Aurat!!!

ISLAM menetapkan peraturan dalam soal berpakaian. Tuntutan berpakaian untuk menutup aurat adalah satu kemestian sama ada lelaki atau wanita. Cara berpakaian menentukan tahap keimanan.

Namun begitu, Islam tidak menetapkan fesyen pakaian yang mesti dipakai setiap orang Islam. Islam membenarkan apapun fesyen pakaian asalkan menepati syarat menutup aurat.

Sebenarnya, setiap bangsa memiliki fesyen pakaian menepati cita rasa setempat. Umat Islam tentunya tidak dapat lari daripada hambatan fesyen pakaian yang sentiasa berubah. Ia mempunyai hubung kait dengan cuaca, kegiatan seharian dan cara hidup.

Biarpun pakaian dihasilkan dengan kebijaksanaan dan kemahuan manusia, hakikatnya pakaian ‘diturunkan’ oleh Allah kepada manusia. Kewajipan berkaitan berpakaian datangnya daripada Allah yang mengarahkan supaya lelaki dan wanita beriman menutup aurat.

Allah yang melahirkan keinginan dalam diri manusia inginkan kepada pakaian. Keperluan hidup pertama yang dicipta oleh Adam dan Hawa ketika diturunkan di dunia ini ialah pakaian, biarpun sekadar diperbuat daripada kulit kayu, daun dan kulit binatang.

Mendedahkan aurat adalah perbuatan memalukan. Sesiapa yang tidak malu mendedahkan aurat boleh diumpamakan seperti haiwan yang sememangnya tidak ada perasaan untuk berpakaian.

Batasan aurat dalam Islam amat ketat, terutama bagi wanita. Bagi golongan wanita, aurat adalah seluruh anggota badan, kecuali bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.

Peraturan ketat terhadap wanita berkaitan pakaian bukan bertujuan menyusahkan atau menyekat kebebasan golongan wanita. Islam tidak mengamalkan diskriminasi antara lelaki dan wanita, melainkan keperluan tabii yang membezakan antara kedua jantina ini.

Sebenarnya, perhatian ketat mengenai fesyen pakaian wanita bertujuan menjauhkan keadaan fitnah dan keburukan sama ada datangnya daripada golongan lelaki atau wanita.

Islam meletakkan wanita pada kedudukan terbaik dan menyediakan satu rangka cara hidup paling lengkap dan sempurna. Peraturan ketat adalah untuk melindungi maruah dan keselamatan wanita yang sering terdedah kepada gangguan lelaki tidak sopan.

Hal ini jauh berbeza dengan gerakan menuntut hak kesamarataan anjuran wanita Barat yang lebih mendatangkan kemudaratan. Wanita Barat ingin menentukan sendiri apa yang ingin dipakai dan dilakukan.

Fesyen mendedahkan aurat yang digilai banyak wanita sekarang adalah akibat terpengaruh dengan hasil fesyen bukan Islam. Di Barat pereka fesyen berjaya mengeksploitasi badan wanita sebagai objek dagangan.

Fesyen mendedah aurat paling laris di pasaran. Pengaruh inilah turut ditiru di kalangan wanita Islam. Sepatutnya wanita Islam perlu lebih sensitif dengan perkembangan yang membawa keburukan itu. Apa yang datang dari Barat tidak semuanya baik.

Fesyen mendedah aurat tidak mematuhi etika berpakaian kerana tidak ‘lengkap’. Mendedahkan aurat sama dengan tidak berpakaian. Aurat adalah sesuatu yang perlu dirahsiakan kepada pandangan umum.

Sekarang banyak wanita yang menutup aurat separuh kerana mengikut fesyen. Contohnya, banyak wanita kini bertudung, tetapi fesyen tudungnya menampakkan sebahagian rambut, bahagian dada dan leher terdedah.

Tidak kurang juga yang bertudung, tetapi memakai baju lengan pendek, ketat atau jarang. Ada pula yang memakai baju kurung longgar, lengan panjang dan kain tebal, tetapi tidak pula bertudung.

Penerapan fesyen wanita yang sempurna mengikut kehendak Islam perlu diusahakan di kalangan masyarakat kita. Kita memerlukan lebih banyak pereka fesyen Islam dan kedai pakaian yang menjual pakaian memenuhi keperluan wanita Islam.

Majalah dan rancangan televisyen yang memperkenalkan busana wanita Islam juga perlu ditambah. Ia memudahkan wanita Islam membuat pilihan fesyen menepati kehendak Islam yang sesuai untuk mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?