Pemakaian gelang bermagnet harus jika penuhi empat syarat

IPOH: Pemakaian gelang bermagnet yang dikatakan mempunyai unsur perubatan dan menjadi tren kini adalah harus sekiranya memenuhi empat syarat yang ditetapkan, kata Ketua Penolong Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Hashim.
Beliau berkata, syarat pertama ialah pemakai gelang bermagnet itu tidak beri’tiqad (kepercayaan atau keyakinan di dalam hati) bahawa gelang itu memberi kesan kerana yang memberi kesan adalah Allah SWT.

"(Kedua) Tidak berniat memakai gelang berkenaan kerana menyerupai wanita dan bukan bertujuan untuk bermegah kerana semakin lahir kebelakangan ini tren menghiasai gelang berkenaan dengan aksesori seperti perhiasan wanita. Haram memakai gelang yang diperbuat daripada emas,” katanya di dalam satu kertas kerja ringkas yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak di sini.



Beliau berkata syarat seterusnya (ketiga) ialah gelang bermagnet itu mesti terbukti mempunyai kesan saintifik dan secara klinikal mempunyai pengaruh terhadap pengaliran darah di dalam tubuh seperti didakwa.

"Bukti itu mestilah datang daripada para doktor atau ahli sains yang amanah lagi thiqah (boleh dipercayai). Tidak memadai hanya dengan penerangan jurujual sahaja,” katanya.

Katanya, syarat terakhir (keempat) ialah jika pemakaian gelang itu menimbulkan fitnah terhadap maruah si pemakai maka adalah lebih baik pemakai gelang bermagnet itu memakai baju berlengan panjang yang dapat menyembunyikan pemakaian gelang berkenaan.
Beliau mengakui bahawa terdapat dua pandangan berkenaan isu pemakaian gelang bermagnet iaitu pandangan pertama menyatakan ia haram dipakai kerana menyerupai perempuan manakala pandangan kedua mengatakan ia harus dipakai kerana bertujuan berubat dengan masing-masing mengemukakan dalil mereka.

"Oleh kerana perkara ini telah menimbulkan perselisihan pandangan antara para ilmuan, maka kaedah yang dicadangkan oleh Imam As Suyuti iaitu keluar dari khilaf (keliru) adalah digalakkan,” katanya.

Beliau berkata kertas kerja ringkas itu sekadar membawakan penghujahan kedua-dua pihak dan cuba membuat kesimpulan sekadar yang mampu supaya masyarakat mendapat gambaran terhadap perbincangan yang berlaku.

"Perbincangan ringkas ini masih boleh diberi pandangan oleh pembaca dengan membawa dalil dan hujah tetapi janganlah sampai memanjangkannya sehingga terlupa kepada isu yang lebih penting,” katanya.
- Bernama

Comments

mohad said…
apa 4 syarat tu ya..

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?