Menjana Ummah Gemilang

Apa Modal Insan Yang Kita Ada? Manhaj dan Tajuk (maudhu’) Apa kita Pakai?

Setelah saya mendengar ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia melalui siaran radio (RTM Sarawak) bertarikh 11 Feb 2008 lalu, semasa merasmikan dewan sekolah St Elizabeth, Sibu; beliau mengulas tentang pelancaran SCORE bagi pembangunan Wilayah Sarawak dan menyebut tentang betapa pentingnya modal insan kepada Negara dan masa depan Negara. Saya cuba meneliti apakah ciri-ciri utama yang akan ditekankan oleh PM kepada warga pendidik dan pelajar dan semua yang hadir atau mendengar siaran langsung ucapannya itu. Setelah selesai ucapannya saya sedikit kecewa kerana PM hanya menekankan bina insan itu seolah mengenakan lipstick pada bibir sahaja kerana acuan yang diterangkan hanya mahu melahirkan manusia yang berilmu dan berakhlak mulia tidak lebih secara luaran sahaja. Hanya sedikit persoalan akhlak tetapi lebih banyaknya bagaimana mahu melahirkan manusia yang mampu bekerja dan tahu membangun dunia ini sahaja.

Bagi saya PM gagal memahamkan kepada “satu jentera penting bagi masa depan Negara” iaitulah “ Kelompok Pelajar” dengan persediaan diri yang lebih kukuh lagi. Lebih bermakna daripada bagaimana nak makan, nak mimum, nak pakai, nak tidur, nak hidup senang sahaja, nak bekerja dan nak maju. Gagal sekali menanam satu manhaj dan tajuk sebenar bagaimana modal insan sebenar dan yang sepatutnya. Tidak ada sama sekali manhaj rabbani iaitulah insan yang memiliki kemantapan akidah. Tanpa menafikan bahawa makan minum dan tempat tinggal itu penting sebagai asas kemajuan manusia untuk hidup selesa di dunia, sepatutnya rakyat dididik untuk lebih berjaya untuk hidup selesa selepas mati nanti, Akidah akhirat ini tidak pernah ada dalam ideologi lain selain daripada Islam. Mungkin kerana PM berfikir hadirin dan hadirat itu terdiri daripada orang bukan Islam. Itulah kesilapan besar apabila kita begitu takut menerangkan manhaj sebenar yang digariskan oleh Allah SWT kepada bukan Islam dan paling sedih kita orang Islam sendiri tidak mahu kepada manhaj rabbani ini.

Tetapi tidaklah saya hairan kenapa PM tidak menekankan manhaj rabbani ini kerana dia sendiri tidak pernah yakin kepada ”manhaj akidah islamiah” sehingga perjuangannya dibina atas fahaman nasionalisme. Fahaman seperti ini dibina menggantikan fahaman akidah yang telah runtuh dan tumbang. Orang Islam tidak lagi yakin kepada kejayaan Akidah Islamiah sebagaimana yang diasaskan oleh Rasulullah SAW sejak awal. Dan selama 13 tahun Rasulullah SAW berjuang di Makkah menanamkan akidah ini ke dalam hati manusia. Insan berakidah inilah yang akhirnya menjadi umat terbaik yang pernah wujud dikalangan manusia. Walau PM ada asas pendidikan agama dan berbangga sebagai keturunan ulama, nyata sekali keyakinannya kepada nasionalisme lebih mengatasi agama yang telah dipelajarinya.

Orang Islam hari ini lebih berpaksikan kepada pemikiran dan isme yang dibina barat dan musuh-musuh Islam. Berselindung atas nama Islam sederhana yang tidak ada kekuatan akidah lagi didalamnya. Sebab itu hari ini orang Islam sangat sensitif dengan anjing dan babi, tetapi tiada sensitif langsung tentang arak, judi, maksiat, mendedahkan aurat dan sebagainya. Halal dan haram mengikut selera dan nafsu sendiri sahaja. Sebagai contoh bab menutup aurat sudahlah; TV di Malaysia ini mampu memastikan penyampainya bertudung dan menutup aurat jika ada kematian pembesar , tiga hari selepas itu buka balik tudung dan berbogel semula. Seorang bapa yang gigih bersolat tidak peduli pula anaknya solat atau tidak, isterinya menutup aurat atau tidak.? Pemikiran sekular pula kian menebal dalam hati mereka sedangkan ajaran Islam kian pupus dilumpuhkan sebegitu hina sekali. Seorang Islam yang tidak tahu tuntutan Islam dan memisahkan agama daripada kehidupan dunianya. Inilah modal insan yang sedang kita miliki sekarang. Inilah yang saya maksudkan Islam ikut adat dan nafsu sendiri. Islam ikut had dan hari.

Apakah Manhaj Rabbani?

Manhaj Rabbani ialah manhaj atau method yang mampu mendidik insan untuk menyaksikan keesaan Allah dan kerasulan nabinya. Meyakini adanya Allah SWT yang menjadikan manusia, menentukan cara hidup manusia, matlamat penciptaan manusia dan tahu kemana mereka akan dikembalikan. Jika seseorang itu gagal kita jelaskan kepadanya tentang asas akidah sebenarnya kita gagal melahirkan insan berkualiti dan cemerlang. Insan Berkualiti ialah mereka yang kenal Tuhan dan Penciptanya yang sebenar. Insan yang tahu undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhannya. Tahu bagaimana dia harus berhubung dengan Tuhannya dan tahu bagaimana dia boleh hidup dengan insan lain di dunia ini. Tahu bagaimana cara membangunkan dunianya mengikut acuan yang ditentukan Allah SWT. Tahu tuju arahnya dan yakin akan tempat kembalinya. Mereka yang terdidik dengan keyakinan sebegini rupa insya Allah akan mampu menjadi insan cemerlang dan gemilang sebagaimana kita harapkan.

Seorang insan berkualiti mesti tahu menjawab keseluruhan soalan ini. Dari mana dia datang? Kenapa dia berada di dunia ini? Dan kemana dia akan kembali selepas itu? Seorang yang mengucap dua kalimah syahadah dengan sebenarnya akan mampu merubah hidupnya 360 degree putaran hidupnya. Kita ambil contoh Saidina Umar Al-Khattab seorang yang sangat bengis dan samseng semasa jahiliyyahnya tetapi mampu memjadi seorang yang lemah lembut dan terpuji akhlaknya. Kenapa baginda mampu merubahnya. Tiada keupayaan luar biasa selain daripada keberkesanan akidah yang tertanam di dalam jiwanya. Tetapi sayang ucapan dua kalimah syahadah kita yang tidak kita fahami tuntutan-tuntutan di dalamnya meninggalkan kita dalam kejahilan seperti orang buta di dalam cahaya terang. Setiap hari melafazkannya tetapi masih yakin dengan ideology sesat dan menentang pula perjuangan Islam. Mengucap dua kalimah Syahadah tetapi masih yakin manusia yang memberi rezeki lupa pemberi rezeki yang sebenar.

Melihat senario ini cukup menggusarkan saya. Bagaimanakah kedudukan Iman kita di hadapan Allah SWT? Marilah kita berfikir bersama-sama. Bermuhasabah dan Berilmulah semoga Allah tidak membiarkan kita dalam kesesatan dan menyuluh jalan hidayah buat kita semua.

Sebagai rumusannya; marilah kita melihat kepada manhaj aqidah islamiah adalah sebagai asas penting dalam membina modal insan. Janganlah kita terlepas pandang dalam persoalan seperti ini. Dengan kesedaran yang kita ada eloklah kita perjuangkan dan memperbaiki kekurangan yang ada daripada cetusan PM itu. Bagaimana langkah-langkah kita seterusnya bolehlah kita fikirkan bersama-sama....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?