Wahai Muda-Mudi, Artis Bukanlah Idola dan Ikutanmu

Oleh emuslim

Melihat kepada perkembangan dunia hiburan di Malaysia ini, tidak dapat dinafikan bahawa hiburan di negara kita boleh dikatakan berada pada tahap yang amat ‘memberangsangkan’. Manakah tidaknya, muda mudi sekarang di dalam minda mereka hanya artis itu dan ini, gaya pakaian artis, apa artis buat, perangai artis dan sebagainya. Perbualan harian pun berkisar tentang hiburan dan artis. Jauh sekali memikirkan atau membincangkan mengenai Al-Quran, hadis, akhlak, ulama’, kepimpinan, perjuangan dan islah.

Manakala media pula seakan-akan berlumba-lumba untuk mencari lebih banyak liputan, siaran langsung berkenaan dengan hiburan artis yang bagi mereka boleh menaikkan populariti dan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira perkara yang lebih penting untuk di masukkan dalam slot mereka. Akibatnya dunia hiburan berada bukan ditempatnya. Atau dengan erti kata lain dunia hiburan berada di tempat paling utama di hati muda-mudi kita. Sehinggakan lauk pauk mereka hanyalah hiburan, artis, dan sebagainya. Mereka bagaikan tiada arah tujuan hidup, mahu berhibur semata-mata.

Tanyalah kepada mereka yang terlalu taksub dengan hiburan, semestinya mereka akan katakan ‘ala muda-muda ni enjoy la dulu, nanti tua taubat la‘, ataupun dengan kata-kata yang lebih enak mereka katakan ‘ ala hiburan je..hidup perlukan hiburan‘. Maka kita katakan ya, hidup memerlukan hiburan bagi kebanyakan orang, tetapi biarlah berpada-pada. Islam adalah sebuah agama yang syumul, dan bukanlah ia satu agama yang jumud sehingga melarang hiburan. Dalam hadis Nabi S.A.W,

“Dari Aisyah r.a, bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan.” (Riwayat Bukhari)

Dan banyak lagi hadis-hadis shahih yang boleh diambil dalam menentukan bentuk hiburan yang dibolehkan. Lihatlah betapa Islam membolehkan hiburan, tetapi mestilah berdasarkan syariat dan batasan yang ditetapkan.

Demikian contoh-contoh hiburan yang tidak boleh dan dijatuhkan haram atau makruh oleh ulama’ seperti Dr Yusof Qardhawi didalam kitabnya, Halal dan Haram dalam Islam:

“Di antara yang sudah disepakati, bahwa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti: di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan cabul dan maksiat, maka di sinilah yang oleh Rasulullah s.a.w. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat, yaitu sebagaimana sabda beliau:

“Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu bisa dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi.” (Riwayat Ibnu Majah)

Bukan merupakan kelaziman kalau mereka itu dirombak bentuk dan potongannya, tetapi apa yang dimaksud dirombak jiwanya dan rohnya. Bentuknya bentuk manusia tetapi jiwanya, jiwa kera dan rohnya roh babi”. (Halal dan Haram dalam Islam: Dr Yusof Qardhawi, Alih bahasa: H. Mu’ammal Hamidy, PT. Bina Ilmu, 1993)

Hiburan yang ditonjolkan bukanlah melambangkan kemajuan dan ketamadunan sesuatu zaman. Walaupun lirik dan suasana telah berubah, orang pada zaman dahulu yang jahil pun tahu menyanyi, menari dan berjoget. Sama juga dengan perbuatan artis yang menanggalkan pakaian di khalayak ramai. Jika dibandingkan dengan orang jahiliyah zaman dahulu dengan hiburan yang ada sekarang langsung tiada perbezaan. Hiburan yang sebegitu hanya melambangkan kebodohan dan kejahilan terhadap kaum tersebut. Langsung tidak melambangkan ciri-ciri khalifah bumi yang sepatutnya matang serta berakhlak.

Jika ditanya kepada mereka, apakah akhirnya yang anda dapat jika anda terlalu mengikuti hiburan dan gaya hidup artis? Tentu mereka diam. Mereka sebenarnya tahu ia tiada hala tuju, tidak mendapat apa-apa manfaat pun akhirnya, tetapi hati mereka dilalaikan oleh hiburan atas alasan memenuhi jiwa mereka.

Terdapat juga mereka yang tidak peduli langsung tentang hiburan, bagi mereka hiburan bukanlah dari hidup mereka. Mereka tiada masa dengan hiburan, bagi mereka hiburan ini merugikan masa serta tidak menguntungkan. Ini bermakna hiburan bukanlah kemestian yang ada pada seseorang. Jika dilihat kehidupan para sahabat, tabien dan generasi awal Islam, langsung hiburan tidak menerjah di hati mereka. Mereka ada lebih banyak agenda dan perjuangan untuk Islam kerana mereka lebih mengetahui dan merasai balasan Allah S.W.T kepada mereka di kehidupan dunia dan akhirat. Bagi para sahabat Nabi, dunia ini hanyalah di hujung jari mereka, tetapi akhirat di hati mereka. Pada waktu itulah tamadun Islam dapat berkembang dengan pesat. Kerana mereka tahu tujuan dan perjuangan sebenar yang perlu mereka lalui.

Oleh itu, marilah kita melakukan islah, hidup kita bukan untuk hiburan. Golongan muda-mudi sekarang yang akan menjadi pemimpin di masa depan, anda mempunyai banyak tanggungjawab, perjuangan kepada umat Islam, kepada agama dan rakyat. Janganlah terikut-ikut dengan rentak hiburan yang ada di negara kita mahupun diluar negara. Anda tiada masa dengan hal-hal yang melalaikan serta tidak memberi faedah ini. Media juga perlu peka terhadapat isu-isu umat dan kemunduran sesebuah negara disebabkan hiburan semata-mata. Janganlah menonjolkan seolah-olah negara kita agenda yang paling utama adalah industri hiburan. Hiburan itu boleh, tetapi biarlah berpada dan bukan satu keutamaan kerana banyak lagi masalah dan perjuangan serta agenda umat yang perlu dilaksanakan.

http://almadini.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?