Guru muzik cekik murid

Oleh Mohamad



KAJANG: Melampau! Itu yang berlaku apabila seorang guru muzik sanggup mencekik dan menampar anak muridnya di Sekolah Kebangsaan Taman Rakan (SKTR), Jalan Bandar Sungai Long, dekat sini, baru-baru ini.
Tindakan guru lelaki berusia 40-an yang dipercayai dalam proses pemulihan daripada penagihan dadah itu menyebabkan murid terbabit, Vimala Thaksan, 9, kini trauma dan takut untuk ke sekolah.
Guru terbabit yang 11 kali bertukar sekolah dikatakan turut mengasari beberapa lagi murid lain, termasuk menumbuk perut, membaling sampul cakera padat (CD) dan menempeleng mereka dalam beberapa kejadian sebelum ini. Gelagat guru terbabit menimbulkan tidak puas hati di kalangan ibu bapa dan sudah diadukan kepada pihak sekolah menyebabkan guru besar mengemukakan laporan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sebelum arahan bertukar dikeluarkan.


Menceritakan kejadian menimpa Vimala, ibunya, Muniswany Rasu, 30, berkata dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya.


“Tergamak guru terbabit mencekik anak saya sambil mengheret sebelum mencakar mukanya. Takkan anak saya buat bising, dia terus bertindak demikian...banyak cara lain boleh menegur murid. “Saya tidak dapat menahan sebak apabila melihat anak saya diperlakukan demikian.


Walaupun dia ada masalah peribadi, jangan jadikan anak murid sebagai tempat melepaskan marah,” katanya kepada Harian Metro.Berikutan itu, Muniswany berkata, dia akan membuat laporan secepat mungkin kerana bimbang murid lain akan menerima nasib sama.


Wakil ibu bapa murid, Faridah Jaul, 35, berkata tindakan guru terbabit yang didakwa mencekik dan menampar Vimala hanya kerana membuat bising dan membaling sampul CD sehingga terkena kepala murid yang mentertawakan perbuatannya sangat keterlaluan.


“Antara tindakan melampau lain guru terbabit ialah menghentak kepala seorang murid di atas meja serta mengugut membunuhnya jika mengadu kepada ibu bapa, selain menumbuk perut murid hanya disebabkan kanak-kanak itu meminta izin memasang kipas kerana cuaca panas.


“Dia juga didakwa menampar seorang murid tanpa sebab serta menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya dituturkan ketika mengajar, sebagai contoh ‘yo brother, lu ada otak, gunalah otak’,” katanya.


Berikutan itu, ahli jawatankuasa PIBG membuat semakan maklumat mengenai guru terbabit dan terkejut kerana dia dipercayai mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan dimaklumkan kini dalam proses pemulihan.


Kata Faridah, guru terbabit juga pernah ditukarkan ke 10 sekolah sebelum ini manakala SKTR adalah sekolah ke-11 dia bertugas selain kerap datang lewat serta ponteng mengajar tanpa alasan.


“Anak kami takut ke sekolah. Oleh itu, kami berharap PPD dapat mengambil tindakan sewajarnya, termasuk memecat atau menggantung perkhidmatannya secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian lebih buruk,” katanya.


Masalah itu turut mendapat perhatian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTR yang mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa untuk membincangkan perilaku guru terbabit, baru-baru ini.Yang Dipertuanya, Kamarol Ariffin Yahya, berkata walaupun guru terbabit diarahkan ditukarkan ke sekolah lain, ibu bapa tetap bimbang dia datang semula untuk membalas dendam, termasuk mengancam nyawa murid.


“Kami melalui pihak sekolah sudah menghantar laporan kepada PPD Hulu Langat berhubung kelakuan guru itu pada 1 Mac lalu. “Sepucuk surat rasmi diterima daripada PPD pada 16 Mac lalu yang meminta guru itu ditukarkan ke sekolah lain.“Tetapi sehingga hari ini surat itu tidak dapat disampaikan kepada guru terbabit kerana dia tidak datang ke sekolah. Kami sudah memaklumkan kepada kakaknya yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, berhubung arahan itu,” katanya.Hadir sama, Guru Penolong Kanan (Pentadbiran dan Kurikulum) SKTR, Aishah Ma’arif.


Walaupun sudah ditukarkan ke sekolah lain, ibu bapa mahu Kementerian Pelajaran mengambil tindakan memecat atau menggantung perkhidmatannya secepat mungkin bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.


Sementara itu, Aishah berkata, guru terbabit mula bertugas di SKTR pada 16 Februari lalu dan ditugaskan mengajar subjek muzik pada sesi petang.


“Pada mulanya, kami tidak mencurigai apa-apa hingga menerima aduan mengenai tingkah laku guru terbabit. “Sebelum kejadian itu, kami ada menghantar laporan guru terbabit kepada PPD pada 1 Mac lalu berhubung tingkah lakunya. Dia juga selalu datang lambat, kadang-kadang dalam seminggu dia cuma datang dua tiga hari saja.


“Pihak sekolah sudah beberapa kali menghubunginya untuk menyerahkan surat pertukaran ke sekolah lain, tetapi dia gagal dihubungi,” katanya

Comments

isma daud said…
PETIKAN DARI METRO..........


‘Cikgu rotan, tumbuk saya’

ALOR STAR: Seorang murid tahun enam Sekolah Rendah Islam Darul Aman di sini, mendakwa dirotan tujuh kali, ditampar dan ditumbuk seorang guru bahasa Inggeris selepas gagal menyiapkan kerja rumahnya, kelmarin.

Kejadian jam 10 pagi itu menyebabkan Mohd Kausar Shahidan, 12, lebam di betis kanan serta demam hingga tidak dapat ke sekolah.

Mohd Kausar mendakwa, dia dirotan tujuh kali dengan rotan sebesar ibu jari di betis kanannya hingga lebam manakala pipinya ditampar dan ditumbuk guru lelaki terbabit.

“Saya terlalu sakit kerana guru itu memukul sekuat hati hingga menyebabkan saya demam dan tidak dapat ke sekolah hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Raja, semalam.


Katanya, kejadian itu berlaku apabila dia tidak dapat menghabiskan kerja rumah yang terlalu banyak, malah guru berkenaan turut menambah kerja rumah apabila kerja rumah sebelum itu tidak dapat disiapkan.


Katanya, beberapa murid lain turut menerima nasib sama bagaimanapun tidak seteruk dialaminya.

Sementara itu, bapa mangsa, Shahidan Ahmad, 53, berkata, tindakan guru berkenaan yang memukul anaknya hingga lebam adalah keterlaluan seolah-olah melepaskan geram.

“Sekiranya dia memukul untuk tujuan mengajar anak saya tindakan itu boleh diterima, tetapi jika dibelasah hingga lebam memang keterlaluan,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu apabila anak bongsu dari tujuh beradik itu tidak dapat mengerjakan solat Isyak malam kelmarin kerana menahan sakit akibat betisnya di rotan guru.

“Saya memang tidak puas hati dengan tindakan guru yang keterlaluan itu. Saya juga cuba menghubungi guru besar tetapi telefon bimbitnya dimatikan,” katanya yang membawa anaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star jam 10 malam kelmarin.

Dia turut membawa Mohd Kausar bertemu doktor bagi membuat pemeriksaan kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Menurut Shahidan, guru besar sekolah berkenaan ada meminta maaf kepadanya, tetapi disebabkan sikapnya mematikan telefon bimbit ketika dihubungi menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis.

“Ini sekolah agama yang sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada murid, tetapi sikap guru berkenaan sebaliknya,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Pengetua Sekolah Rendah Islam Darul Aman, Alor Star, Kamaruddin Mohamad, berjanji akan menyiasat kejadian itu selepas bapa mangsa datang bertemunya petang semalam untuk berbincang.

“Kami akan menyelesaikan perkara itu dengan kedua-dua pihak supaya dapat berbaik semula.

“Guru yang memukul mangsa sebelum ini tidak pernah memukul seteruk itu dan dia mungkin bertindak demikian kerana tertekan serta mahu melihat pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Jurucakap polis IPD Kota Star ketika dihubungi pula mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?