Kejutan Di Lima Buah Negeri

PARLIMEN: BN menang majoriti mudah

DUN: Bentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga di enam negeri, kejutan di lima negeri



MAJORITI MUDAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengangkat tangan Abdullah sambil diperhatikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah di Menara PWTC, malam tadi.





KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila memperoleh 132 kerusi Parlimen pada jam 3 pagi ini bagi membolehkannya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun, gabungan 14 parti itu menerima kejutan apabila pembangkang menang di lima negeri, manakala beberapa pemimpin parti komponen, menteri dan timbalan menteri gagal mempertahankan kerusi mereka.



Sehingga jam 3 pagi ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan Pas kekal berkuasa di Kelantan dengan majoriti dua pertiga apabila parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DAP pula, bersama Pas dan PKR, buat pertama kali dapat membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang. Sehingga berita ini ditulis, kerajaan negeri bagi Kedah, Selangor dan Perak belum dibentuk.

BN turut kehilangan banyak kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan. Daripada 13 kerusi yang dipertandingkan, BN hanya menang tiga kerusi - Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan. BN melalui MCA dan Gerakan kalah di semua kerusi yang dimenangi sebelum ini.

DAP pula menang lima kerusi, PKR empat dan Pas satu di Wilayah Persekutuan.

BN bagaimanapun menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga di enam negeri - Terengganu, Johor, Melaka, Sabah, Perlis dan Pahang, manakala di Negeri Sembilan, BN menubuh kerajaan dengan majoriti mudah.

Pada sidang akhbar selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan kemenangan BN dengan majoriti mudah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Isnin ini bagi membentuk kerajaan.

“Apa-apa pandangan mengenai keseluruhan keputusan pilihan raya ini, saya akan buat hanya selepas selesai keputusan semua kerusi,” katanya pada jam 2.20 pagi selepas BN mendapat 127 kerusi Parlimen.

Ditanya sama ada keputusan itu menggambarkan undi tidak percaya rakyat terhadap kepimpinannya, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak melihat itu. Ini hanya pendirian rakyat yang mahu saya meningkatkan lagi kekuatan."

Mengenai wujud tekanan pihak dalam parti supaya beliau meletakkan jawatan, Abdullah berkata: "Tak tahu siapa yang tekan saya."

Abdullah tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya ini memberi isyarat bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan beberapa isu, termasuk kenaikan harga barang.

“Ini memberi mesej yang penting dan saya akan lihat isu berkenaan,” katanya yang ditemani isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Di Terengganu, BN memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Johor (38 daripada 56 kerusi), Melaka (23 daripada 28 kerusi), Perlis (11 daripada 15 kerusi), Sabah (40 daripada 60 kerusi) dan Pahang (28 daripada 42 kerusi).

Di Negeri Sembilan, BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada jam 11.45 malam selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN, manakala DAP mendapat 10 kerusi, PKR (empat) dan Pas (satu).

BN menang besar di Sarawak apabila meraih 29 daripada 31 kerusi Parlimen. DAP hanya menang di Parlimen Bandar Kuching manakala satu lagi kerusi, Hulu Rajang, ditangguhkan sehingga petang ini.

Sehingga jam 3 pagi ini, DAP memenangi 26 kerusi Parlimen, 22 oleh Pas dan 22 PKR. Sebanyak 112 daripada 222 kerusi Parlimen perlu dimenangi bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, manakala majoriti dua pertiga sebanyak 148 kerusi.

Sebelum Parlimen dibubarkan pada 13 Februari lalu, BN menguasai 199 daripada 219 kerusi Parlimen, DAP (12), Pas (enam), PKR (satu) dan Bebas (satu). Pada pilihan raya kali ini, Sarawak mempunyai tambahan tiga kerusi Parlimen - Sibuti, Limbang dan Igan.

Keputusan rasmi pertama diumumkan pada jam 8.30 malam tadi membabitkan kerusi Parlimen Julau, Sarawak yang dimenangi calon BN, Datuk Joseph Salang Gandum dengan majoriti 7,584 undi.

Perdana Menteri yang mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang menang bagi penggal kelapan sejak kali pertama bertanding pada pilihan umum 1978.

Abdullah yang juga Pengerusi BN memperoleh 23,445 undi, menumpaskan pencabarnya daripada Pas, Subri Md Arshad dengan majoriti 11,246 undi. Pada pilihan raya umum 2004, Abdullah yang bertanding di Parlimen Kepala Batas bagi kali pertama sebagai Perdana Menteri, mengalahkan Abdul Khalid Rasid daripada Pas dengan majoriti 18,122 undi.

Najib pula mengekalkan kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti 26,464 undi. Najib memperoleh 36,262 undi, menewaskan Khairul Anuar Ahmad yang mendapat 9,798 undi.

BN sebelum ini memenangi lapan kerusi Parlimen tanpa bertanding - lima di Sarawak, dua di Sabah dan satu di Johor, serta tiga kerusi DUN - dua di Sabah dan satu di Selangor.

Seramai 10,922,139 pemilih termasuk 221,085 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini berdasarkan Daftar Induk Pemilih 2007 yang diwartakan pada 5 Februari lalu selepas dikemas kini sehingga 31 Disember lalu.

Sebanyak 72 peratus pengundi keluar mengundi sehingga tempoh pengundian berakhir pada jam 5 petang semalam.

Sumber: Berita Harian.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?