Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Tuesday, October 21, 2008

Beri ibu tempoh

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Ibu kepada seorang bayi yang ditemui di bawah sebatang pokok dengan dibaluti bendera Jalur Gemilang berhampiran rumah guru Felda Palong, Gemas, 7 September lalu diberi tempoh sehingga 22 Oktober ini untuk tampil sebelum perintah mahkamah dikeluarkan untuk meletakkan bayi itu di pusat jagaan kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Mizan Maulud, berkata sejak bayi yang dinamakan sebagai Ariff Danial itu ditemui, pihaknya gagal mengesan ibu atau keluarganya.

“Bayi itu berada dalam jagaan JKM selama sebulan sehingga ibunya dikesan, tetapi jika dia enggan tampil, kami akan memohon perintah mahkamah meletakkannya di bawah pusat jagaan kanak-kanak,” katanya yang ditemui, semalam.

Bayi itu ditemui orang awam kira-kira jam 1.30 tengah hari di tepi jalan dipercayai baru dilahirkan dengan dibaluti dengan Jalur Gemilang.

Setakat ini, pemeriksaan di Hospital Jempol mendapati bayi itu sihat cuma terdapat kesan gigitan semut di badan selepas diletakkan di tepi jalan.

Mizan berkata, orang ramai yang berminat mahu mengambil bayi itu sebagai anak angkat boleh mengisi borang permohonan dan keputusannya terserah kepada Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau turut kesal kerana kebanyakan kes pembuangan bayi berlaku di kawasan pedalaman terutama di tanah rancangan Felda.

“Kami dapati kes sebegini banyak berlaku di kawasan Felda, jadi semua pihak terutama institusi keluarga perlu memainkan peranan untuk mengelak kejadian seumpama ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Zainab Nasir, berkata beliau sedih dengan kes pembuangan bayi yang berlaku seolah-olah ibunya tidak memiliki rasa kasih sayang pada anak.

“Dia boleh mengandungkan bayi itu selama sembilan bulan, tetapi tergamak membuangnya seperti sampah di tepi jalan.

“Saya ingin menasihatkan remaja terutama perempuan supaya berfikir dulu sebelum melakukan perbuatan terkutuk kerana ia bukan saja memberi imej buruk, malah nyawa tidak berdosa menjadi mangsa," katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails