Sindikit Jual Bayi : Pandai Tapi Jahat Bila Tiada Iman

Sindiket jual beli bayi dibongkar di Johor Bahru

24/05/2008 3:13pm

JOHOR BAHRU 24 Mei — Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen Johor berjaya membongkar satu sindiket jual beli bayi di sini pada hari Khamis lalu, dan menyelamatkan empat orang bayi berusia antara tujuh bulan dan setahun.

Polis turut menahan 14 wanita termasuk dua warganegara jiran dan sembilan lelaki termasuk seorang warganegara jiran berumur antara 20 dan 60 tahun, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Ketua JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC II Amer Awal berkata semua mereka ditahan selepas JSJ Bukit Aman dan Johor menyerbu sebuah klinik swasta dan empat buah rumah di sekitar bandar raya Johor Baharu pada petang Khamis lepas, selepas mendapat maklumat orang ramai.

"Dalam serbuan ke atas empat rumah berkenaan, polis menemui tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan berusia antara tujuh bulan dan setahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berita lanjutan;

Sindiket jual, beli bayi tumpas

JOHOR BAHRU 24 Mei – Polis menahan 23 orang termasuk 14 wanita dipercayai terlibat dalam sindiket pembelian dan penjualan bayi hasil serbuan di sebuah klinik swasta dan empat buah rumah di sini kelmarin.

Serbuan antara pukul 4 petang hingga 12 tengah malam itu turut menemui empat bayi berusia tujuh bulan hingga satu tahun termasuk seorang bayi perempuan yang dipercayai untuk dijual di rumah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Amer Awal berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bukit Aman dan Johor hasil risikan serta maklumat orang ramai.

“Suspek yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan 14 wanita yang berumur antara 20 hingga 60 tahun termasuk seorang lelaki serta dua wanita dari negara jiran.

“Kesemua mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Mei ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Amer menambah, turut ditemui dalam serbuan itu ialah wang tunai RM4,199, komputer riba, telefon bimbit, dokumen dan beg untuk menyimpan kad perniagaan.

Beliau berkata, bayi-bayi tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bayi itu dari Jabatan Kimia bagi membantu siasatan.

Belau berkata, polis belum dapat menentukan sama ada bayi-bayi itu adalah anak rakyat tempatan atau sebaliknya.

‘‘Malah setakat ini polis juga belum menerima laporan kehilangan bayi di Johor,’’ jelasnya.

Menurut Amer, pihaknya juga menyiasat kemungkinan kegiatan kumpulan itu didalangi sindiket antarabangsa, namun enggan mengulas lanjut kerana kes itu kini dikendalikan sepenuhnya oleh polis Bukit Aman.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 48 (1) Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan pemindahmilikan, jagaan atau kawalan kanak-kanak dan boleh dipenjara lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Kes itu, katanya, turut disiasat mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan rekod mahkamah atau daftar beranak awam dan jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda.

Amer enggan mendedahkan lokasi sebenar serbuan dan hanya menyatakan bahawa rumah-rumah dan klinik yang diserbu terletak berjauhan antara satu sama lain.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi talian hotline IPK Johor, 07-2254422.

___________________________________________
URD (isma daud) - Pembongkaran ini menunjukkan tahap kedurjanaan manusia yang berkiblatkan "wang dan nafsu" benar-benar melampau. Ini di antara banyak jenayah sehingga manusia pun dijual-beli macam binatang juga.

Tidak kira apa agama, apa bangsa, dalam atau luar negara; berhentilah daripada menjadikan manusia sebagai barang dagangan anda.

Berita kehilangan kanak-kanak sebelum ini sudah cukup tragis untuk dikenang.

Pihak berkuasa berilah tumpuan kepada jenayah yang sebenar bukan untuk menangkap orang politik dan pihak pembangkang demi menjaga kedudukan beberapa pemimpin negara.

Baikilah reputasi polis dan pihak keselamatan yang nampak pincang akhir-akhir ini dengan kembali lipat-gandakan menjaga ketenteraman awam daripada penjenayah-penjenayah yang kian licit pergerakan mereka ini.

Ya lah manusia hari ini kian bijak dan kian jahat kerana sudah mati iman dalam jiwa mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?