Ibadah: 6 Perkara Sebelum Solat

Pagi tadi ada seorang saudara seIslam bertanya tentang persediaan solat, jadi saya dah jelaskan kepadanya dan eloklah rasanya saya jelaskan di sini untuk manfaat bersama. Ada 6 perkara penting mesti diambil berat sebelum solat supaya solat kita jadi sempurna dan khusyuk.

Perkara Pertama: ILMU
Amalan orang berilmu lebih baih baik daripada orang abid tetapi tidak berilmu seperti lebihnya amalan para nabi ke atas para sahabatnya. Sebagaimana lebihnya matahari ke atas bulan. Kedua-duanya bercahaya tetapi cahaya matahari itu asli manakala cahaya bulan itu tempias daripada cahaya bulan sahaja. Rasulullah SAW bersabda: "Satu bab ilmu sehingga dia faqih lebih baik daripada 70 rakaat solat sunat" di dalam satu riwayat lain 100 rakaat.

Bagi orang yang hendak solat mestilah dia tahu kaifiat solat(sembahyang). Mengetahui kaifiat solat adalah syarat sah solat. Seseorang itu hendaklah tahu mana yang fardhu, mana yang sunat dan tahu perkara yang membatalkan solat serta tahu segala syarat sah solat. Bagi orang awam yang tidak tahu membezakan mana satu sunat atau wajib maka semua bacaan dan perbuatan didalam solat menjadi wajib ke atasnya. bukankah ini berat dan membebankan. Oleh itu wajiblah kita belajar untuk mendapat solat yang sempurna.

Perkara kedua; BERSUCI.
Bersuci itu 2 jenis;
1. Suci daripada najis baik pada badan pakaian dan tempat solat.
2. Suci daripada hadas kecil dan hadas besar. Suci hadas kecil dengan berwudhuk dan suci daripada hadas besar dengan mandi hadas. Sebab wajib mandi itu 6 juga: Keluar mani, Janabah (bersetubuh), Keluar Haid, Nifas, Wiladah dan Mati selain daripada mati Syahid.

Selain itu sunat bersiwak atau menggosok gigi. Sabda Rasulullah SAW: "Jika tidak membebankan umatku nescaya aku perintahkan mereka bersugi setiap kali solat".

Perkara ketiga; PAKAIAN
Pakaian hendaklah suci dan menutup aurat. Ambillah pakaian yang baik ketika solat supaya kita beroleh khusyuk dan jika solat berjamaah di masjid ; kita tidak akan menyakiti orang lain dengan sebab bau yang tidak menyenangkan. Firman Allah SWT :

يَا بَنِي آدَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وكُلُواْ وَاشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُواْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
(31) سورة الأعراف
Maksudnya: Wahai anak Adam, ambillah perhiasan (pakaian) setiap kali kamu solat dan makan serta minumlah tetapi janganlah kamu melakukan pembaziran kerana Allah tidak menyukai orang yang membazir"



Perkara keempat: YAKIN MASUK WAKTU
Orang yang hendak sembahyang hendaklah yakin telah masuk waktu solat tersebut. Solat orang yang ragu tentang masuk waktu adalah batal walaupun nyata hakikatnya sudah masuk waktu. Apatah lagi solat sebelum masuk waktunya, jelaslah batal solatnya tersebut. Sekurang-kurang yakin itu dengan dzan seperti melihat jam, matahari dan sebagainya.



Perkara kelima: MENGHADAP QIBLAT
Tahu arah kiblat walau dengan dzan sekali pun. Ada kompas lagi bagus. Bagi orang berada di atas kenderaan semasa hendak bertakbir itu sahaja di syaratkan menghadap Qiblat. Selepas itu solatnya mengikut arah perjalanan kenderaan tersebut. Bagi orang yang berjamaah hendaklah sepakat tentang arah kiblat tersebut. Jika salah seorang beranggapan arah qiblat seorang lagi tidak betul; maka mereka tidak sah berjamaah. Ini kerana tidak sah solat makmum yang tidak yakin sah solat imamnya.



Perkara keenam: BERNIAT MENDIRIKAN SOLAT
Seseorang yang hendak mendirikan solat mestilah berniat dengan sengajanya, tempatnya adalah di dalam hati, ketika takbiratul ihram, ada qosad, ta'rudh, ta'yin(bagi solat Fardhu) dan faham akan maksudnya. Niat ini juga membezakan di antara satu solat dengan salat yang lain, sunat atau fardhu, tunai atau qadhak, solat sendirian atau berjamaah.
Semoga penjelasan ini ada memberi manfaat kepada muslimin-muslimat yang bertamu ke halaman saya ini. Terima kasih kepada yang bertanya.


Sesiapa yang ada kemusykilan agama boleh emelkan kepada saya. Saya cuba menjawab sekadar ilmu dan pengetahuan yang ada kepada saya dengan izin Allah SWT . Bagi Saudara Bujang Senang harap hantarkan soalan sekali. Janganlah malu pula bila nak bertanya tu. Kata orang segan-segan begitu. Jika soalan peribadi saya simpan dalam emel saya saja tidak akan diposkan kat laman ni. Yang rahsia tu biarlah rahsia.... Salam Ukhwah daripada saya untuk Bujang Senang.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?