Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Sunday, October 19, 2008

Solat ; Seluar Jangan Terlondeh

Oleh isma daud


Menurut kamus dewan; perkataan terlondeh bermaksud terlepas, terlorot atau terlucut ke bawah.

Sudah semacam menjadi trend - bukan sekarang tapi sudah lama - masyarakat kita pergi solat Jumaat memakai seluar. atau solat yang lain sama juga. Apa yang menyentuh hati saya ialah sikap pengabaian tentang aurat ketika solat. Sebahagian kita memikirkan memakai seluar panjang sudah memadai untuk menutup aurat. Apa yang tidak terfikir oleh sebahagian kita ialah memakai seluar terlondeh dan baju singkat sehingga terbuka di antara aras pinggang dan labu punggung sehingga nampak kulit merupakan perkara yang membatalkan solat kerana aurat terbuka.

Aurat dalam solat bagi lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut. Maksudnya pusingan pada aras pusat dan ke bawah. Perkiraan aurat itu dari pandangan atas yakni mestilah seluar yang kita pakai itu tidak terlondeh dan baju tidak tersingkat ke atas sehingga nampak kulit dan lurah punggung.

Cadangan saya ialah orang yang mahu solat memakai seluar mesti memakai pakaian dalam atau "baju panas" yang dimasukkan ke dalam seluar jika memakai T-Shirt yang singkat. Kalau memakai kemeja biarlah kemas dan bertali pinggang. Insya Allah perkara ini dapat diselesai.

Yalah ; sepatutnya hari Jumaat kita mengenakan pakaian yang sesuai seperti berbaju melayu lengkap bersamping, atau memakai kain pelikat kerana ia dapat mengikat seluruh ukur lilit bahagian pusat. Bagi yang berperut buncit tu berhati-hatilah; memang seluar atau kain terlondeh punya. Ambillah jalan ikhtiar supaya aurat kita sentiasa terpelihara sewaktu menunaikan solat, jangan ambil mudah sahaja. Banyak perkara yang tak elok jika kita mempermudahkan agama walaupun agama itu memang mudah untuk diamalkan.

Aurat tidak dikira dari pandangan bawah. Contohnya orang yang memakai kain pelikat; sewaktu sujud nampak dari pandangan belakang akan pehanya; maka ia tidak dianggap terbuka aurat. Walaubagaimana pun adab dan tertib berpakaian haruslah kita ambil perhatian nanti ternampak "si anu"kan memalukan diri sendiri.

Kadang-kadang; perkara remeh seperti ini tidak di ambil berat oleh kita menyebabkan kita tidak sedar bahawa solat yang kita lakukan terbatal dan tidak diterima Allah SWT.

Saya teringat kepada satu peristiwa yang diceritakan oleh Rasulullah SAW yang melalui sebuah kubur seorang lelaki lalu berkata bahawa penghuni kubur itu sedang diseksa kerana tidak membersih air kencing dengan sempurna. Bukan tidak basuh tetapi tidak menghabiskan air kencingnya menyebabkan baki air kencing itu menitis pada seluarnya dan menyebabkan solatnya tidak diterima Allah SWT. Akhirnya dia diseksa didalam kubur. Lalu Rasulullah SAW memacakkan pelepah tamar yang muda agar selama pelepah muda itu hijau ia akan bertasbih kepada Allah SWT dan lelaki itu dikurangkan azab kuburnya.

Renung-renungkanlah...

No comments:

Related Posts with Thumbnails