Siapakah Yang Benar? Sekadar buat Renungan!!!

Dalam Filem Hang Tuah atau Hang Jebat saya dah lupa bila Hang Tuah berkata: "Akukah benar atau Hang Jebatkah yang benar?" Perlukah kita beristikharah (solat hajat dan memohon Allah menentukan bagi pihak kita akan baik dan buruk) ataupun kita bermubahalah (bersolat hajat dan berdoa agar Allah menjatuhkan hukuman kepada salah satu di antara mereka yang benar dengan mereka yang salah ). Di antara dua mesti ada satu yang benar. Maka persoalannya siapakah yang lebih benar daripada yang lebih salah?

Firaun juga mengaku dia lebih benar daripada Nabi Musa dan Nabi Harun kerana dia dapat mengarahkan negeri Mesir sehingga sungai Nil mengalir mengikut kehendaknya sedangkan Nabi Musa bercakap pun gagap dan hanya memiliki sebatang tongkat. Abu Lahab dan Abu Jahal juga pernah berkata bahawa dia lebih benar kerana dia lebih banyak harta daripada Nabi Muhammad. Hindun isteri Abu Suffian ( sebelum masuk Islam ) juga pernah berkata bahawa dia juga benar kerana satu hari Kaumnya (Quraish) menang ke atas nabi Muhammad dan Sahabatnya kerana kaumnya mencapai kemenangan dalam peperangan Uhud. Sementara itu mereka pernah kalah dalam perang Badar. Kira-kira serilah tu. Katanya: "Yaumul laka Wa yaumun 'alaika" maksudnya "Satu hari kamu menang, satu hari yang lain kamu kalah pula". Benarkah begini ukuran kebenaran bahawa yang banyak itu benar, yang sedikit itu salah; yang kaya itu benar, yang miskin itu salah, yang menang itu benar manakala yang kalah itu salah?

Dalam konteks penilaian yang saya nampak pada sebahagian masyarakat hari ini, itulah ukuran benar dan salah. Yang majoriti sentiasa dilihat benar; yang sedikit seringkali dan acapkali bahkan berkali-kali dianggap salah. Inilah yang sedang diwar-warkan oleh sesiapa sahaja yang menang dan yang banyak. Dan yang sedikit pula akan sedaya upaya juga berhujjah mereka adalah benar tidak salah. Boleh dikatakan "Tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka".

Apakah pada pandangan Allah SWT juga sama dengan pandangan kita sebagai manusia biasa?

Firman Allah SWT;

{الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ} (147) سورة البقرة

maksudnya: "Kebenaran itu daripada tuhanmu, janganlah kamu menjadi orang yang ragu". (Surah Al-Baqarah/ ayat 147)

Ayat yang hampir sama dinyatakan Allah juga dalam surah Aali Imran ayat 60.

Jelas sekali Allah SWT menerangkan dalam ayat ini hanya yang datang daripada Allah SWT sahaja yang diiktiraf sebagai benar dan tidak salah. Baik ianya banyak atau sedikit, menang atau kalah, berkuasa atau tidak berkuasa, kaya atau miskin bukan ukuran perbezaan bagi benar dan salah bahkan kebenaran itu dilihat sejauhmana kita beramal dengan kitab Allah Swt mahupun Sunnah Rasullullah SAW. Kedua-duanya datang dari Allah SWT. Sesiapa yang menepati ajaran Allah dialah benar. Dialah yang sebenar-benar mendapat keberuntungan di sisi Allah SWT. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Amir; Al-Harith bin 'Asim Al-'Asy'ariy rh. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Al-Quran itu menjadi hujjah kepada engkau(bahawa engkau benar) ataupun menjadi hujjah ke atas engkau(bahawa engkau salah). Setiap manusia itu berpagi-pagi maka dia akan menjual dirinya samaada dia beruntung ataupun dia rugi." Hadis Riwayat Muslim.

Kepada kita umat nabi Muhammad SAW marilah kita bermuhasabah diri dan menilai kembali akan pendirian kita tentang benar dan salah kerana neraca timbangan Allah itu telah pun tersedia ada. Marilah kita menggunakannya. Kembalilah kita kepada Kitab Allah dan Hadis RasulNya. Cukuplah kita menggunakan akal fikiran dalam menilai sesuatu baik ianya benar mahupun ianya salah.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?