Umat Islam berarak, bantah filem 'Fitna' di Kedutaan Belanda

Intan Abdullah
Foto Nasir Sudin
Fri Apr 04, 08

KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Umat Islam di Malaysia membantah sekeras-kerasnya tindakan ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang menerbitkan filem pendek yang menghina kesucian al-Quran dan ajaran Islam itu sendiri.

Ketua Pemuda PAS Pandan,Ustaz Zulkifli berkata, seluruh umat Islam di dunia ini sekali-kali tidak akan meredai tindakan Wilders yang menyalahgunakan toleransi dalam negara.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem 'Fitna' yang sengaja mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia tanpa mempedulikan perasaan dan sensitiviti penganutnya yang akan mempertahankan agama ini," ujarnya dalam perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda, berhampiran bangunan Ampwalk selepas solat Jumaat petang tadi.


Dalam ucapannya, beliau mengecam tindakan pihak kerajaan Belanda yang tidak sensitif akan perasaan dan prinsip toleransi beragama di negara ini yang telah dimanipulasikan.
Meskipun hanya lebih 200 sahaja yang hadir, namun laungan semangat mereka di tengah gerimis dan siraman hujan yang semakin lebat itu ternyata membakar semangat orang ramai yang lalu lalang sambil memerhatikan gelagat demonstran sambil membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor menyatakan perarakan yang sama juga diadakan oleh pemuda PAS di peringkat negeri seluruh negara.


"Antara tindakan yang drastik kita jalankan ialah memboikot semua produk keluaran Belanda sebagai tanda protes terhadap industri mereka untuk memberi pengajaran mengenai kesalahan yang dilakukan," katanya.


Perarakan aman yang bermula seawal jam 2.15 petang dikawal dengan baik oleh pihak polis dan anggota trafik ibukota sambil diperhatikan oleh anggota unit simpanan persekutuan (FRU) sehingga mereka tiba di bangunan kedutaan tersebut.

Bantahan peserta demonstrasi aman tersebut dirakamkan menerusi poster dan sepanduk yang dipamerkan kepada orang ramai semasa mereka sedang berarak.

Antara sepanduk dan poster tersebut berbunyi, 'jangan hina kesucian Islam', Boikot produk Belanda', Pemuda PAS bantah sekeras-kerasnya penerbitan 'Fitna' dan 'Don't insult Islam'.
Turut berucap di hadapan kedutaan tersebut, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, dan wakil mahasiswa Islam, Mohamad Syazwan.

Selain itu, ia turut mendapat liputan yang meluas daripada media dalam dan luar negara memandangkan ia adalah inisiatif dibuat pemuda PAS selepas siri perhimpunan dianjurkan pemuda Umno.

"Kita memperjuangkan isu ini bersama semua pihak yang mempunyai hasrat yang sama tanpa mengira perbezaan kaum dan sempadan politik kerana ia adalah tanggungjawab bersama," tegasnya.

Bahkan, pada 30 Mac lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap sebuah filem Belanda terbitan Geert Wilders bertajuk 'Fitna' yang jelas memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.

Filem tersebut turut menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang ganas, ujarnya dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui Setiausaha Akhbarnya, Roslan Shahir Mohd Shahir semalam.

Dalam kenyataan tersebut, beliau merasakan filem yang tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam dunia dan dengan itu mengesyorkan agar ianya tidak ditayangkan lagi.


Justeru, beliau menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara-negera Islam dan NGO serta badan dan petubuhan Islam lainnya mengenakan tekanan ke atas Belanda agar bertindak terhadap penerbit filem ini dan meyakinkan dunia Islam bahawa tindakan biadap seumpama ini tidak berulang lagi.

Tambahnya, PAS menghormati kebebasan berkarya, namun ia perlu ada had dan batasan, dan dalam hal filem Belanda ini ia ternyata tidak menghormati sensitiviti agama Islam dan penganutnya yang kini merupakan hampir separuh penduduk dunia.

Bantahan yang sama turut disuarakan pada 31 Mac lalu oleh Ketua Pemuda PAS, salahudin Ayub menerusi memorandum yang diserahkan kepada kepada Timbalan Ketua Kaunselor Kehormat, Luc Schillings, Kedutaan Belanda.

Dalam memorandum tersebut, jelas Salahudin beliau mendesak kerajaan Belanda menghentikan sebarang bentuk provokasi agar dapat mengekalkan suasana aman dan makmur di seluruh negara.

Katanya, beliau bertanggungjawab untuk menyerahkan memorandum tersebut agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak kerana tindakan menghina sesuatu agama itu tidak bertamadun serta tidak berbudaya.

Dua hari selepasnya, Exco Pemuda Umno Pusat, Dato' Pirdaus Ismail pula telah mengambil langkah yang sama sebagai tanda bantahan dan protes terhadap kebiadapan Geert Wilders dalam penerbitan filem kontroversi 'Fitna' yang mengundang rasa tidak senang seluruh umat Islam.


Kemudian, Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria pula menggesa para pendakwah Islam agar segera bangkit menjelaskan kekeliruan dalam filem pendek 'Fitna' yang ditayangkan di internet sejak 27 Mac lalu.

"Adalah menjadi tanggungjawab kepada pendakwah Islam untuk menjawab segala fitnah yang telah dilemparkan oleh penerbit filem tersebut, Geert Wilders menerusi internet memandangkan ia kini sedang giat ditayangkan melalui medium tersebut.

"Kita kesal dengan kerajaan Belanda yang membenarkan filem tersebut ditayangkan meskipun kini mereka mahu mengambil tindakan ke atas Geert.

"Kenapa daripada awal mereka tidak mengambil tindakan yakni mengenakan sekatan ? Kenapa dibiarkan juga mereka meneruskannya, sebab itu kita mengambil keputusan untuk memboikot produk Belanda sebagai protes," katanya.

Filem pendek yang mempunyai dua versi ditayangkan selama 16 minit 48 saat dan 10 minit itu memaparkan beberapa potong ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai konsep jihad dan peperangan dalam Islam. - mks.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?