terpaksa menghabiskan masa dengan persoalan najis ini sahaja.


Islam agama yang suka kebersihan dan pada masa yang sama tidak mahu membebankan umatnya dengan hal-hal yang membebankan mereka;


walaupun mungkin kesan minyak /sebagainya msih ada contoh jika daging tadi dimasak sambal dan terjatuh dipermadani yang tinggal hanyalah sambal sahaja dan daging tersebut sudah dibuang.Adakah cili atau kuah yang dimasak/dicecah bersama2 daging tersebut dikira bernajis dan perlu disertu jika terkena/
Jawapan;

Semuanya itu najis Mughallazah termasuk permaidani yang terkena najis babi ini mesti di suci, ia tidak suci begitu sahaja..jika nyata zat najis itu di atasnya.


Maksud saya sesuatu yang boleh dianggap ianya dimaafkan ialah bila dalam keadaan sifatnya telah berubah, sudah bercampur dengan benda2 lain yang menyukarkan kita mengenal pasti akan sifatnya; maka pada masa itu ia dianggap dharurah. Najisnya dimaafkan seperti kita berjalan dijalan raya, debu2nya itu dimaafkan.


Macam mana jika tangan yang terpegang daging tersebut kita basuh dengan air biasa saja dan semestinya air itu terpecik kebaju atau tempat lain?

Jawapan;

Seperti yang saya jelaskan; air yang terpercik itu termasuk dalam hal yang rumit, ianya dimaafkan. Kalau masih was-was; ambil air renjiskan air ke tempat yang terpercik itu (kesan air) untuk menghilang perasaan was-was itu.


Bagaimana pula dalam keadaan nak amik sampah didalam tong sampah plastiknya dalam keadaan berair,bukan disentuh daging itu tetapi palstik itu,kerana saya selalu fikir yang bukan2 disebabakn saya akan berfikir air tersebut telah terkena daging itu.


Sesuatu yang nyata ada zat atau sifat najis tersebut hukumnya adalah najis. Cuma jika kita memegang plastik dan kita mengandaikan saja itu daging babi ianya termasuk dalam hal yang merumitkan. Cukup basuh dengan air mutlak saja. Tapi jika kita confirm itu najis babi. wajiblah basuh sebagai sertu. Secantiknya; jika basuh tu sekali saja iaitu setelah kita selesai kerja dan mahu makan atau solat... barulah kita basuh dengan sekali air tanah dan 6 kali air mutlak.


Bagaimana pula ustaz daging yang berada atas meja terkena abuk atau kotoran kecil dikira bernajis atau ia dimaafkan.

Jawapan;

Sisa makanan yang berasaskan babi itu najis selagi kita dapat kenal pasti itu adalah daging babi... jika sudah bercampur debu dan kita pun tidak pasti itu najis babi atau tidak; ianya adalah dimaafkan...


Membaca persoalan puan atau cik ini membuatkan saya berfikir adakah puan atau cik ni kehidupan seharian dipenuhi dengan persoalan babi ini...cukup sukar menjalani rutin hidup... walaubagaimanapun keperihatinan puan atau cik ini adalah tanda kita seorang beriman..Sabda Rasulullah saw; "Kebersihan itu Sebahagian daripada Iman". kesukaran puan atau cik menjaga agama sudah pasti besar ganjarannya.


Semoga Allah SWT sentiasa membuka jalan keluar buat puan atau cik.


Emel (3)
Ustaz saya ingin minta satu pertolongan saja ajar cara saya nak sertu tempat tersebut.


1.Kalau kena permaidani camne nak sertu memanglah dengan 1x air tanah dan 6x mutlak masalahnya didalam bilik cmne saya nak sertu kat mane air tu nak dialirkan cukup sekadar disapukan air tanah dan amik gayung dan bilas dengan air mutlak pastu ditekap dengan towel, begitu juga dengan meja yang besar.

Jawapan:

Kalau nak jawab secara mudah, kena tukarlah karpet itu…


Apapun syukurlah cik/puan sangat perihatin dalam isu ini. Seeloknya di basuh pada kawasan yang nyata ada najis itu sahaja. Sekira2 air yang di siram itu mengalir sudah memadai.


Wallahu A’lam Bis Sowaab.

SEKIAN TERIMA KASIH.
Sama-sama, semoga Allah membuka jalan2 kebajikan yang banyak kepada puan/cik yang bertanya. Mudah2an ianya memberi manfaat kepada yang lain juga.






Rumusan/Mulahadzah;



Jawapan yang saya kemukakan ini sekadar dalam kefahaman yang ada kepada saya.


Kepada asatizah yang lain mungkin ada pandangan yang lebih jitu dan padu, sila kemukakan pandangan kalian di ruangan komentar di blog ini. Mungkin ada sebarang kesilapan di sini, boleh diperbetulkan. Mudah2an bermanfaat kepada semua, insya Allah!!!

Saturday, November 14, 2009

3 Dalam 1; Kem Literasi Dan Pemantapan Tilawah -Hafazan Al-Quran 2009

Oleh isma daud

SK Sentosa, Sibu - 13/14 Nov 2009
- Atas inisiatif Unit Pendidikan Islam dan Moral (UPIM), Sibu yang diketuai oleh Encik syarkawi dan Ustaz Saidal Bin Mat dengan bantuan GPI&J-Qaf telah mengembelingkan ilmu, masa dan tenaga membimbing anak-anak Muslim Sibu dalam Kem Literasi dan Pemantapan Tilawah -Hafazan Al-Quran.

Kem Literasi Al-Quran telah bermula sejak semalam. Manakala Kem Pemantapan Tilawah dan Hafazan bermula hari ini. Penyertaan terdiri daripada para pelajar Muslim yang terpilih dari seluruh Bahagian Sibu. Mereka didedahkan dengan kemahiran Iqra' mengikut tahap masing-masing. Diharapkan sebahagian mereka dapat menguasai huruf-huruf al-quran yang membantu mereka nanti membaca al-Quran dengan baik.

Sementara itu Kem Tilawah dibimbing oleh dua Qori terkenal di Bahagian Sibu ini iaitu Ustaz Hasbullah Bin Sabli Dan Ustaz Nasir Bin Musil dalam bidang Tarannum dan skil kemahiran al-quran yang lain. Peserta-peserta yang terlibat ialah pelajar yang telah menguasai al-Quran dengan baik. sebahagian mereka adalah qori dan qoriah di sekolah masing-masing. Harapannya mereka dapat memantapkan lagi teknik bacaan dan menanam minat untuk menguasai ilmu al-Quran serta menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain untuk sama menguasai bidang ini.

Selain itu, pelajar Muslim yang cenderung dalam hafazan al-Quran pula cuba menambah skil dan memantapkan lagi ilmu hafazan dalam diri masing-masing. Ternyata anak-anak ini cepat mengingat ayat-ayat al-Quran yang diberikan sebagai tugasan mereka. Sebelum mereka hadir dalam kem ini mereka telah dilatih di sekolah masing-masing untuk menghafaz sukatan ayat yang ditentukan samada di peringkat sekolah menengah ataupun rendah. Semoga suatu hari nanti pelajar-pelajar ini dapat mengmbang minat masing-masing dan menyambung pelajaran dalam bidang yang mereka minati ini.

Secara peribadi saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada usaha yang sangat murni ini.

~ Terima kasih kepada UPIM,PPD, Sibu.


~ Barisan Hakim Tilawah dan Hafazan, Guru Pembimbing Quran; Ustaz Hasbullah Dan Ustaz Nasir Bin Musil.


~ Terima kasih juga buat Ustaz Suhaimi Bin Noh selaku ketua kem kali ini, atas usaha dan kegigihan ustaz menyediakan kertas kerja sehingga terlaksananya kem ini. 

~ Tidak lupa penghargaan ini ditujukan kepada  Encik Hermain Bin Mahajim, Guru Besar SK Sentosa, Sibu serta semua stafnya yang telah bertungkus lumus menyediakan tempat yang selesa dan makan-minum kepada kami..  

~ Juga kepada semua AJK Pelan Strategik GPI Sibu dan para asatizah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Hanya Allah SWT dapat membalas setiap pengorbanan semua yang ikhlas tanpa mengenal erti penat lelah itu dengan sebaik-baik balasan, insya Allah.

Sebagai kenang-kenangan dirakamkan detik-detik manis sepanjang mereka menyertai kem kali ini. Kata orang sekeping gambar mampu menceritakan segalanya berbanding sebaris ayat yang lengkap atau kata-kata yang berjela.











Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan Rahmat Allah SWT.

Friday, November 13, 2009

Respond Kepada Emel saudara Johan, Sama Isu Dr MAZA

Oleh isma daud

Wa 'alaikumus salam saudara Johan,

Terima kasih kerana ada menjenguk ke blog saya yang tidak seberapa. Sekadar luahan rasa dan catatan peribadi saja.

Terlebih dahulu saya merasa kerdil di hadapan Allah swt atas usaha saya yang sedikit. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, apa yang mampu saya lakukan melainkan mendampingi khalayak yang sedikit dan sebilangan saja. Kuliah di surau dan masjid tiada lagi. Tumpuan saya sekarang ialah kepada surau di tempat saya bertugas. Itupun tidak di senangi oleh pihak tertentu. Tidak mengapalah. Asalkan kita tahu apa yang kita lakukan dan tujuan kita adalah untuk mendapat Mardhatillah SWT. Tidak mendapat tempat dan perhatian manusia pun tidak mengapalah.

Suka saya maklumkan bahawa saya tiada kena-mengena dengan aktiviti Wahabi dan sealiran dengannya. Walaupun saya pernah kenal Ustaz Asri (Dr MAZA), pernah berada dalam Lujnah Thaqafah sewaktu belajar peringkat Ijazah Pertama di Jordan; kami tidak sealiran dari segi pemikiran dan pendekatan sehingga beliau keluar membawa pemikirannya sendiri. Kerap kali juga saya menerima panggilan dan emel minta pandangan tentang hal ini.

Secara peribadi saya berpendapat apa yang diutarakan oleh Ustaz Asri Zainal Abidin  (Dr MAZA) adalah kefahaman dan pendapatnya sendiri yang diasaskan oleh kebolehan ilmu yang ada pada dirinya. Jika ada bersamaan dengan pandangan wahabi itu, pada saya adalah dalam usahanya menangani isu bidaah dalam masyarakat. Lebih khusus dalam suasana masyarakat kita yang lebih mengutamakan asas budaya melebihi asas agama dan nas syarak. Saya yakin benar bahawa Ustaz Asri  (Dr MAZA) jauh dari ajaran sesat dan menyeleweng yang memburukkan kedudukannya selaku Bekas Mufti Perlis.

Pada saya, tangkapan kepada Ustaz Asri (Dr MAZA) adalah mempunyai motif politik atau tujuan tertentu atau terpilih. Ini Pandangan saya saja. Sedangkan di luar sana masih ramai yang berceramah, menyampaikan kuliah tanpa tauliah dan permit tapi tiada tindakan secara menyeluruh dan saksama. Atas nama laporan dan bukti maka ada yang terlepas bebas dan ada yang terperangkap.
 
Ya . Itu pandangan saya dan saya tidak berminat memanjangkan isu Ustaz Asri (Dr MAZA) atau isu wahabi. Kepada beberapa emel berkaitan wahabi saya tidak menjawabnya kerana saya rasa saya bukanlah orang yang sesuai menjawab soalan ini.

Mengenai isu saya; lebih kepada tindakan hasad dengki dan politik tempatan yang tidak ada nilai akhlak dan moral. Saya tidak dilihat sebagai membawa aliran wahabi sebegitu. Saya sama sekali bukan wahabi atau salafi. Tiada konflik antara saya dengan masyarakat setempat berkaitan hal ini.

Jelasnya kerja dakwah ada onak dan ranjaunya. Bukankah itu sunnah orang yang berdakwah dan ikhlas menyampaikan agama Allah swt

Seingat saya orang lain juga membicarakan persoalan yang sama dengan apa yang saya utarakan. Tapi oleh kerana mereka tiada orang yang hendak berdengki di saat ini, maka mereka terlepas dari fitnah dan sekatan yang berlaku secara halus sebagaimana yang berlaku kepada saya. Hanya menyebut isu sekularisme dalam khutbah Jumaat, ada pihak tidak senang hati dan menjadikan point penting untuk menjatuh hukuman "rehat" adalah isu terpilih dan bertujuan menyekat pergerakan serta pengaruh individu ke atas ahli masyarakat.

Bezanya saya nama kecil dan Ustaz Asri (Dr MAZA) itu nama besar. Maka siapa yang nak hebohkan isu saya berbanding dengannya. Apapun memang benar dari segi tindakan terpilih saya setuju ianya sama.

Wallahu A'lam!!!

Ustaz Mohd Isa Bin Mat Daud
"isma daud"@ustazroslidhoby.



Sent: Wed, November 11, 2009 12:51:17 PM
Subject: salam perkenalan

assalamualaikum w.b.t
tika sy sdang mlayari web bhubung penangkapan ust asri-bekas mufti perlis,sy terpandang blog berkaitan ust.
sy terbaca ust turut mengalami masalah yg hampir sama ttp mungkin brlainan stuasiny.
mlalui apa yg sy ktahui,wahabbi itu bukanlah spt yg digambarkan.
bagaimna ust melihat stuasi tersebut?
berkemungkinan ust turut mnghadapi perkara yg sma.
sy brasa bbesar hati mlihat ust mnabur jsa mnyampaikan syiar d bumi swk ini.
skian.
 
johan

Majlis Kesyukuran Surau An-Nadwah, Sibu

Oleh isma daud





Gambar-gambar (Kiri) : Proses pemasangan mimbar surau an-Nadwah, Sibu.


Surau An-Nadwah, SMK Rosli Dhoby, Sibu - 12 Nov 2009 : Sejak beberapa hari yang lalu, warga Muslim SMK Rosli Dhoby merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran sebagai tanda syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya segala perencanaan kami sejak awal tahun ini nampaknya berhasil. Kini kami berada di hari-hari terakhir persekolahan dan sebahagian daripada kami akan mula bercuti dan sebahagiannya akan bertungkus-lumus dalam peperiksaan masing-masing baik SPM ataupun STPM yang akan tiba tidak beberapa hari lagi.

Sementara itu di sebelah paginya kerja memasang mimbar surau dilakukan. Beberapa orang warga sekolah telah mengusahakannya agar solat Jumaat esok akan berlangsung dengan sempurna.

Dengan adanya mimbar ini akan memberi ruang kepada suara mimbar untuk sampai kepada ahli jamaah menjadi lebih berkesan. Pemandangan khatib pun lebih luas dan lapang kepada ahli jamaah di bawah. Ini akan meningkatkan ruh jumaat kepada para jamaah yang solat jumaat di sini nanti.

Beberapa usaha murni seperti ini akan diteruskan agar surau menjadi tempat yang harmoni dan digemari untuk para jamaahnya hadir beribadat di sini.

Surau yang baik dan berkat ialah surau yang dibina atas sifat iman dan taqwa kepada Allah SWT. Biarpun surau ini tidak seindah dan segah surau dan masjid yang dibina dengan dana kerajaan yang besar, surau ini tetap mempunyai ruhnya sendiri. Ruh perpaduan sesuai namanya An-Nadwah dan semangatnya untuk bangun dengan perbagai kesusahan biarpun ia berdiri di tengah-tengah sekolah. Namun fungsinya bukan setakat surau sekolah, tetapi menjadi tempat tumpuan ibadah kepada masyarakat setempat. Ia bangun dengan sumbangan ikhlas dan waqaf daripada pelbagai pihak yang dekat dan jauh. Bahkan pengunjung blog saya ini turut menyumbang kepada terbangunnya surau yang sederhana ini. Terima kasih dan syukur ke hadrat Allah SWT di atas kurniaanNya yang tidak terhingga itu.


Majlis Kesyukuran Surau An-Nadwah, Sibu



 Gambar Kenangan : Ustaz Amin Fitri (SMK Lanang) dan Ustaz Saidal Mat (PPD, UPIM, Sibu)

Majlis malam tadi adalah bertujuan menghargai setiap pengorbanan warga SMK Rosli Dhoby sehingga siapnya bahagian anjung surau dan mampu menampung keperluan para jamaah dalam melaksanakan aktiviti keagamaan dan pendidikan dari masa ke semasa.


Gambar : Ustaz Mohd Embung Dan Ustaz Naelan akan turut berpindah ke Selangor.

Selebihnya, majlis malam tadi adalah untuk melahirkan rasa terima kasih kepada tenaga pengajar yang terdiri daripada para asatizah yang berkhidmat di beberapa buah sekolah sekitar bandar Sibu ini. Beberapa orang daripada mereka akan berhijrah ke negeri masing-masing apabila mereka kembali ke Semenanjung nanti.

Bagi kami; hijrahnya mereka ini menjadikan kami kehilangan tenaga penting dalam dunia pendidikan kepada anak-anak kami yang masih perlukan khidmat bakti mereka. Apapun sekalung tahniah dan terima kasih atas sumbangan para asatizah semua sepanjang berada di Sibu. Harapannya semangat yang sama akan di bawa ke sekolah baru nanti.


 Motivasi berguna kepada yang akan berpindah dan buat kami yang tinggal

Turut hadir dalam majlis semalam ialah al-Fadhil Ustaz Saidal Bin Mat; Penolong Penyelia Agama, Pejabat Pelajaran Daerah Sibu untuk sama-sama meraikan majlis dan menyatakan perhargaan kepada asatizah kita yang akan berpindah ke tempat masing-masing nanti.

Sekalung Penghargaan Dan Terima Kasih kepada semua yang terlibat secara langsung  dan tidak langsung dalam menjayakan majlis malam tadi.

Thursday, November 12, 2009

Projek Ke 2 ~ Antara Kerja Seni Dan Keluhuran Budi

Oleh isma daud


Walaupun surau An-Nadwah boleh dikatakan hampir siap dan sehingga kini bahagian anjungnya telah boleh digunakan, namun kerja-kerja penambahbaikan surau masih banyak yang boleh dilakukan khususnya tempat wudhuk perempuan belum sempurna. Anggaran kos tempat wudhuk dan tandas ini mungkin sekitar RM18,000.

Kepada ahli masyarakat yang mahu menyumbang, boleh terus menyumbang ke akaun BADAI (Badan Agama Islam) bagi tujuan waqaf dan infaq Fi Sabilillah. Sesiapa yang bermurah hati boleh emelkan saya untuk mendapatkan no akaun dan sebarang penjelasan atau pertanyaan.


Dikesempatan ini, saya selaku Pengerusi Surau An-Nadwah mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap mereka yang berhati mulia dan berjiwa besar dalam menjayakan projek pertama kami pada tahun ini.  Sesungguhnya kami tidak mensia-siakan setiap sen sumbangan kalian semua. Semoga Allah SWT terus memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua dan menjadikan setiap usaha kita sebagai bekalan amal soleh di akhirat nanti.

Projek Ke 2


Dalam pada itu kerja-kerja menyiapkan bangsal atau pondok rehat telahpun bermula. Sekali lagi kita mengamalkan kerja gotong royong di kalangan warga pendidik dan kakitangan sekolah ini. Anggaran kos pondok ini sekitar RM3,500. Pembinaan bangsal rehat ini adalah sumbangan PIBG sekolah.


Dalam suasana hari persekolahan telah menuju ke penghujungnya, maka kerja-kerja ini adalah aktiviti terakhir bagi tahun 2009. Semoga semua yang terlibat dalam usaha murni ini rasa berbangga atas inisiatif dan kerjasama yang telah dicurahkan dalam melaksanakan kerja-kerja amal seperti ini.

Pada saya, sahabat-sahabat yang bertungkus-lumus dalam projek-projek tahun ini adalah contoh warga SMK Rosli Dhoby kepada yang lainnya. Kekayaan kalian bukan hanya pada nilai kerja seni dan kreativiti, bahkan lebih daripada itu; ialah kekayaan jiwa dan keluhuran budi.

Semangat kerjasama, keikhlasan dan bercita-cita besar adalah kejayaan kalian yang sungguh mengagumkan saya. Hanya Allah SWT yang akan membalas kebaikan kalian dengan sebaik-baik ganjarannya, insya Allah SWT.

Berikut beberapa gambar berkaitan dalam persiapan awal pembinaan projok ke 2 ini.



 

 

Kerja Pembinaan Bermula.








Tahniah dan Syabas!!!

Wednesday, November 11, 2009

Carilah Redha Tuhan

Oleh isma daud




Mencari RedhaNya

Carilah redha Tuhan, kita tidak akan kecewa
Carilah redha Tuhan, kita akan tenang


Janganlah cari redha manusia, kita akan kecewa
Suka manusia kepada kita, sukanya terkadang pura-pura
Suatu hari nanti akan nyata juga
Adakalanya redhanya kepada kita di waktu kita senang
Setelah kita susah, kita dibuang dan ditendang
Janganlah berbuat sesuatu karena keredhaan manusia
Karena manusia ramai yang tidak mengenang jasa


Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting yang kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu Tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendak mencaci
Itu soal dia


Yang penting ikut apa kata Tuhan
Keredhaan Tuhan itu penting
Redha-Nya adalah balasan
Balasan-Nya adalah berkekalan
carilah keredhaan Tuhan, hati tenang

- Ashaari -



Dua tiga hari ini saya asyik memutarkan lagu ini. Ada sentuhan ke jiwa saya. Sesungguhnya saya menghadapi situasi sebegini di saat ini.

Entah siapa penasyidnya, kumpulan apa, siapa penulis liriknya dan tahun bila dikeluarkan? Entahlah. Ada apa pada nama? Yang penting mesejnya itu berkesan di hati saya. Apa pun kaset ini, lagunya masih fresh dan tidaklah lama sangat. Saya membeli kaset ini sewaktu sampai di Airport Sibu suatu ketika dulu. Yang pastinya di Airport Sibu. Dalam saya memandu saya memutarkan lagu ini. Berkali-kali, berkali-kali. Oleh kerana tulisan di luar kaset itu sudah tidak kelihatan lagi, saya mendengarnya saja.

Tapi dalam hati saya ada berkata ini macam lagu dan lirik yang sinonim dengan "Abuya". Biasa saya dengar lirik macam ni sewaktu Kumpulan Al-Arqam aktif bergerak dalam masyarakat. Ataupun mereka Yang menamakan diri sebagai "RUFAQA'). Jadi pada malam ini saya cuba mencari lirik lagu ini dalam internet, nyata benar telahan saya. Saya tidak melayar jauh tanpa mencari siapa yang mengalunkan lagu itu. Dekat You tube tak jumpa pula.


Ya, saya mengenang atas apa yang berlaku dalam kerja dakwah yang saya lakukan di saat mutakhir ini. Terlalu banyak onak dan ranjaunya. Tidak sebebas seperti dulu lagi. Tersekat di sini, tersekat di sana. Apa yang dapat saya lafazkan hanya memujuk hati ini dengan bersabar. Bersabar dengan sebaik-baik sabar sebagaimana Allah SWT mengkehendakinya melalui firmannya, "Sobran Jamiilan". Hanya kesabaran yang mampu merawat luka di hati dan kekecewaan di jiwa.

Dari sifat sabar itu saya mula menyelongkar perasaan baru. Perasaan ini sentiasa ada dalam jiwa saya. Tapi kali ini dengan kesedaran yang tinggi dan benar-benar hidup. Satu pencarian sebenar iaitu pencarian kepada Redha Allah SWT. Ini saja penawar mujarab di saat kita menempuh pelbagai sekatan dan halangan dalam menyampaikan kebenaran.


"Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting yang kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu Tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendak mencaci
Itu soal dia"



Mengimbau kembali dalam tempoh 8 ke 10 tahun saya menyelusuri jalan dakwah di sekitar bandar Sibu ini. Saya berdepan dengan cara orang di sini berfikir. Cara mereka berfikir terlalu negatif kepada agama, terlalu negatif kepada orang luar dan perubahan. Maaflah saya cakap begitu. apapun saya dah cakap.  Bukan semua orang, tapi sesetengah mereka yang mahu menjaga kepentingan diri dan status mereka... Kalau sikap ini masih tebal dalam jiwa, tidak hairanlah jika tiada apa perubahan yang dapat kita lihat. "Pi Mai Pi Mai tang Tu" juga sebagaimana kata orang utara.

Sebaliknya bukan perubahan yang kita dapat tetapi cemuhan dan cercaan yang kita dapat. Yang menghairankan saya cemuhan ini datang daripada mereka yang kononnya mempunyai motivasi tinggi untuk memaju dan membangunkan masyarakat.

Sewaktu saya baru dikenali, nampak nuteral dan bersongkok sentiasa, berbaju melayu lengkap bersampin, mereka ini boleh menerima syarahan, ceramah dan saya sentiasa dijermput ke majlis2 anjuran Badan Kerajaan, Swasta dengan pujian dan sanjungan. Di saat itu itu untuk baca doapun mereka mahukan saya. Tapi bila saya mengenakan sekali sekala pakaian jubah, berserban. Mula ada di kalangan puak yang memuji saya ini mula melabelkan saya sebagai "Pembawa Pemecah-belah Masyarakat". Cukup mudah dan bersahaja tuduhan sebegitu.

Maka persoalannya; beginikah corak pemikiran orang yang maju? Berfikiran Jauh? Alamak !!! Sungguh tidak saya menduga hal ini sama sekali. Pakaian menjadi ukuran. Cukup malang!!!

Satu lagi, jika kita bercakap dalam nada yang sedikit berbeza terus dihukum kita sebagai "Pengkritik yang tidak bertempat". Agaknya kritikan bertempat ini macamana rupanya agaknya? Kritikan yang mesti selari dengan nafsu mereka agaknya. Kalau kurang selari atau lain terus itu bermaksud kritikan itu tidak bertempat.

Masa kita memberi pandangan selari , kita dianggap sesuai dan apabila berlawanan sedikit kita dianggap penentang. Jadi kita mesti ditendang dan dibuang kerana kita sudah tidak relevan lagi untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Kita bukan orang yang dialu-alukan lagi.


Adakalanya redhanya kepada kita di waktu kita senang
Setelah kita susah, kita dibuang dan ditendang
Janganlah berbuat sesuatu karena keredhaan manusia
Karena manusia ramai yang tidak mengenang jasa



Begitulah agaknya nasib kita jika kita berbuat sesuatu kerana Allah. Jadi tidak perlulah kita kesalkan  akan manusia yang berbuat tidak adil kepada kita; bahkan sepatutnya kita menjulang rasa syukur kerana kita sememangnya sesuai dengan tuntutan Allah SWT biarpun kita dianggap tidak sesuai dengan nafsu sesetengah manusia itu.

Yalah manusia itu sementara ada kuasa, anda dimuliakan. Tapi ingat jika kuasa itu tiada lagi, bagaimanakah nasib anda ketika itu? Kalau dengan manusia pun sudah malang bagaimana agaknya nasib anda di sisi Tuhan.

Apapun Allah itu Maha Pengasih, Maha Pengampun. Pintu taubat itu sentiasa terbuka buat hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud; "Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai dirinya sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun kepadaNya terhadap dosanya. Siapakah lagi yang akan mengampunkan dosa selain daripada Allah ? Dan mereka terus tidak mengulangi perbutan yang buruk itu, sedang mereka mengetahui. Balasan mereka itu mendapat keampunan daripada Allah dan memasuki syurgaNya yang mengalir di bawahnya sungai-sungai serta kekal di dalamnya. Ia adalah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal(dengan amalan baik dan taat setelah bertaubat). Surah Aali 'Imraan; ayat135-136.

Semoga kita sentiasa mencari ketenangan dengan mengingati Allah. Kerana Mengingati Allah itu akan menenangkan hati. Hati yang tenang itu mudah mengharapkan keredhaanNya. Wallahu a'lam!!!

Tuesday, November 10, 2009

Di Kala Subuh

Oleh isma daud


Ketika terbangkit dari tidur, rupanya sudah hari lain. Malam sudahpun dinihari. Entah bila mata terlelap semalam pun tidak pasti. Namun di kala ini, perut pula berbunyi dek terasa lapar. Kena makan sedikit biarpun sudah dinihari. Mata pula terasa segar. Catatan berhenti di sini. Beri peluang kepada keperluan jasmani mengecap nikmatnya.

Ya. Alhamdulillah di kala waktu begini pun masih ada rezeki untuk dinikmati. Perut dah kenyang dan mata segar bugar.Tambahan pula lepas makan ni, minum nescafe, bertambahlah keras mata. Insya Allah nak solat Tahajjud sedikit sebelum lena semua. Bukan senang untuk bangun dari lena tatkala badan sudah terbaring enak di atas tilam yang empuk. Peluang yang Allah SWT kurniakan , usah dipersiakan.


Sekadar selingan di kala ini; eloklah kita dengar sedikit nasihat dalam lirik-lirik lagu nasyid yang syahdu ini. Semuanya membicarakan persoalan di kala subuh. Semoga bermanfaat.

1. Baiduri ; Insan Di Kala subuh.



2. Hijjaz ; Di Kala Subuh.




Sunday, November 08, 2009

Kuliah Di Surau an-Nadwah ~ Keutamaan Ilmu , Orang Yang Belajar Dan Mengajar

Oleh isma daud

Petikan Kuliah Ustaz Mohd Isa Bin Mat Daud bertarikh 1 Nov 2009

Dari Kitab -Durratun Nasihiin.


Hadis daripada Abu Dzar dari nabi saw, berkata; "Hai Abu Dzar, sungguh engkau pergi lalu untuk belajar satu bab dari Kitabullah Ta'ala (Al-Quran), itu lebih baik bagimu daripada engkau solat seratus rakaat, dan sungguh engkau pergi mengajarkan satu bab dari ilmu, diamalkan atau tidak, itu lebih baik bagimu daripada engkau solat seribu rakaat" - Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi.

Huraian;

Pada minggu lepas, saya telah menyebut satu hadis yang menerangkan kelebihan menuntut ilmu . Di antaranya ialah orang yang menuntut ilmu itu, Allah membimbingnya jalan ke syurga. sehingga Allah memuliakannya dengan menugaskan malaikat supaya mendoakannya termasuklah ikan dalam laut dan semut dalam lubang juga turut memohon ampun kepadanya. Kenapa? Ini kerana lebihnya orang belajar dan orang alim. Thabit dalam hadis bahawa Para Ulama itu Pewaris Para Nabi.

Pada malam ini kita membaca hadis daripada Abu Dzar dari Nabi saw, berkata;

(Hai Abu Dzar, sungguh engkau pergi lalu untuk belajar satu bab dari Kitabullah Ta'ala (Al-Quran))  

Yakni; Kita pergi ke majlis ilmu, kita belajar satu bab -tahu bab?- iaitu satu tajuk dari kitab Allah Taala sehingga kita faham dan membantu kita dalam ibadah  dan kehidupan seharian kita ; yang akhirnya, menyebabkan kita ada petunjuk bagi mengenal yang benar dan salah, yang halal dan haram, yang sah dan batal. akhirnya kita mampu berbuat sesuatu selari dengan apa yang ditunjukka oleh Allah SWT yang menjadi sebab Allah SWT redha dan sukakannya. Ataupun membolehkan kita beramal dengan sunnah Rasulullah  saw dengan ilmu dan amalan yang sebenar.

(itu lebih baik bagimu daripada engkau solat seratus rakaat)  

Bayangkan!!! satu bab lebih baik daripada satu ratus rakaat. Bayangkan kita solat sunat 50 solat yang kita ulang dua rakaat, dua rakaat. Agaknya berapa jam kita harus lakukannya dibandingkan kita belajar satu bab sahaja samada kita duduk belajar itu dalam jangka masa pendek atau panjang lebih lagi orang belajar daripada orang solat sunat lagi.  

(dan sungguh engkau pergi mengajarkan satu bab dari ilmu) Orang yang belajar itu mesti ada niat dalam hatinya bahawa dia akan mengajarkan sesuatu ilmu bagi tujuan menyampai dan menyebarkannya kepada orang lain. Thabit daripada hadis nabi yang mengarahkan kita menyampaikan daripada Baginda itu walau dengan satu ayat yang kita telah tahu atau kita telah pelajari.  

(diamalkan atau tidak) yang mana sesuatu ilmu itu sempat kita mengamalkannya atau tidak. Di mana Imam Nawawi dalam kitab Al-Azkar mengingatkan kita bahawa jika kita tahu sesuatu amalan, kita hendaklah berusaha mengamalkannya walaupun sekali dalam hidup kita supaya kita beroleh syafaat dan berkat daripada pekerjaan kita tersebut. Contohnya kita belajar mengenai solat sunat Tasbih, patutlah kita mengamalkannya walaupun sekali dalam hidup kita. Walau apapun dalam hadis ini Nabi saw menyatakan bahawa kita mengamalkannya atau tidak tetap kita akan beroleh kelebihan belajar ilmu sehingga nabi menyebut bahawa ia menjadi (lebih baik bagimu daripada engkau solat seribu rakaat). Ini menunjukkan betapa lebihnya orang alim ke atas orang 'abid. Tahu siapa orang 'abid?  Yakni; Orang yang berbuat ibadat , kuat ibadatnya khususnya dalam melaksanakan ibadat-ibadat sunat.

Hadis ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi saw; "Barangsiapa yang mempelajari satu bab dari ilmu, dengan maksud akan mengajarkannya kepada orang, maka diberikan kepadanya pahala tujuh puluh nabi." - Al-Hadis.


Nabi saw lagi bersabda; "Barangsiapa duduk di sisi seorang alim dua jam, atau makan bersamanya dua suap, atau mendengarkan daripadanya dua kata, atau berjalan dengannya dua langkah, maka Allah Ta'ala memberikan kepadanya dua syurga, yang tiap-tiap syurga seperti dua kali dunia." - (Misykatul Anwar).


Wallahu A'lam!!!


Saturday, November 07, 2009

Majlis Penyampaian Sijil Tadika Didik Ria 2009

Oleh isma daud

Sibu, 7 Nov 2009
- Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Tadika Didik Ria (TDR) telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Auditorium RTM Sibu dengan penuh meriah. Majlis kali ini telah dirasmikan oleh Ustaz Dahlan Bin Daud; Penolong Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak, Unit Sibu.

 
Bergambar Beramai-ramai Untuk Kenangan
Dalam Gambar (Barisan belakang): Puan Nasyitah (GB), EN Hasbi, En Kameri, Ust Dahlan dan Guru-guru TDR 

Dalam majlis ini anak-anak yang telah tamat pembelajaran mereka diraikan. Kesemua mereka  ini sudah mampu menguasai 3M dengan baik dan telah berjaya masuk ke SRB Agama Sibu setelah lulus cemerlang dalam peperiksaan kemasukan tahun satu yang diadakan baru-baru ini.

Beberapa pelajar cemerlang telah membuat persembahan masing-masing. Adik Alyaa Izzati Bt Mohamad dianugerah sebagai penerima Hadiah Pelajar Cemerlang 2009.


"Tadika Didik Ria (TDR) telah ditubuhkan pada tahun 2001 dan kini telah muncul beberapa tadika swasta yang lain mencontohi TDR. Kewujudan tadika-tadika ini tidak menjadi pesaing kepada TDR sebaliknya menjadi pelengkap kerana tujuan penubuhan TDR adalah untuk melaksanakan tuntuan agama dan semasa agar anak-anak mendapat didikan yang sempurna menjadi insan soleh dan muslih" ujar Guru Besar TDR; Puan Nasyitah Binti Abdullah.

Beliau selanjutnya menambah, kegagalan ibubapa memberi didikan yang sempurna telah melahirkan generasi yang tidak seimbang dan menimbulkan pelbagai gejala sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja sehingga menimbulkan kebingungan di kalangan ibubapa dan guru-guru di sekolah mencari jalan penyelesaiannya.

Selanjutnya beliau berdoa agar anak-anak keluaran TDR menjadi contoh kepada anak-anak lain di luar sana apabila menyambung pelajaran di sekolah rendah nanti.


Sementara itu Ustaz Dahlan Bin Daud dalam ucapan perasmiannya menggesa ibubapa agar mementingkan pendidikan anak-anak sedari awal lagi agar mereka terbiasa dengan didikan agama sedari kecil. Beliau turut bersetuju dengan pandangan Pn Nasyitah Binti Abdullah bahawa timbulnya pelbagai gejala sosial dalam masyarakat kerana anak-anak tidak mendapat perhatian dan didikan sepenuhnya. Ibubapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak mereka.

"Anak-anak perlu mendapat didikan yang seimbang daripada "JERI"nya iaitu seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek". ujarnya.

Turut hadir dalam majlis ini Encik Kameri; Pengarah Tadika HIKMAH, Cawangan Sibu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Gambar-Gambar Kenangan Nur Asilah Naemah








Nota : Gambar-gambar di atas adalah anak saya yang turut menamatkan pembelajarannya di TDR. Semoga menjadi anak yang solehah, insya Allah.

Friday, November 06, 2009

Surau An-Nadwah Surau Haram??? JAIS minta penjelasan

Oleh isma daud


Beberapa hari saya tidak mampu menulis di blog ini. komputer asyik alami gangguan. Kenalah hantar kedai komputer untuk dipulihkan. Alhamdulillah hari ini ia dah sihat. Bila ia sihat, saya boleh menulis semula. Bukan tidak ada peluang menulis di bilik ICT sekolah. Tapi itu bukan tempat yang sesuai kepada saya  menulis sewaktu berada di sekolah. Menghadap komputer saya sendiri bagaikan memanggil pelbagai ilham untuk saya curahkan di sini.

Entah angin apa yang bertiup tetiba JAIS, Sibu sehingga anginnya itu memecah kedamaian dan ketenangan aktiviti surau yang dinamakan Surau An-Nadwah, SMK Rosli Dhoby, Sibu? Apa lagi yang belum habis dengan JAIS ni?. Malas saya nak menyebut isu JAIS ni.

Tapi dua hari ni ia mengganggu emosi saya selaku Pengerusi Surau An-Nadwah, Sibu. Pengerusi kepada surau yang tidak gah pada struktur binaannya. Sebuah surau yang kerdil yang dibina dengan dana dan sumbangan orang ramai. Sebuah surau di sekolah kerajaan tetapi tiada sesiapa yang membelanya. Surau yang dibela oleh insan-insan kerdil dan kasih-sayang orang ramai....

Sebaik sahaja saya masuk ke pintu pagar sekolah, saya menjalankan tugas harian saya seperti biasa. Sampai di penghujung tugasan, sebelum pulang saya mengimamkan solat Zohor di Surau An-Nadwah bermakmumkan pelajar-pelajar petang yang memenuhi ruang surau itu. Tiada apa permasalahan yang saya alami sepanjang menjalankan tugas hari ini.


Seselesai saja solat, Tuan Hj Hamzah ( Guru Kaunselor sekolah) bertanya kepada saya mengenai JAIS, Sibu yang menelefon Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Sibu dan bercakap dengan Tuan Pegawainya seorang yang bukan Islam mengenai Surau An-Nadwah. Apa yang orang bukan Islam tahu dan mengapa perlu bertanyakan kepada Tuan Pegawai? Sudah tentu menimbulkan persepsi yang tidak sihat di benak, hati dan fikirannya. Apatah lagi isu ini berlaku di sebuah sekolah di bawah seliaannya. Lantas Tuan Pegawai menelifon Tuan Pengetua SMK Rosli Dhoby bertanyakan mengenai hal ini. Tuan Pengetua juga bukan Islam. Sekali lagi timbul persoalan dibenaknya betapa satu isu berkaitan Surau An-Nadwah sangat besar sehingga JAIS, Sibu menelefon Tuan Pegawai dan Tuan Pegawai menelifon Tuan Pengetua. Betul mereka itu kepala jabatan masing-masing tetapi sehingga ke tahap itukah JAIS perlu bertindak dalam isu orang Islam? Tiada orang Islam ke di Jabatan Pelajaran Sibu? Tiadakah Pegawai Khas yang boleh menangani isu Pendidikan Islam kalau perlukan maklumat mengenai orang Islam?


Seorang Pegawai JAIS menelifon Tuan Pegawai PPD, Sibu dengan bertanya adakah Surau An-Nadwah menjalankan aktiviti secara haram termasuk melaksanakan solat Jumaat tanpa surat kebenaran daripada Majlis Islam Sarawak dan perlaksanaan itu adalah haram dan tidak sah?

Apa yang dapat dijawab olehnya walaupun jika sekiranya dia tahu hal ini sekadarnya. Bukankah lebih elok dan lebih berhemah jika JAIS dapat bersikap mendidik dan memahami dengan bersikap lebih mesra sesama Muslim. Apakah tidak boleh bertanya kepada Pegawai Agama di Sektor Pendidikan Islam dan Moral  (SPIM/UPIM) di Pejabat Daerah atau berhubung dengan "orang yang betul".

Sehingga orang bukan Islam bertanya kepada saya; Susahnya Islam. Mahu solat pun perlu surat kebenaran juga ke? Kalau solat tanpa kebenaran di surau yang belum berdaftar haramlah solat itu ye? Surau Haram Solat Pun Haram!!!

Mengapa pihak JAIS tidak boleh berhubung dengan saya sendiri untuk mendapatkan maklumat dan isu-isu yang berkaitan dengan surau an-Nadwah? Bukankah JAIS sebelum ini boleh mencari nombor telefon saya untuk memanggil saya mengadap JAIS, Sibu. Boleh menjemput saya untuk hadir ke majlis muzakarah mereka dan akhirnya saya terpaksa berdepan dengan tindakan JAIS, Sibu?

Yang jelasnya saya tidak faham apa yang JAIS, Sibu mahu? Apa yang mereka kehendaki?


Untuk pengetahuan saya mengambil tanggungjawab sebagai pengerusi Surau ini bermula tahun ini. Tidak ada jawatankuasa lengkap melainkan ianya jawatan kuasa di bawah Badan Agama Islam (BADAI),SMK Rosli Dhoby. Sebuah surau seperti surau di sekolah-sekolah lain juga. Apabila saya datang ke sekolah ini bermula tahun 2000, surau ini telah mengalami transformasi di mana surau kayu asalnya telah di roboh dan diganti dengan surau yang ada sekarang. Surau kayu itu telah dibina oleh Askar Wataniah secara gotong royong. Ia di antara surau yang diiktiraf oleh JAIS kerana sentiasa mendapat bantuan kewangan tahunan sekali sekala.

Sejak pembinaan surau kayu lagi, solat Jumaat didirikan kerana jamaah surau ini adalah terdiri daripada warga dua buah sekolah iaitu SMK ROSLI DHOBY dan SM TEKNIK,SIBU. Dua sekolah yang pintu masuknya berkongsi satu pintu. Surau merupakan titik pemisah sempadan dan dua sekolah mengimarah satu surau khususnya untuk Solat Jumaat. Oleh kerana sekolah ini sekolah berasrama dan para jamaahnya ramai maka solat Jumaat dilaksanakan di sini. Sejak dulu hal ini ada dalam makluman JAIS. Mungkin pegawai JAIS pada masa itu tidak kisah sangat persoalan pendaftaran ini, asal orang islam dapat solat Jumaat sudah tidak menjadi pertikaian lagi. Jelasnya secara lisan ada dimaklumkan hal dan permasalahan surau ini dan persoalan warga di sini.

Persoalan utamanya ialah para pelajar yang menghuni asrama. Dimanakah mereka mahu menunaikan solat Jumaat jika mereka tidak solat di sini? Tiada pengangkutan dan kalau ada pengangkutan pun tidak cukup untuk mengangkut jumlah pelajar yang sebegitu ramai. Lagipun jadual pembelajaran yang ditamatkan agak lewat sehingga jam 12.25 tengahari. Zohor pun masuk sekitar jam 12.30 tengahari. Mana mungkin pelajar Islam mampu menunaikan solat Jumaat sedangkan mereka adalah warga asrama yang sudah akil baligh. Masjid an-Nur jauh. Masjid terdekat pun ialah Masjid Darul Halim dan masdid Kpg Jeriah iaitu Masjid Babus Salam. Bukannya dekat. Tidak memampukan kami membawa pelajar asrama yang ramai ini untuk menunaikan fardhu Jumaat di sana.


Sejak saya mengambil alih surau An-Nadwah selaku pengerusi, saya telah ke JAIS, Sibu dan telah berbincang dengan Awang Salmi, seorang Naqib bagi surau-surau di Sibu dan menjelaskan persoalan ini. dan saya telah berbincang untuk mendaftarkan surau ini dan memahon secara rasmi dengan MAIS/JAIS untuk menunaikan solat Jumaat secara rasmi. Saya perlukan sedikit masa menyelesaikan beberapa masalah kerana ini melibatkan pentadbiran dua buah sekolah...

Kami ini ada dua buah sekolah dan banyak isu-isu dan perbincangan perlu kami ambil kira. Ini kerana surau ini adalah di bawah pentadbiran SMK Rosli Dhoby. Jadi kami telah berbincang untuk membentuk jawatan kuasa bersama di antara SMK Rosli Dhoby dan SM Teknik Sibu. Secara ketetapannya baru minggu lalu saya dan Ustaz Roslan (SM Teknik) bersepakat untuk mentadbir surau ini secara bersama mula tahun 2010. Saya rasa pihak JAIS tidak pernah ambil tahu hal-ehwal surau ini kerana surau ini berada di bawah pentadbiran sekolah bukan pentadbiran kampung/kawasan.


Jawatankuasa ini agak tertangguh tahun ini kerana kesibukan kami menambahbaikkan surau sejak bulan April lalu dengan dananya bergantung kepada sumbangan orang ramai dari masa ke semasa. Ini menyebabkan kami sentisa sibuk mencari dana untuk menyiapkan surau ini. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa yang mengabaikan pendaftaran surau ini sejak dulu... Mungkin keadaan yang ada pada masa itu, begitulah agaknya...

Namun saya insya Allah akan mengusahakan agar perjalanan surau ini berjalan dengan cara yang betul dan mengikut peraturan. Kepada JAIS, Sibu bersabarlah dan berilah ruang masa kepada kami untuk menyelesaikan permasalahan yang ada untuk kebaikan umat Islam di sini juga. Jika kalian merasakan sesuatu yang tidak betul, datanglah ke surau kami... kalian tidak pernah sampai ke sini... kami perlukan bantuan kalian yang bijaksana. Berilah tunjuk ajar kepada kami dan jangan tunjuk jalan yang kurang ajar kepada kami...

Wednesday, October 28, 2009

Saya Masih Di sini...

Oleh isma daud


Masih saya ingat pada tarikh ini; 28 Oktober 2007, saya mendapat keberanian untuk menjadi seorang blogger. Di mana percubaan saya menulis hanya hadir pada 31 Oktober sebagai posting pertama saya. Cuba-cuba saja.

Sekian lama saya hanya menjadi pembaca kepada blog orang lain sehingga ke saat dan detik tarikh ini sudah  dua tahun berlalu ; saya benar-benar yakin untuk menyertai dunia luas tanpa sempadan ini. Beberapa kali saya melayari blog milik Kassim Selamat yang saya temui secara tidak sengaja. Membaca blognya membuatkan saya terfikir mengapa saya tidak boleh berbuat seperti dia sedangkan dia hanya memiliki satu jari untuk menulis dan saya juga memiliki kemahiran satu jari juga untuk menaip. Sementara jari telunjuk kanan saya menekan huruf, jari telunjuk kiri pula mampu menekan vokal "A", "Caps Lock" dan "Shift" sahaja di papan kekunci (keyboard). Lain-lain huruf konsonen semuanya dikendalikan oleh jari telunjuk kanan. Jari-jari lain terus mati gerak ketika menaip.

Jadi saya mula mendapat semangat untuk meneroka alam blog  ini sedangkan saya bukanlah mahir menggunakan komputer. Hanya sedikit keberanian saya memulakan langkah ini.

Setelah saya menyertai rangkain blogger lain saya rasa teruja dan mula memaklumkannya kepada sahabat-sahabat terdekat. Ada yang menerima secara positif dan tidak kurang memandang negatif usaha saya. Tapi saya tidak kisah. Sekali lagi saya mengenang saudara Kasssim selamat yang hanya terbaring di katilnya mampu keluar ke dunia luas tanpa sempadan ini, mengapa tidak saya juga?

Seorang hamba Allah, kawan baik juga asalnya tapi kini dia sudah jauh berjaya dalam kerja dan kerjayanya menelefon saya mengajak saya minum di sebuah cafe..."Melanau Cafe" namanya, yang mana cafe ini telahpun berkubur tanpa nisannya... untuk menyatakan pandangannya tentang saya yang mula berblog.. Ternyata dia begitu negatif kepada saya. Mempersoalkan siapa saya dan siapa nak baca blog saya. Memang saya tidak memiliki PhD, MA dan Ijazah Kelas Pertama. Saya hanya seorang pendidik dan daie kerdil yang menamakan blog saya sebagai blog "USTAZ ROSLI DHOBY". Jadi pada pendapat dan pandangannya, siapalah yang mahu pandang tulisan saya.  Begitu sekali pandangannya kepada saya... Dia hanya ajak saya minum hanya kerana itu... tidak mengapalah. Dia ada kebebasan sendiri menyatakan apa yang dia rasa sebagaimana saya rasa saya juga ada kebebasan yang sama untuk bersuara. Pada saya kini, semua itu adalah cabaran awal kepada saya untuk terus istiqamah dalam arena ini.

Memang betul saya tidak memiliki semua itu tapi saya hanya ada kemahuan dan keberanian. Syukurlah sehingga hari ini saya masih istiqamah dan terus menulis sekadar kemampuan saya. Adanya saya di persada ini bukti keikhlasan saya untuk berbakti kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling saya agar memperolehi manfaat bersama.Semuanya ini saya lakukan kerana Allah dan mengharapkan redhaNya jua.

Syukurlah saya masih di Sini...

Persepsi salah kepada blogger ini bukan sedikit bahkan ada menteri pun menuduh bahawa blogger ini adalah kerja orang yang tidak ada kerja dan mengata orang lain saja. Tetapi saya berpendapat bahawa blog merupakan medium terbaik untuk kita berhubung dengan siapa saja di dunia luar. Biarpun kini pelbagai medium baru yang lebih ringkas dan cepat untuk menerima respond daripada pihak lain seperti FACEBOOK, Friendster dan lainnya, blog lebih jauh berkesan kerana dia lebih peribadi dan ruang menulisnya lebih lengkap dan sempurna. Bahkan dengan berblog ini, saya merasakan saya bagai seorang guru dan orang yang datang bertandang ke blog saya bagaikan murid-murid yang datang berkongsi ilmu di sini. Sebab itu saya jadikan matlamat saya berblog ini adalah untuk mengajak sesiapa saja di luar sana untuk menjana hidup beragama. Mengajak mereka untuk sama-sama untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Medium Penghubung

Semoga blog ini akan terus menjadi penghubung saya dengan sesiapa saja tanpa syarat. Bahkan saya merasakan banyak sebab saya bersyukur menjadi seorang blogger kerana saya telah berkesempatan menolong insan-insan yang memerlukan bantuan termasuk khidmat nasihat kaunseling dan  menjawab pelbagai isu dan persoalan agama yang mampu saya kendalikannya.  Sekadar ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT. Walaupun saya akui bahawa saya bukanlah seorang kaunselor atau seorang mufti tapi saya selalu mengingatkan diri saya bahawa saya adalah seorang daei pada jalan Allah SWT. Jadi saya ada tanggungjawab dan fungsi membimbing mereka yang memerlukan khidmat saya. Bahkan saya merasa lebih ikhlas di sini. Orang datang dan pergi dan semuanya bebas berbicara tanpa syarat dan tanpa sekat.

Apabila saya menerima hukuman masyarakat yang tidak memungkinkan saya menyampaikan kuliah di surau dan masjid, maka di sinilah saya meluah rasa. Sejak detik itu saya menulis dengan "suara rasa dan bicara isma daud". Saya berharap sesiapa saja yang mentelaah blog saya dapat menyelami hati dan perasaan saya yang menghadapi saat sukar dalam hidup saya ketika itu. Bahkan saya mendapati pihak2 bermusuhan dengan saya menjadikan blog ini santapan mereka setiap hari. Ada sumber-sumber yang memberitahu saya begitu. Bahkan tulisan saya mereka ulas dalam liqa' mereka sendiri... Bahkan wakil mereka ini ada berkata kepada saya dalam satu perjumpaan rasmi; "Kita tahu apa yang ustaz tulis dalam blognya kepada kita...".

Di sinilah saya mencurah suara hati saya. Syukur. Pelbagai respon telah saya terima samada baik maupun buruk... semuanya menjadi pengajaran berguna kepada saya. Di atas sokongan mereka yang menghargai dan mengertikan saya, saya kini bersemangat semula dan mampu bangkit dari kejatuhan itu.. Kuliah saya  kini mula berputik semula biarpun tidak sesemeriah dulu. Biarpun kini kuliah saya itu hanya di rumah kediaman individu dan di halaqah-halaqah tertentu saja. Namun syukur saya masih berpeluang mengatasi segalanya.

Sejak peristiwa itu, saya mula mengenal siapa kawan, siapa lawan. Siapa yang jujur dan siapa yang hipokrik. Siapa yang membangunkan dan siapa yang menjatuhkan... saya mula kenal erti kebenaran dan kejujuran...

Walau apa pun, syukur kerana sudah masuk tahun ke tiga , saya berada di dunia blogger ini. Dan saya syukur kerana saya masih kukuh berdiri di sini. Alhamdulillah!!!

Monday, October 26, 2009

"Sorry To Saylah..." ~ Kata Juru Jual itu...

Oleh isma daud.

"Sorry To Saylah!!! Awak ni dahlah gelap , pilih warna yang kelabu asap pula, menambah gelap awak tu, langsung tak sesuai..." ~ kata juru jual itu...

Saya tidak berasa hati dengan kata-kata seorang jual perempuan itu. Orangnya cantik jugalah. Sebab tu... ikhlas tidak berasa hati. Kalau juru jual lelaki mungkin saya berasa hati.

Sebenarnya saya memang tidak berasa hati sebab jurujual itu bercakap benar, memang saya gelap pun. Kalau dia kata saya ni putih melepak pasti saya berasa hati kerana saya boleh jadi berpendapat bahawa dia sedang menyindir saya. Sekurang-kurangnya dia bercakap benar. Katakanlah yang benar walaupun pahit. Sedangkan yang benar itu tidak akan menyakiti sesiapapun akhirnya.

Itulah pengalaman saya petang kelmarin ketika saya singgah di sebuah kedai untuk membeli suatu barang di kedainya. Ini kali pertama saya singgah ke kedai tersebut. Jurujualnya oklah peramah dan mesra.

Yang pentingnya di sini saya ingin menyatakan bahawa peri pentingnya kita bercakap benar, bukan hipokrik.

Mutakhir ni banyak orang yang hipokrik. Bukan semua, tapi ramai yang hipokrik. Di depan lain bahasanya dan di belakang lain pula bahasanya. Kononnya menggunakan bahasa berlapik , yang manis bak madu tetapi terselindung racun yang sangat berbisa. Bahasa mudah difahami ialah bahasa munafiq. Kononya untuk menjaga perhubungan.

Mungkin inilah sebabnya orang suka bersikap hipokrik kerana mahu menjaga perhubungan. Tetapi apabila di belakang dia sanggup menjatuhkan kita dan mengkhianati kita. Berwaspadalah kepada golongan ini. Walaubagaimanapun bukan mudah kita dapat mengenali insan sebegini. Biasanya bila sudah kita jatuh baru kita kenal mereka ini.

Sewaktu saya bercakap tentang seseorang pagi tadi bahawa saya tidak menyukai sikapnya, saya berterus-terang kepadanya bahawa saya tidak suka caranya. Syukurlah dia dapat menerimanya. Saya harap dia ikhlas menerimanya dan tidak membuat salah tafsiran.

Sememangnya sesuatu kritikan dan bebelan yang benar itu amat menyakitkan. Tidak mudah menerimanya. Namun sebagai orang memberi kritikan perlu ikhlas, barulah orang yang menerimanya dapat merasakan kritikan itu sebagai satu nasihat walaupun pahit pada awalnya.

Walaubagaimana pun, tidak dapat dinafikan bahawa orang yang menerima kritikan ni tidak kurang hipokriknya. Di depan orang yang berani mengkritik atau menegurnya seolah-olah dia dapat menerima tetapi dalam hati hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Kot-kot depan kita dia kata boleh terima, tapi bila balik rumah hatinya sudah membengkak dan menyumpah-menyumpah kita. Lebih malang lagi dia membuat-buat cerita di sebalik teguran itu pula. Sudah tentu hikmah teguran tadi telah hilang. Hasilnya ialah akibat-akibat dan kesan buruk pula yang timbul.

Inilah menyebabkan lebih ramai orang bersifat hipokrik dan tidak mahu bersikap benar. Tidak sanggup menanggug risikonya... Sebab itulah Rasulullah saw bersungguh-sungguh menegaskan supaya kita bercakap benarlah walaupun pahit.

Saya masih ingat bila seorang suami yang mahu bercakap benar dengan isterinya bahawa dia ada hubungan dengan seseorang perempuan di luar, niatnya itu telah disalah-ertikan lalu menimbulkan suasana keruh dalam rumah tangga. Padahal si suami hanya mahu bercakap benar. Mahu bersikap jujur. Tapi isterinya terus mengamuk dan melarikan diri ke rumah ibubapanya. Mungkin ini juga menjadi faktur mengapa suami tidak mahu bercakap benar. Biar terus menipu asalkan hubungannya dengan isterinya akan terus manis bermadu... pada masa yang sama dia akan terus selamat berhubungan dengan perempuan di luar sana. Biarpun dia tahu skandal sebegitu akhirnya akan pecah juga. Namun biarlah buat sementara waktu dia merasa selamat dengan terus bersikap hipokrik sebegitu.

Berbalik kepada kata-kata yang diungkapkan oleh juru jual kepada saya petang semalam, saya merasakan agar sukar sekarang ini orang sanggup bercakap benar. nanti pelanggannya akan lari dan benci untuk datang ke kedainya lagi. Sudah tentulah jika orang yang tidak dapat menerima kenyataan tadi akan tersinggung dan berkata; "awak tu kalau nak berjual, buat cara orang nak berjual, mulut tu jangan macam-macama..."

Teringat juga kepada satu kisah di sebuah surau yang telah menjemput seorang ustaz untuk berceramah di mana sang ustaz ini telah menyebut bahawa contoh pemimpin yang baik tu sekurang-kurangnya dia dan keluarganya dapat menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat atau orang yang dipimpinnya. Lalu si ustaz ni menyebut satu contoh bagaimana pemimpin kita tidak mampu mendidik isterinya mentaati perintah Allah seperti menutup aurat dan sebagainya. Secara terus-terang ustaz itu menamakan pemimpin itu dan isterinya yang tidak menutup aurat.

Sesudah program tersebut, seorang jawatankuasa surau dengan marah berkata apalah ustaz tu bercakap tidak beralas langsung. Lalu salah seorang ahli jawatankuasa bertanya apakah yang di sebut oleh ustaz itu tidak betul dan orang yang tidak menutup aurat itu berselindung-selindung tidak tutup aurat? Secara jujur dia berkata bahkan isteri pemimpin itu memang dengan terbuka dalam apa-apa suasana di tempat awam tidak menutup aurat kecuali masa hadir majlis keagamaan dan kematian sahaja. Jadi kata hamba Allah ini dimana silapnya ustaz tadi kerana dia sudah bercakap benar. Lantas orang ini terus berdiam diri...

Cuba bayangkan jika semua ahli jawatankuasa surau tersebut semuanya satu spesis dengan si pengkritik yang tidak puas hati dengan ustaz tadi biarpun ustaz tadi nyata sekali bercakap benar. Sudah tentu ustaz itu akan di"gam" dan sebagainya...

Begitulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Betapa sedikit orang yang mahu bercakap benar. Selebihnya adalah orang yang hipokrik dan berpura-pura kerana takut bercakap benar.

Semua orang itu ada alasan mereka sendiri. Jadi Bercakap Benarlah Walaupun Pahit.

Wallahu A'lam.

Sembang Bersembang

Lebih Interaktif ^O^Ukhuwwah . Sila Klik Untuk Ke Laman Ini , Terima Kasih.
[ Copy this | Start New | Full Size ]

Sepanjang Jalan Di Sibu

Related Posts with Thumbnails

@Facebook ~ "Ustaz Rosli Dhoby"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.