PAFA : BAB 17; BATAS PERGAULAN DALAM ISLAM

Menjelang akhir tahun; pelajar sudah tamat sukatan pelajaran mereka di dalam kelas. Tumpuan kini ialah mengukuhkan kefahaman mereka dalam perkara asas agama "PAFA". Ramai pelajar memilih tajuk "Batas Pergaulan Dalam Islam", bab terakhir dalam sukatan PAFA. Mereka berkenalan dengan istilah seperti "Mahram", "Ajnabi", "Sumbang Mahram", "Maruah diri", "Akibat Buruk Berlakunya Pergaulan Bebas(Ikhtlat) Di Antara Lelaki Dan Perempuan".

(Sebelum saya memulakan kelas; saya cuba mengulas keputusan orang ramai yang menyokong perlu ada pengasingan dan batas pergaulan di antara pelatih PLKN lelaki dan perempuan. 54% menyokong ).

Tajuk ini sangat penting bagi saya. Sebagai pendidik sudah pasti saya mahu anak didik saya tahu batas pergaulan mereka supaya mereka tidak terjebak dalam kancah gejala sosial, menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral dan jauh dari melakukan perkara yang mencemarkan marauah diri, agama dan keluarga. Apatah lagi cuti penggal akhir tahun yang panjang sudah tiba lagi. Saya mahu mereka benar-benar memanfaatkan "masa emas" dengan aktiviti yang berguna dan berfaedah.


Saya telah menerangkan kepada anak murid saya setiap istilah yang saya kemukakan dan berulangkali pula menyoalkan pelbagai murid agar mereka benar-benar faham tajuk ini. Melihatkan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini dan apa yang dilaporkan dalam akhbar saban hari menyebabkan saya merasakan ada tanggungjawab besar menjelaskan kepada mereka kesan-kesan buruk jika berlakunya pergaulan bebas sesama ahli keluarga dan rakan taulan tanpa ada bimbingan agama.


Ramai tidak faham kenapa kita mesti menjaga hubungan dengan orang-orang yang hampir dan ada hubungan "mahram". Saya menjelaskan kepada mereka tentang beberapa faktor yang boleh mendorong hal ini berlaku;


Di antaranya;

1. Manusia ini dijadikan memiliki hawa nafsu dan saling tertarik kepada orang lain atau sering saja membandingkan diri kita dengan orang lain. Nafsu seringkali mendorong manusia melakukan kejahatan. Nafsu hanya boleh tunduk dengan agama dan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT. Oleh kerana nafsu boleh mempengaruhi siapa sahaja tanpa mengira mereka yang "mahram" atau "ajnabi" ; Islam menggariskan batas-batas pergaulan supaya hidup kita lebih harmoni.


2. Sikap remaja yang suka mencuba sesuatu juga perlu mereka sedari kerana jika tidak mendapat panduan yang betul mereka boleh melakukan perkara yang dicegah oleh agama.


3. Ingin berseronok sahaja sedangkan kesan daripada keseronokan itu amat buruk sekali.


4. Kejahilan para remaja, naluri ingin tahu seringkali diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan dikuasai nafsu sehingga ada yang sanggup melakukan sumbang-mahram atau merogol anak atau darah daging sendiri.


5. Ibubapa yang tidak menerapkan budaya hidup beragama dalam pergaulan harian juga menjadi salah satu faktor menjerumuskan remaja kepada salah laku ini.


6. Keruntuhan moral dan kemusnahan sesebuah rumah-tangga menyebabkan hilang rasa hormat sesama ahli keluarga sendiri.


7. Pengaruh rakan sebaya yang rosak akhlak.


8. Pengaruh media massa dan media cetak yang tidak terkawal.


Saya mengharapkan anak-anak didik saya dapat menghayati pengajaran dan pembelajaran saya hari ini. Yang lebih penting daripada itu mereka dapat mengamal dan menghayati dalam kehidupan seharian mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?