Agong: Contohi Rasulullah untuk capai keunggulan




KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mencontohi keunggulan peribadi Rasulullah SAW dalam melaksanakan perintah Allah SWT ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang unggul serta menjadi contoh teladan kepada dunia, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Titah baginda, perjuangan Rasulullah telah berjaya membina kekuatan mental dan fizikal umat Islam sehingga mampu mencipta satu tamadun yang gemilang di mata dunia. Seluruh umat Islam, titah baginda, perlu menyedari bahawa Allah SWT telah menganugerahkan potensi kecemerlangan dalam setiap diri insan.

"Umat Islam sebagai hambanya bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi kecemerlangan ini melalui akal yang telah dikurniakan Allah. Hanya melalui akal yang cerdas, insan mampu menerokai ilmu dan seterusnya berupaya membimbing masyarakat ke arah kegemilangan. "Tema Maulidur-Rasul tahun ini 'Menjana Ummah Gemilang' amat bertepatan dengan situasi kehidupan umat Islam hari ini yang mana ia sentiasa mengalami perubahan," titah Seri Paduka semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Stadium Utama Bukit Jalil di sini hari ini.

Titah Seri Paduka, konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah merupakan perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global tanpa menyisihkan nilai-nilai ukhrawi dan duniawi. "Beta yakin dengan panduan kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah, seluruh umat Islam di Malaysia mampu meneroka bidang sains dan teknologi dengan lebih jauh lagi. "Dengan ini, umat Islam akan mampu membina kekuatan dan pengaruh di kalangan seluruh masyarakat dunia," titah baginda.

Tuanku Mizan juga berharap umat Islam di negara ini memahami dan menzahirkan panduan dan pengajaran yang telah diturunkan oleh Allah melalui kitab suci al-Quran.

Titah baginda, panduan dan pengajaran ini perlu dijadikan tunggak bagi memupuk semangat persaudaraan sesama Islam dan bukan Islam. "Beta juga menyeru seluruh umat Islam supaya sama-sama berusaha serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya untuk mencapai kegemilangan ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan. Insya-Allah dengan usaha yang gigih kita akan mendapat kejayaan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat," titah baginda.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?