Kampungku (siri 2): Berita Banjir dan Kisah Kematian

Oleh : isma daud

Dalam minggu pertama berada di kampung; sehari selepas kami berada di sini, hujan turun mencurah-mencurah sehingga banyak kawasan di landa banjir dan ramai pula yang terpaksa berpindah. Syukur alhamdulillah kawasan saya tinggal ni masih selamat daripada ditenggelami banjir. Dalam pada itu; saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk berziarah ke rumah-rumah sanak saudara yang telah setahun genap tidak berjumpa. Bertandang ke rumah ibu saudara saya sebelah ibu; menemukan saya dengannya dengan sedikit rasa hiba; matanya sudah tidak dapat melihat macam dulu lagi. Tapi dia masih mengenali saya dan kenal suara saya. Begitulah bila usia sudah senja semua nikmat tuhan yang elok kian ditarik daripada hambanya. ini mengajar kita agar kita sentiasa bersyukur atas nikmatnya dan redha pula dalam menerima segala ketentuannya.


Saya juga terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan beberapa saudara yang telah pergi menghadap Ilahi. Namun saya tetap berkunjung ke pusara mereka bersama bapa mentua saya pada pagi Jumaat pertama saya berada di kampung. Dalam pada itu dua saudara meninggal dunia dalam masa dua hari; ke semua dalam usia 50'an kerana sakit jantung dan masalah hati. Sempat saya sama-sama menunaikan solat jenazah atas mereka dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Masa tu hujan turun dengan lebat dan beberapa kawasan di Pantai Timur Semenanjung di landa banjir. Untuk mengkebumikan jenazah terpaksa menghadapi pelbagai masalah khususnya menyediakan liang untuk pengkebumian. Liang dipenuhi dengan air dan tanah pula mudah rebis. Jenazah salah seorang saudara saya dikebumikan pada waktu malam dalam situasi hujan lebat dan bergenang air.

Dua peristiwa kematian orang kampung saya yang berlaku dalam suasana yang hampir sama; untuk membawa jenazah kenderaan terpaksa meredah banjir. Kedua-duanya mati mengejut. Salah seorang mati selepas minum di kedai kopi depan rumahnya dan salah seorangnya jatuh kerana diseret oleh lembu peliharaannya. Padahal sebelum tu dia datang rumah mentua kami untuk ambil upah panjat kelapa dengan binatang berut kesayangannya.

Namun satu lagi kematian yang mengejutkan iaitu berita kematian tiba-tiba, YB Timbalan Menteri Pelajaran yang bercakap secara negatif perihal "sajak kematian" ketika sedang bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland; maknanya Ahli Parlimen Kuala Terengganu sudah kosang dan pilihanraya akan berlaku di kawasan Parlimen ini. Satu senario politik tanahair yang menarik akan berlaku di sini.

Begitulah kematian kepada seseorang bagai seorang pencuri yang datang bertandang tanpa memberitahu tuannya. Mati boleh menjemput kita bila-bila masa saja tanpa mengenal masa dan usia. Bersedialah menghadapi sakaratul maut dengan iman dan amal yang soleh... Kita berdoa agar mereka yang telah pergi itu semuanya mendapat ampunan Allah dan roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sepanjang berada di kampung ni saya sempat membantu orang kampung menyelesaikan masalah mengeluarkan zakat harta termasuk zakat perniagaan dan pengagihan harta pusaka mengikut agihan faraid. Dan seiiringan dengan itu saya dijemput menyampaikan kuliah, ceramah dan khutbah di banyak tempat sekitar bandar Terengganu ini.... insya Allah saya berkongsi cerita dalam kesempatan yang lain pula...


Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?