DIGALAKKAN SAMBUT NISFU SYAABAN

Masih ada lagi tanda tanya dan kekeliruan mengenai sambutan Nisfu Syaaban yang kebetulan berlangsung malam ini. Ia berlaku bukan saja di kalangan umat Islam di sini, malah di serata dunia. Mufti Syed Isa Semait menjelaskan pengertian malam istimewa ini.

NISFU Syaaban (tanggal 15 Syaaban iaitu pada malam ini) merupakan antara hari atau malam yang mempunyai kedudukan tinggi dan kebaikan istimewa.

Hal ini bersandarkan hadis atau khabar daripada para sahabat dan ulama muktabar (berwenang) mengenainya.

Ramai ulama khususnya ulama hadis dan ulama fikah (fuqaha) yang mengambil perhatian akan fadilat hari atau malam istimewa seperti Nisfu Syaaban.

Mereka mengumpulkan sanad-sanadnya (riwayat terkumpulnya hadis) dan mengkaji keutuhannya serta mentafsirkan teksnya untuk mendapat fadilat yang ada padanya.

Meraih barakah

Oleh itu, setiap kali tibanya hari atau malam berfadilat tadi, ramai orang Islam akan menyambutnya demi mendapat berkat Allah swt.

Sambutan ini biasanya dilakukan sesuai dengan ajaran Islam iaitu berpuasa, beristighfar, berdoa, bersolat demi mendekatkan diri kepada Allah (muraqab).

Malah sempena kebesaran hari atau malam khas tadi, ada umat Islam yang bersedekah, mengadakan majlis silaturahmi dan membuat pelbagai kebajikan. Semua amalan ini bertujuan meraih keredaan Allah.

Amalan sedemikian dikira sebagai kebaikan atau ketaatan yang digalakkan oleh syariat Islam pada musim yang ditentukan.

Keluasan rahmat-Nya memberi makluman kepada hamba-hamba-Nya supaya gigih merebut kesempatan dengan beramal pada hari-hari dan malam-malam mulia itu.

Setiap malam atau hari istimewa itu memiliki kelebihannya. Allah mengurniakan para hamba-Nya yang melakukan dengan imbalan atau ganjaran mengikut kadarnya. Allah akan mengganda pahala kepada sesiapa yang Ia suka.

Ada beberapa hadis yang menerangkan tentang kelebihan Nisfu Syaaban. Antaranya, Rasulullah saw telah menyambutnya dengan bersolat pada malamnya dan berpuasa pada siangnya. Hal ini terpapar dalam banyak kitab hadis terkemuka seperti riwayat Bukhari dan Muslim. Ia disampaikan oleh perawi (pembawa hadis) termasyhur. Ibn Habban, antara perawi hadis terkenal, menganggap hadis mengenai Nisfu Syaaban sebagai sahih (benar).

Tetapi ada juga ulama menganggap status himpunan hadis mengenai Nisfu Syaaban sebagai daif (lemah).

Bolehkah beramal?

Timbullah persoalan - bolehkah beramal dengan hadis daif?

Imam Ibn Hajar, ulama ternama daripada mazhab Syafie dalam kitabnya, Addurur Mandhud, berkata para ulama fikah dan hadis serta bidang lain, sebagaimana dilaporkan oleh Imam Nawawi bahawa beramal dan berhujah dengan hadis yang daif dalam melaksanakan kebaikan atau kebajikan adalah harus. Melainkan hadis itu terlalu lemah, ia harus ditolak.

Al-Izz bin Abdus Salam dan Ibn Daqiq el Eid telah menerapkan pandangan ini dalam susunan hukum umum sebagai satu syarat untuk menggunakan hadis daif.

Oleh itu, pendapat Abu Bakar Al-Arabi yang menyatakan beramal dengan hadis daif tertolak sepenuhnya adalah tidak sesuai.

Ada ulama berpendapat bahawa hadis daif boleh dipakai sepenuhnya jika tiada hadis yang bertentangan dengannya.

Umumnya berdasarkan himpunan hadis (termasuk yang daif) mengenai fadilat Nisfu Syaaban dan galakan menyambutnya, ia merupakan perkara yang dibolehkan kerana mencukupi syarat yang diperlukan.

Imam Ghazali berhujah bahawa memang digalakkan menyambut dan merayakan hari dan malam berfadilat menurut ketentuan Islam seperti Nisfu Syaaban.

Seorang lagi ulama, Alhafiz bin Rajab, berpendapat dianjurkan Muslim memanfaatkan masanya pada malam Nisfu Syaaban dengan berzikir dan berdoa kepada-Nya dengan niat memohon:

· pengampunan dosa,

· perlindungan dari keaiban dan

· keselamatan daripada sebarang bencana.

Caranya ialah terlebih dahulu bertaubat dan hendaklah menjauhi sebarang perbuatan dosa yang menjejas terkabulnya doa. Selanjutnya beliau mengesyorkan agar diadakan solat berjemaah dan berdoa pada malam Nisfu Syaaban.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?