23 Adun hadir majlis hari ini

Oleh Shaarani Ismail dan Hamid Salleh


RESTU: Tuanku Mizan disambut Ahmad setiba baginda di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.

KUALA TERENGGANU: Semua 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu, termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh, akan menghadiri istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Maziah, di sini hari ini. Pada majlis yang dijadualkan bermula jam 9 pagi itu, Adun Kijal, Datuk Ahmad Said, akan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin. Istiadat mengangkat sumpah itu hanya untuk jawatan Menteri Besar. Satu lagi istiadat mengangkat sumpah akan diadakan untuk ahli Exco Kerajaan Negeri selepas Ahmad membuat pelantikan mereka dalam tempoh terdekat.

"Semua 23 Adun BN akan hadir esok (hari ini),” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid, ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dari ibu negara di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam. Ketibaan baginda di LTSM disambut anggota Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail. Turut menyambut baginda ialah Ahmad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail; Adun BN negeri, ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Setengah jam sebelum itu, Pemangku Raja Terengganu yang juga putera sulung baginda, Tengku Muhamad Ismail, tiba di LTSM juga menaiki pesawat khas diiringi anggota MPPR yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang turut disertai tiga lagi anakanda baginda iaitu Tengku Nadhirah Zahra, 12, Tengku Muhammad Mua'az, 8, dan Tengku Fatimatuz Zahra', 6.
Pelantikan Menteri Besar Terengganu menimbulkan kontroversi apabila Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan daripada MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di sini, pada 23 Mac lalu. Dua hari selepas menerima watikah itu, Ahmad memulakan tugas sebagai Menteri Besar di Wisma Darul Iman, tetapi beliau tidak masuk ke pejabat Menteri Besar di tingkat 16, sebaliknya hanya masuk ke pejabatnya yang lama iaitu ketika beliau menjadi ahli Exco pada penggal lalu. Bagaimanapun, pelantikan Ahmad itu telah dipertikaikan oleh beberapa pihak, termasuk 22 Adun BN yang sebulat suara menyokong Idris sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua, malah ada di antara mereka menyatakan kesediaan meletak jawatan sebagai Adun jika Idris tidak dilantik semula.

Rosol berkata, beliau menerima keputusan pelantikan Ahmad dengan hati terbuka dan berharap melaluinya Umno akan kembali bersatu demi kebaikan rakyat Terengganu keseluruhannya. "Seperti yang saya kata sebelum ini, kami menerima keputusan dengan hati terbuka dan mendoakan agar dengan keputusan ini Umno kembali bersatu untuk kebaikan rakyat negeri ini. "Ini adalah satu titik pertemuan yang cukup bermakna selepas kemelut yang berlarutan lebih dua minggu, Alhamdulillah Allah SWT dah buka satu ruang dan jalan untuk kita kembali bersatu," katanya.
Beliau berkata, ada rahmat di sebalik kemelut dan kejadian yang berlaku serta perlu akur dengan setiap ketentuan. "Bak kata pepatah carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga," katanya.
Sementara itu, lebih 15,000 orang membanjiri perkarangan dan sekitar kawasan LTSM sejak jam 7 pagi untuk menyambut kepulangan Tuanku Mizan. Baginda pulang ke Terengganu untuk menyertai FEI/ISN/EAM-Malaysia Endurance Circuit 2008 di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong yang berlangsung jam 4 petang semalam.
Sambutan keberangkatan pulang Tuanku Mizan dianjurkan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi rakyat terhadap baginda. Laungan ‘Daulat Tuanku' daripada rakyat jelata yang menyambut kepulangan baginda turut bergema di LTSM sebaik saja pesawat khas yang membawa baginda mendarat kira-kira jam 10 pagi.
Rakyat di negeri ini juga turut memasang riben kuning pada kenderaan sebagai melahirkan tanda sokongan terhadap baginda Beberapa jalan di bandar ini, turut sesak terutama di Jambatan Sultan Mahmud sejak jam 8 pagi berikutan beribu-ribu kenderaan bersesak menghala ke LSTM untuk menyambut keberangkatan pulang Tuanku Mizan.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?