Jenayah Kian Ganas

Oleh belitung

"a
Ambil pengajaran dan kesimpulan....
Bila Islam tidak didaulat hukum Allah dicaci maki.... Pendidikan Islam tidak dipeduli... siapakah yang dipersalahkan..
dulu kejadian seumpama ini berlaku kita dengar berlaku di Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain tetapi kini... di Terengganu Darul Iman...



Polis Temui Mayat Wanita Yang Ditanam, Tahan Seorang Lelaki

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Polis menemui mayat seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas memberkas seorang lelaki di perkarangan sebuah chalet di Cherating, Pahang, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata penahanan lelaki berumur 27 tahun pada kira-kira pukul 2.30 pagi semalam itu, membawa kepada penemuan mayat Zaiton Muhamad, 55, yang ditanam di sebuah tapak semaian.

Katanya polis kemudiannya dibawa ke jambatan Geliga di Kemaman, di mana kad pengenalan serta lesen memandu milik Zaiton ditemui dalam sebuah parit di tepi sungai berkenaan.

Menurutnya lelaki yang berkerja sebagai pemandu jengkaut Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) seterusnya membawa polis ke satu lagi tapak semaian di Kampung Bukit Takar, Ibok, Kemaman dan hasil pemeriksaan, polis menemui mayat Zaiton yang dibaluti dengan kain dan ditanam sedalam kira-kira 0.6 meter.

"Bahagian muka, mata, hidung dan mulut Zaiton didapati pecah, dipercayai dipukul pada hari beliau dilaporkan hilang pada 16 April lepas," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Sinar Harapan sempena Hari Polis ke-201 di sini hari ini.


Beliau berkata mayat itu sudah dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Dua hari lepas, sebuah akhbar melaporkan misteri kehilangan wanita yang berkerja sebagai pemandu van sekolah itu, selepas kali terakhir dilihat membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya di Chukai kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari kejadian.

Jalaluddin berkata lelaki yang berasal dari Kampung Gong Limau, Kemaman itu yang pernah ditahan kerana terbabit dengan kes dadah dan peras ugut, kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata dengan tangkapan lelaki berkenaan yang mempunyai pertalian keluarga dengan Zaiton, polis menemui semula tiga bentuk cincin, seutas rantai tangan dan wang tunai berjumlah RM480 dipercayai milik mangsa.

Katanya polis juga akan menahan isteri suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu. Pasangan suami isteri itu didapati menyewa rumah Zaiton sejak tiga bulan lepas.

Sementara itu di Kemaman, polis hari ini mendapat perintah tahanan reman sehingga 29 April ini terhadap seorang kakitangan MPK bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

-- BERNAMA

"

Comments

isma daud said…
Hanya hudud mampu cegah jenayah
Posted on Friday,2007,October 12 @ 02:48:58 MYT by webmaster(TKO)

Oleh: Subky Abdul Latif

Keterangan polis dalam seminggu ini menyebutkan kadar jenayah di Malaysia pada keseluruhannya adalah meningkat. Hanya di tempat tertentu kadar itu menurun, tetapi pada umumnya ia meningkat. Ada pun cerita jenayah itu meningkat itu sudah lama. Seperti keadaan harga barang. Ia tidak pernah turun. Ia meningkat dan meningkat. Dalam tulisan saya sebelum ini, telah saya sebutkan bahawa keadaan jenayah yang parah itu adalah bayaran tunai Allah kepada masyarakat yang menolak hudud. Hudud cuba diperkenalkan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu, selian ia adalah perintah Allah, tetapi ia saja undang-undang yang paling berkesan bagi mencegah jenayah.

Tetapi ia bukan sekadar dihalang oleh kerajaan Pusat, malah dipersenda oleh masyarakat Islam yang mempertahankan undang-undang ciptaan manusia itu. Kedua-dua pimpinan ulama utama PAS, Tuan Guru Mursyidul Am Nik Abdul Aziz dan Presiden Ustaz Abdul Hadi Awang memberi komen serentak terhadap kenyataan polis tentang peningkatan jenayah itu, mengesahkan ubat kepada penyakit sosial itu adalah melaksanakan hudud.

Tok Guru Nik Aziz bercakap begitu dalam interbiu dengan Harakah dan Tuan Guru Abdul Hadi pula ketika berucap di Maahad Tahfiz di Tok Jiring dekat Kuala Terangganu. Kedua pemimpin PAS itu mengingatkan kembali betapa jenayah dalam masyarakat bukan sekadar tidak dapat dihapuskan, malah tidak dapat diminimakan selagi tidak dilaksanakan undang-undang ciptaan Allah khususnya hudud.

Sejak mula PAS membuat tuntutan supaya dilaksanakan undang-undang Islam di Malaysia merdeka ini, tujuannya selain dari mentaati perintah Allah, adalah demi mententeramkan negara dan masyarakat dari semua bentuk maksiat termasuklah jenayah. Isu itu tambah menonjol apabila Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam satu pilihan raya kecil DUN dekat Kuala Terengganu hujung 80-an mencabar supaya PAS merangka undang-undang hudud.

Ia memberikan ruang yang lebih ketara kepada PAS untuk menerangkan secara terperinci tentang hikmat pelaksanaan hudud itu. Pilihan raya kecil itu adalah untuk mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Ustaz Baharudin dari PAS yang kemenangannya dibatalkan oleh mahkamah.

Cabaran Dr. Mahathir itu dipercayai bukan kerana mahu hudud itu dilaksanakan tetapi untuk menjauhkan lagi PAS dari masyarakat bukan Islam, kerana antara hukum hudud itu adalah mengerat tangan pencuri. Masyarakat bukan Islam gerun mendengar hukuman itu, maka diharapkannya pengundi bukan Islam tidak lagi mendekati PAS.

Tetapi ia adalah kesempatan pula bagi semua penduduk untuk mengikuti penjelasan dari PAS tentang hikmat pelaksanaan hudud itu. Ia saja undang-undang yang dapat menyelesaikan kejadian jenayah yang berleluasa dalam masyarakat.

Sebelum kemunculan Islam di Makkah, masyarakat jahiliyah Arab bergelumang dengan jenayah. Pelaksanaan hudud berikutan masyarakat Arab menerima Islam, jenayah dapat dibenteras.
Amerika adalah bangsa yang paling maju dengan undang-undang jenayah yang ketat dan polis yang cekap, tetapi pembunuhan di New York bukan lagi mengikut hari tetapi mengikut jam. Setiap jam ada pembunuhan.

Undang-undang manusia telah terbukti gagal untuk mengekang jenayah.

Antara yang dijelaskan, selain dari jenayah itu amat berkurangan oleh pelaksanaan undang-undang yang menggerunkan tetapi adil, Allah tanamkan ke hati orang ramai rasa benci kepada semua bentuk jenayah.

Justeru itu mereka tidak melakukan jenayah. Akhirnya jenayah itu hapus bukan kerana banyak tindakan yang dilakukan, tetapi kerana orang ramai dengan sendiri tidak melakukan jenayah.

Yang menghapuskan jenayah itu bukan kerana polis cekap dan kuat kerja, tetapi keberkatan yang Allah beri menyebabkan tiada kejadian jenayah.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?