Kampungku (Siri 1) : Percutian Yang Dinanti

Oleh isma daud


Assalamu alaikum w.m.t.



Hampir sebulan penuh saya tidak bangunkan blog kesayangan yang telah saya mulakan sejak Oktober 2007 yang lalu. Sejak pulang bercuti ke Terengganu; saya tidak memiliki kemudahan itu. Laptop saya rosak ”motherboard”nya dan talian telefon pula tiada di rumah ibu saya yang sudah lanjut usia itu. Dengan pertolongan seorang saudara laptop saya itu dapat dibaiki dengan harga yang berpatutan.

Dalam tempoh saya bercuti di kampung halaman yang hanya sekali setahun saya jenguk; saya cuba manfaatkan cuti itu sebaik mungkin.

Dari hari pertama saya bersama isteri dan anak-anak saya jejak kaki ke bumi Terengganu; rumah ibu dan keluarga mentua menjadi tempat perkampungan saya.

Keluarga sebelah isteri saya menyambut kami di Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang cukup berubah wajahnya. Yalah dah jadi lapangan terbang bertaraf antarabangsa.


Setelah bermalam di rumah keluarga sebelah isteri; kami berkampung pula di rumah ibu saya. Ibu saya sudah berusia lewat 70an; menjaga seorang suami (bapa tiri saya) yang kena sakit stroke sejak 16 bulan yang lalu. Dalam usia lanjutnya masih mampu memberi khidmat terbaik buat suami yang tidak berdaya. Segala makan-minum , mandi dan siap pakaian serta kencing berak diurus dengan sabar. Sebagai anak saya merasa kagum dengan pengobanan ibu. Sungguh mulia hati dan jiwa ibu. Apa yang menambah rasa kagum saya ialah ibu sanggup menjaga makan-minum kepada seorang lelaki yang sembuh dari sakit gilanya sedangkan keluarga lelaki itu tidak sanggup menjaganya. Ibu sanggup melakukannya dengan jiwa yang bersih dan ikhlas.

Kampung halaman yang menjadi tempat tumpah darah saya merupakan sebuah kampung yang dihiasi dengan sawah dan pemandangan bukit yang indah dan menyejukkan hati. Anak-anak dapat menikmati suasana alam yang sedikit berbeza dari kehidupan harian mereka di bandar Sibu ini. Keindahan alam ini saya harapkan dapat memberi kekuatan minda dan membangunkan jiwa anak-anak saya yang sedikit merasakan nikmat kebebasan bermain dan berkawan. Yalah di sini perasaan aman dan tiada bimbang bersarang dalam jiwa. Jadi rasa selamat ada dalam jiwa untuk melepaskan anak-anak bermain; tiadalah mereka terkongkong di dalam mahupun sekadar berlegar di halaman rumah sahaja.

Anak saya yang paling kecil berusia mencecah tiga tahun; mula berbicara dengan petah sesampainya kami ke halaman rumah mentua saya. Mengkagumkan saya mendengarkan pendapatnya tentang kampung saya dan isteri. Kami suami isteri sebenarnya sekampung.

"Abah; ini kampung abah dengan umie ke?"
"Kampung abah banyak ayam, banyak lembu..... nyamuk pun banyak"
"Anjing pun ada macam Sibu". Saya betulkan anak saya; "bukan anjing tapi kambing".
"Kambing ke abah?". Ya. Saya mengesahkan pertanyaannya.


Dari hari pertama kami berada di kampung; perasaan tenang, aman dan jiwa segar menyelimuti perjalanan percutian kami. Semoga kedamaian ini berterusan sehingga kami kembali semula ke tempat kami mencari nafkah dan kehidupan di bumi Sibu, Sarawak nanti, insya Allah.



Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?