AIBkan Anwar : Konspirasi 1998 sekali lagi?

28/06/2008

Dakwaan Liwat

Sumber dari Parti KeADILan Rakyat melalui sistem mesejnya telah menyebarkan berita "polis telah menahan pembantu khas DSAI, Sdr Saiful Bahari petang ini 28 Jun dan memaksa beliau membuat pengakuan diliwat oleh DSAI. Polis juga dijangka menangkap DSAI malam ini juga. Sila sebarkan".

Adakah ini menandakan Dolah dan Najib tersepit dan terpaksa merancang perkara ini bagi menghalang DSAI dari berjaya mengambil alih kerajaan menjelang 16 September ini?

Marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah agar DSAI dilindungiNya dari perbuatan jahat dan tindakan desparado golongan yang zalim.

Semoga Allah menurunkan bala kepada mereka yang merancang fitnah sedemikian!


29/06/2008


Laporan Polis

Dakwaan liwat terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan berlaku "dalam sebuah kondo di kawasan Damansara", demikian menurut laporan polis yang dibuat pembantunya yang berusia 23 tahun semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Bakri Zinin juga mengesahkan bahawa satu pemeriksaan perubatan telah dijalankan ke atas mangsa terbabit.

Beliau memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan yang adil dan terperinci.

Ditanya sama ada Anwar akan ditahan, Bakri berkata polis perlu mengkaji dakwaan tersebut terlebih dahulu.

Bagaimanapun, pihak polis menafikan menahan pembantu Anwar itu dan dipaksa mereka-rekakan bukti, seperti yang didakwa oleh PKR.

"Jangan dengar khabar angin. Dengar cakap saya. Saya ketua CID," kata Bakri apabila ditanya mengenai perkara tersebut.

Beliau menegaskan mangsa yang menulis sendiri laporan tersebut.


Kenyataan Anwar Ibrahim

 Laporan polis yang dibuat terhadap saya awal hari ini adalah satu rekaan semata-mata. Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya seperti pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan. Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan.

Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang saya sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang saya perolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998-99. Serangan jahat ini tidak akan menghalang saya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam.

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya. Kita menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah telunjuk serta arahan pemerintah.

Rakan-rakanku rakyat Malaysia - kita telah mengambil langkah berani pada 8hb Mac 2008 untuk mara demi harapan baru untuk kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat. Gerakan rakyat untuk perubahan mesti terus maju dengan segala kekuatan dan keberanian.


Sokongan

Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim dilaporkan ditempatkan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur atas alasan keselamatan.

ImageNaib Presiden Azmin Ali mengesahkan bahawa Anwar berbuat demikian demi keselamatan dirinya.

"Beliau telah dihantar ke sana sejak jam 6.00 pagi tadi. Tidak siapa pun yang boleh menziarahi beliau kecuali isteri dan anak-anaknya," kata Azmin.

Katanya, tidak dapat dipastikan sampai bila Anwar akan berlindung di kedutaan tersebut.

Kini para penyokong KeADILan sedang mula berkumpul di kedutaan tersebut bagi menyatakan solidariti terhadap Anwar.


PM : Nafi Terlibat

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada polis untuk mengadakan siasatan bagi menentukan kesahihan berhubung dakwaan bahawa Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim meliwat seorang pembantunya.

ImageKatanya, siasatan wajar dibuat dan bukan hanya bergantung kepada penafian Anwar sahaja kerana sepertimana kes jenayah lain, sudah semestinya sesiapa sahaja yang dituduh akan menafikannya.

"Kalau sudah begitu pihak polis lah yang kena ambil apa-apa tindakan yang sewajarnya. Laporan telah diberi, polis akan buat siasatan dan tentukan bahawa benda itu betul atau tidak betul.

"Apa yang Anwar kata bukan kita boleh tentukan...dia tentulah buat penafian. Itu lazimnya begitulah. Orang yang dituduh akan buat penafian,' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bumi Hijau Warga Putrajaya Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.



Nik Aziz Sifatkan Konspirasi Burukkan Imej Anwar

 Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan tuduhan liwat terhadap Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu konspirasi politik.

Ini kerja-kerja politik belaka. Geng-geng politik semua, kerana tidak beriman. Dalam blog pun dibuat macam-macam tuduhan.. apa ni, katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini.



Kenyataan Media : Presiden PKR


Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media sebentar tadi mendedahkan gambar pengadu kes Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.

a
Gambar itu akhirnya mencetus tanda tanya samada kes dakwaan liwat terbaru membabitkan Anwar itu adalah berpunca dari konspirasi seseorang.

Beliau tidak mendedahkan siapa yang menyerahkan gambar tersebut namun disyaki adanya konspirasi seperti kes pada tahun 1998 membabitkan Anwar.

Namun menurut sumber, Saiful adalah Pegawai Khas Anwar yang menjadi sukarelawan ketika pilihan raya umum lalu dan beliau dikatakan bukan ahli KeADILan.

Wan Azizah yang mengulas perkembangan terbaru itu menyatakan rasa kecewa dengan dakwaan tersebut yang dikatakan sekali lagi untuk menjatuhkan Anwar.

Malah menurut Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, kini konspirasi itu bukan sahaja untuk menjatuhkan Anwar malah mengancam hidup Anwar.

Pimpinan KeADILan sepakat mengecam konspirasi terbaru ini yang nyata sekali untuk menjatuhkan Anwar tatkala perkembangan KeADILan semakin hampir memerintah kerajaan, kata Syed Husin.

Pimpinan KeADILan sendiri sepakat tidak mempercayai dakwaan Saiful itu malah menyokong penuh kepimpinan Anwar.

Suasana di perkarangan hotel dekat sini semakin bising dengan laungan reformasi dan takbir.


Anwar Disembunyikan


 Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk 'menyembunyikan' Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, apa yang berlaku bukan sahaja satu cara untuk membunuh politik Anwar tetapi "kalau boleh untuk membunuh beliau sendiri".


Menurutnya, keputusan untuk meletakkan Anwar di tempat selamat dibuat oleh parti dan bukannya keputusan Anwar sendiri.

Katanya, Anwar menafikan dakwaan liwat terhadapnya. Syed Husin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "satu percubaan yang paling jelik dan hina".

Manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata Anwar berada dalam negara dan nyawanya dalam bahawa.

Beliau yang juga isteri Anwar berkata, ketua umum PKR itu tidak percaya kepada pihak polis dan badan kehakiman.


30 JUN 2008

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutus surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kes yang membabitkan suaminya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Wan Azizah mewakili pemimpin Pakatan Rakyat menghantar surat rasmi untuk memohon pertemuan dengan Abdullah berhubung soal keselamatan dan pertuduhan ke Imageatas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Surat tersebut telah diterima oleh Pejabat Perdana Menteri pada jam 3:15 petang tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail menegaskan, Pakatan Rakyat memerlukan PM memberikan jaminan tersebut kerana berdasarkan kes Anwar 1998, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipukul polis pada malam beliau ditangkap.

"Yang memukulnya ialah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor, sehingga menyebabkan kecederaan yang membahayakan nyawa Anwar, oleh itu kali ini kita tidak dijamin perkara yang sama boleh berulang.

"Oleh kerana itu kami yang mendesak beliau untuk berlindung, beliau memang tidak mahu (ke Kedutaan Turki), namun pada kami, nyawa beliau terancam, itu yang lebih bahaya," tegasnya.

Bagi Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, Ketua Umum KeADILan itu tidak pernah meminta perlindungan politik atau asylum daripada Kerajaan Turki.

Katanya, yang penting kerajaan memastikan keselamatan Anwar dan anggota keluarganya yang sentiasa terdedah kepada ancaman.

"Kami masih belum boleh mempercayai polis dan sistem kehakiman Malaysia, pengalaman kami dengan kedua-dua institusi ini amat buruk.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah orang yang terbabit dalam kes 1998, adakah mereka (Umno/BN) mahu kami serahkan Anwar dan mempercayainya bulat-bulat?," Soal Azmin.

Manakala bagi Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dakwaan terbaru terhadap Anwar adalah semata-mata merupakan usaha pihak tertentu untuk mengalihkan kes Altantuya.

"Kita boleh lihat satu dua hari ini, orang seolah-olah lupa kes Altantuya, sedangkan kes itu amat besar, mereka berjaya alihkan isu," ujarnya.

Katanya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sudah membuat kenyataan yang jelas semalam, bahawa kes Anwar semata-mata merupakan satu lagi teori kospirasi yang bertujuan merencatkan usaha Anwar membentuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menafikan beliau terlibat dalam kes dakwaan liwat terhadap Anwar Ibrahim biarpun pengadu (Saiful Bukhari Azlan) bergambar dengan Pegawai Khasnya (Khairil Anas Yusof).

Berikut disiarkan kenyataan rasmi Pakatan Rakyat hari ini

KENYATAAN AKHBAR PAKATAN RAKYAT DAKWAAN TERHADAP ANWAR IBRAHIM - RAKYAT JANGAN TERPEDAYA

Pakatan Rakyat percaya bahawa laporan polis yang dibuat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya beliau meliwat seorang pembantunya tidak lebih daripada hanya pengulangan pertuduhan tahun 1998 bagi menghancurkan karier politik beliau. Ini dilakukan sebagai tindakbalas kepada kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat dalam masa terdekat.

Skandal 1998 telah memperlihatkan bagaimana seluruh institusi negara dimanipulasi bagi kepentingan pihak tertentu yang akhirnya dibuktikan satu demi satu pada hari ini. Kredibiliti kerajaan pusat akan hilang di mata rakyat, keyakinan pelabur akan terjejas dan nama Malaysia di mata dunia akan tercemar. Proses membangunkan semula negara akan terganggu dan memakan masa.

Oleh itu kami menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan adil dan telus terhadap dakwaan ini.

Oleh kerana kredibiliti Polis DiRaja Malaysia sudah hilang di mata rakyat apabila Ketua Polis Negara pada ketika itu sendiri menyebabkan kecederaan kepada Dato� Seri Anwar Ibrahim sewaktu skandal 1998, kami menuntut agar suatu badan bebas khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terbaru ini.

Dato' Seri Anwar juga percaya terdapat cubaan yang mengancam nyawa beliau sehingga memaksa beliau meminta perlindungan di Kedutaan negara luar.

Pihak berkuasa perlu mengambil segala tindakan yang sepatutnya demi menjamin keselamatan beliau dan memberikan peluang sewajarnya untuk beliau mempertahankan diri bagi dakwaan kali ini.

Dokongan Terhadap Gabungan PROTES

Kami juga menyeru rakyat Malaysia agar tidak hilang fokus terhadap permasalahan sebenar yang memberikan kesan kepada kehidupan harian iaitu kenaikan harga minyak yang telah dibuat tanpa kewajaran.

Sekali lagi Pakatan Rakyat mengulangi sokongan penuh kepada Gabungan Protes yang berkempen mendesak penurunan harga minyak sebagai langkah utama untuk mengurangkan beban rakyat. Pakatan Rakyat akan turut hadir bersama Gabungan Protes pada 6 Julai 2008 di Padang Timur, Petaling Jaya untuk memberi sokongan penuh kepada rakyat.

YB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KeADILan

YB Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

YAB Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP


1 JULAI 2008

TERKINI! SHAH ALAM
: Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim diiringi peguamnya Sankara N Nair kelihatan memasuki perkarangan Ibu Pejabat Kontingen Polis (IPK) Shah Alam tepat jam 2.50 petang tadi.

Sebaik ketibaan beliau, Anwar disambut oleh Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah, Bendahari Agung KeADILan, William Leong, Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Akin dan ratusan penyokong sambil melaungkan reformasi.

Anwar tiba di IPK Shah Alam untuk membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung salahlaku kedua-duanya dalam mengendalikan kesnya pada tahun 1998-1999 yang lalu.

Wartawan Harakah dilokasi, Wan Nordin Wan Yaacob melaporkan, keadaan di IPK sekarang ini berada dalam kawalan yang amat ketat.

Katanya, terdapat desas-desus bahawa bekas TPM itu akan ditahan di IPK Shah Alam, berhubung dakwaan kes liwat oleh bekas Pembantu Khasnya, Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun laporan terhadap Gani dan Musa tidak ada kena mengena dengan dakwaan terbaru terhadap beliau.

Sebelum ini Anwar menegaskan, beliau diperangkap dengan kes terbaru kerana pihak tertentu mengetahui bekas TPM itu akan membuat laporan polis terhadap AG dan IGP serta membuat pengumuman hasratnya untuk bertanding di sebuah kawasan pilihan raya.

Bagaimanapun dengan kewujudkan kes terbaru ini, segala gerak kerja politik beliau tertangguh.

Selepas di IPK Anwar dijadualkan akan memberikan sidang akhbarnya di Ibu Pejabat KeADILan di Damansara, seterusnya berucap dala ceramah umum di Stadium Malawati Shah Alam malam ini.

Bagaimanapun semua jadual beliau bergantung kepada suasana yang bakal berlaku di IPK Shah Alam.

_____________________________________________
URD - Pelbagai Sumber; Harakah, Utusan Malaysia, TKO, Malaysiakini.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?