Siri Kisah Nabi Musa - Siri 1

Assalamu’alaikum w.m.t.

Alhamdulillah ; syukur kehadrat Allah dapat kita bersua melalui “Kisah-kisah Al-Quran”. Rasul pilihan kita kali ini ialah nabi Musa a.s. Nabi Musa adalah salah seorang rasul “ulul azmi” yang bermaksud seorang yang sangat sabar dalam menerima cubaan Allah dan tabah menghadapi tentangan daripada kaumnya iaitu Bani Israel.

Sidang pendengar sekalian;

Nabi Musa a.s. diuji oleh Allah swt sejak dalam kandungan ibunya lagi. Negara Mesir pada masa itu diperintah oleh Firaun yang zalim dan penguasa-penguasanya sangat kejam terhadap Bani Israel. Mereka sentiasa hidup dalam ketakutan. Sehingga dalam suatu masa tukang tilik diraja meramalkan akan lahir anak lelaki yang akan menjatuhkan kerajaan Firaun yang menganggap dirinya sebagai tuhan kerana tiada sesiapa yang berani menentangnya. Firaun telah memerintahkan supaya semua ibu-ibu mengandung diperiksa dan bayi lelaki semuanya dibunuh. Firman Allah SWt dalam surah al-Qasash mula dari ayat 4 bermaksud; “Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di atas muka bumi sehingga menjadikan pendudukanya berpecah-belah dengan menindas ke atas sebahagian mereka; menyembelih anak-anak lelaki dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka, sesungguhnya Firaun termasuk di kalangan orang yang berbuar kerosakan”.

Yukabad (ibu Musa) adalah di antara ibu yang menanti kelahiran bayinya. Sepanjang kehamilannya dia sentiasa cemas dan bimbang. Apabila sampai saat dia bersalin datanglah seorang bidan membantu kelahiran bayinya. Apa yang dibimbanginya berlaku jua. Dia selamat melahirkan seorang bayi yang comel dan sihat. Kegembiraannya tidak lama. Hancur luluh hatinya mengenangkan nasib anaknya itu. Dia bersungguh-sungguh meminta bidan itu merahsiakan kelahiran bayinya. Sedaya-upaya dia menyembunyikan bayinya sehingga anak itu berusia tiga bulan. Yukabad tidak pernah berasa tenang hatinya sehinggalah Allah swt mengilhamkan kepadanya supaya memasukkan bayinya dalam peti dan dihanyutkan ke dalam sungai Nil. Firman Allah yang bermaksud: “ Janganlah kamu berasa sedih dan khuatir nanti Kami akan mengembalikannya kepada kamu”. Yukabad lalu memerintahkan supaya kakak Musa mengekori peti besi yang dihanyutkan itu dan alangkah terkejutnya apabila peti itu hanyut ke dalam istana Firuan lalu dipungut oleh dayang-dayang istana dan dipersembahkan kepada isteri Firaun. Apabila Firuan melihat anak itu lantas Firaun mengarahkan supaya bayi lelaki itu di bunuh. “ Aku bimbang inilah bayinya yang diramalkan menjadi penyebab kesedihan dan kehancuran kita!. Firman Allah SWT; “ Dan berkatalah isteri Firuan; ‘ Dia sangat comel menjadi penyejuk mataku dan matamu dan janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita dengan kita menjadikannya sebagai anak”. Anak ini dinamakan Mu Sa yang bermaksud “air” dan “pohon” sesuai tempat dia ditemui. Sungguh maha hebat ketentuan Allah SWT.

Sidang pendengar sekelian;

Tiap sesuatu ketentuan Allah; pasti akan berlaku mengikut ketentuannya yang Maha Esa lagi Maha berkuasa. Firaun yang berkuasa itu pun tidak berupaya melawan ketentuan Tuhan bahkan dia sendiri yang menjaga musuhnya di dalam istananya sendiri. Jadi; Yakinlah kita dengan ketetapanNya. Semoga kita bersua lagi dalam siri kedua daripada kisah nabi Musa a.s.ini. Insya Allah. Sekian , Wabillahittaufiq Wal hidayah, Wassalamu ‘alaikum wmt.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?