MENJANA UMMAH GEMILANG;

AQIDAH ISLAMIAH DAN KEPENTINGANNYA DALAM KEHIDUPAN MUSLIM.


Pengertian Aqidah Islamiah

Akidah atau disebut juga sebagai Iman ialah satu ikatan atau janji yang kukuh. Ia adalah satu kepercayaan yang tersimpul kukuh di dalam jiwa sehingga tidak boleh terungkai sekali-kali sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa iman itu bukanlah hanya bercita-cita tetapi apa yang teguh didalam hati dan dibuktikan dengan amal anggota badan. Imam Syafie r.h. menyatakan bahawa iman itu tiga perkara; berikrar dengan lidah, membenar dengan hati dan beramal dengan anggota badan.

Ciri-ciri Akidah Islamiah

Akidah atau Iman itu jelasnya satu perjanjian rabbaniah yang mengikat manusia dengan tuhannya yang sebenar iaitu Allah SWT. Ia satu perhubungan yang unik dan bersifat istimrariyyah ( berterusan ). Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
(Surah Al-Anbiya; ayat 25)

FirmanNya lagi yang bermaksud;

“Sesiapa yang menolak Taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh dan tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
(Surah Al-Baqarah; ayat 256)

Jadi; hubungan yang dikehendaki oleh Allah SWT bukan lagi dihubungkan dengan darah keturunan, tanah air, jenis jantina, taraf atau kasta, puak dan kekeluargaan. Hubungan seperti ini hanya bersifat sementara; bersatu dalam waktu tertentu dan mungkin berpisah dalam waktu yang lain. Elok kita perhatikan bagaimana Allah SWT menerangkan hal ini melalui pengkisahannya mengenai Nabi Nuh a.s. dengan anaknya di dalam Al-Quran.

“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya". Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
( Surah Huud; Ayat 45-46)

Begitu jelas sekali keterangan Allah SWT bahawa iman itu adalah hubungan rabbaniah. Mana-mana perhubungan manusia sesama manusia juga mesti diasaskan atas ikatan dan hubungan ini. Sebab itu Islam mengajar tiap-tiap orang yang mengiktiraf dan bersaksi dengan dua kalimah syahadah; mereka terus disifatkan sebagai bersaudara. Itulah hebatnya ikatan rabbaniah yang mengatasi hubungan darah daging, bangsa dan sebagainya. Bayangkanlah betapa Allah SWT telah menafikan ikatan anak dan ayah lantaran kekufuran anak kepada Allah SWT sedangkan bapanya adalah seorang yang beriman pula. Jelasnya di sini bahawa “sendi” keimanan telah memutuskan ikatan antara Nabi Nuh a.s. dengan anaknya meskipun anaknya dari tulang sulbi baginda sendiri. Sementara itu “sendi” keimanan itu menghubungkan pula antara dua orang yang lain dengan nama persaudaraan Islam.

Konsep Aqidah Islamiah

Aqidah adalah teras di dalam kehidupan seseorang muslim. Ia diibaratkan akar tunjang kepada sebatang pokok sementara amal-ibadah ibarat batang pokok dan dahan serta rantingnya manakala akhlak adalah buahnya. Tanah yang subur , berbaja dan air yang cukup ibarat wahyu dan hidayat Allah yang diperlukan bagi menyokong kehidupan. Kegagalan umat Islam mengamal dan menghayatinya menjadikan umat Islam seperti pokok yang sedang reput akar tunjangnya. Oleh itu umat Islam mesti menyedari peri pentingnya akidah dalam kehidupan mereka. Mereka mesti memahami bahawa sebatang pokok tidak boleh hidup dengan batangnya sahaja, rantingnya sahaja. Ia mesti seiringan dan tidak terpisah di antara satu sama lain. Iman tidak boleh berpisah dengan amal dan amal tidak diterima tanpa iman. Allah SWT membayangkan hal ini melalui firmanNya yang bermaksud: ”Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.
(Surah Al-A’raaf; Ayat 58)


Kepentingan Aqidah dalam kehidupan Muslim

Setelah kita memahami asas dan konsep aqidah; baru kita dapat merasakan kepentingannya dalam kehidupan Muslim. Di antara kepentingannya ialah;

1. Ianya sebagai benteng dan perisai dalam diri seorang muslim. Ia merupakan benteng kukuh bagi memelihara akal daripada perkara khurafat dan syirik dan perisai yang utuh bagi menangkis segala anasir jahat , perasaan syak dan ragu serta segala bentuk penyelewengan.

2. Ianya adalah dasar dan tunjang. Yang lain ibarat cabang dan ranting. Mati dasar maka akan matilah ranting dan cabangnya.

3. Ianya menjadi sebab dan tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT. FirmanNya: ”Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.
(Surah Az-Zariyat; ayat 56)

4. Ianya adalah risalah semua rasul. Firman Allah SWT; “Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku".
(Surah Al-Anbiya; ayat 25)

5. Penerimaan amal bergantung kepada sahnya akidah.
Sebagaimana yang telah saya bincangkan tadi bahawa seluruh amal soleh yang dilakukan oleh seorang samaada diterima atau ditolak amalannya di sisi Allah SWT bergantung kepada sahnya aqidah yang orang itu miliki. Iman yang batal tidak diterima oleh Allah SWT. Amalan orang kafir, murtad, munafiq dan musyrik adalah amalan yang tertolak. Ia disebabkan oleh imannya yang menyeleweng dan Allah tidak sesekali menerima keimanan seperti itu. Firman Allah SWT: “dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

(Surah Al-Baqarah; ayat 217)

Dan Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik (mempersekutukanNya) (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu (dosa syirik) bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

( Surah An-Nisa’; ayat 48)

Sementara amalan orang yang fasiq terserahlah kepada Allah SWT samada untuk mengazabkannya ataupun mengampunkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadaNya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah azab neraka Yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu".
(Surah As-Sajdah ; ayat 20)

Dan firmanNya lagi yang bermaksud: “dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu (dosa syirik) bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya)”.
(Surah An-Nisa’; ayat 48)

6. Akidah sebagai pemutus samada seseorang itu akan keselamatan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah An-Nahl; 97)


Jelas di sini betapa kedudukan iman dalam kehidupan kita. Mudah-mudahan kita sentiasa mengukuhkan keimanan kita. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa mendorong kita untuk melakukan kebajikan dan memelihara kita dari sebarang anasir yang menjatuhkan kita ke dalam kebinasaan dan kehancuran.

Penutup

Sebagai seorang muslim wajiblah kita memelihara iman daripada rosak dan binasa. Wajiblah kita belajar kerana dengan berilmu sahaja kita dapat mengenal jalan iman dan menghapus kejahilan. Kejahilan akan mendorong kita kepada kesesatan. Kesesatan akan membawa kita kepada dosa dan neraka. Wal ’iyaza billah!! Setelah kita berilmu jangan lupa kita mengajar kepada orang lain pula. Oleh itu kita wajib belajar dan mengajar akan ilmu akidah bagi memelihara ummah daripada sesat dan menyeleweng. Wajib juga kepada guru dan ibubapa menitik berat dan menanamkan dasar akidah ini kedalam jiwa anak-anak mereka. Ingatlah! Penyelewengan yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kepincangan Aqidah dan kedangkalan iman dalam jiwa pemiliknya.

Sekian, Wassalam!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?