Dimadu isteri: Jalin hubungan sulit

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya kini seolah-olah dimadukan oleh isteri. Dia lari ikut lelaki lain dan mendakwa sudah berkahwin dengannya, walaupun dia tahu saya tidak pernah menceraikannya,” kata suami wanita terbabit yang dikenali sebagai Razin, 51.

Razin mendakwa isteri meninggalkannya untuk mengikut lelaki lain sejak sembilan tahun lalu dan kes perceraian mereka sudah difail di mahkamah, namun masih tertangguh dan belum diselesaikan sehingga kini.

Menurut Razin, isterinya berubah sikap dengan penuh tanda tanya kerana sepanjang tempoh perkahwinan selama 18 tahun, mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling sayang menyayangi.

“Entah apa yang berlaku, pada Mac 1999 isteri tiba-tiba berubah sikap. Dia terlalu membenci saya tanpa saya tahu apa sebabnya. Asal bertemu, dia akan mengungkapkan perkataan ‘aku benci kau’.

“Daripada sikapnya yang lemah lembut dan sangat menghormati suami, dia berubah menjadi biadap. Dia sanggup menampar, malah ‘sepak terajang’ saya jika ada perkara yang dia tidak puas hati,” katanya.

Razin berkata, apabila diselidiki, rupa-rupanya isterinya menjalin hubungan sulit dengan pemuda berusia awal 20-an.

Selepas mengetahui kecurangan isterinya, Razin bertemu dengan lelaki itu dan menerima pengakuan daripadanya.

“Lelaki itu bukan saja membuat pengakuan lisan, tetapi juga bertulis. Dia mengaku menjalin hubungan dengan isteri saya, malah meminjam wang sebanyak RM5,000 daripadanya.

“Dia menandatangani surat yang ditulis dan mengaku insaf dengan perbuatannya. Dia juga berjanji tidak akan mengganggu rumah tangga kami lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Razin berkata, di sebalik janji dilafazkannya, lelaki itu masih menjalin hubungan sulit sehingga isterinya tergamak melarikan diri untuk bersekedudukan dengannya.

“Pada mulanya isteri membawa bersama lima anak kami, namun saya mendapatkan dua anak saya yang kini berusia 18 dan 14 tahun tinggal bersama saya,” katanya.

Razin berkata, biarpun kes perceraian belum diputuskan, hak penjagaan anak mereka terpaksa ditentukan oleh mahkamah kerana dia dan isterinya tidak lagi tinggal sebumbung.

“Mahkamah juga memberi hak penjagaan sementara anak keempat kepada saya, tetapi sehingga hari ini saya tidak dapat menjaganya kerana isteri tidak menyerahkannya kepada saya. Saya cuba mencari isteri saya tetapi gagal kerana dia dan lelaki itu menghilangkan diri,” katanya.

Razin berkata, selepas menjalin hubungan dengan lelaki itu, isterinya minta diceraikan tapi dia enggan menjatuhkan talak kerana mengenangkan masa depan anak.

“Dia (isteri) berkali-kali minta saya ceraikannya, malah mengugut untuk membunuh diri jika saya tidak menceraikannya. Saya juga ditendang, dicakar, dipukul kepala dan diludah ke muka, tetapi saya masih bersabar.

“Saya sangka sikapnya akan berubah, rupa-rupanya bertambah teruk. Disebabkan terpengaruh dengan teman lelakinya, dia terus meninggalkan saya untuk hidup bersama lelaki itu,” katanya.

Razin berkata, berikutan tindakan isterinya, dia memfail kes nusyuz (ingkar) ke atas isterinya dan mengenakan syarat hanya akan menjatuhkan talak jika isteri sedia memberi hak penjagaan semua anak kepadanya.

Malangnya, isterinya tidak bersetuju dengan syarat itu dan ini menyebabkan kes perceraian mereka beberapa kali tertangguh di mahkamah, terutama selepas isterinya gagal hadir ketika hari perbicaraan.

“Ketika itu isteri turut mengugut akan membunuh diri jika tiga lagi anak saya yang tinggal bersamanya memilih untuk tinggal bersama saya,” katanya.

Kali terakhir Razin bersemuka dengan isterinya ialah pada 2000 ketika kes perceraian mereka masih di peringkat awal perbicaraan dan sejak itu dia gagal menjejakinya.

Razin mendakwa, sejak 1999 hingga ke hari ini, isterinya dan lelaki itu tiga kali ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Ketika ditangkap, mereka mendakwa sudah bernikah tetapi tidak dapat menunjukkan dokumen membuktikan mereka adalah suami isteri yang sah.

“Bagaimanapun, yang peliknya mereka terlepas daripada tindakan, malah sehingga hari ini saya percaya mereka masih tinggal bersama,” katanya.

Menurut Razin, dia sedih mengenangkan nasib isterinya yang hidup bergelumang dengan maksiat.

Katanya, dia juga kusut memikirkan nasib tiga anaknya yang tinggal bersama isterinya dan lelaki itu.

“Saya masih cuba mencari mereka tetapi mereka langsung tidak menghubungi saya, walaupun saya menggunakan nombor telefon bimbit sama ketika masih hidup bersama.

“Dulu, isteri sangat menyayangi anaknya, tetapi sampai sekarang dia tidak ambil tahu langsung mengenai dua anak yang menetap bersama saya,” katanya.

Razin berkata, dua anak di bawah jagaannya mengakui tetap sayangkan ibu mereka dan adik beradik lain.

“Dua anak saya mahu abang dan adiknya menghubungi mereka kerana sangat merindui mereka,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?